Ketua jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee bakal kehilangan hampir separuh daripada skuad Sukan Asia ini menjelang Kejohanan AFC B-23 pada tahun 2020.
Syarat penyertaan pemain adalah yang lahir pada atau selepas 1 Januari 1997 dan lebih separuh pemainnya kini lahir sebelum dari tarikh yang ditetapkan tersebut.
Selain Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali yang merupakan pemain lebih umur, 9 pemain bakal diserahkan kepada ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.
Antara nama-nama besar yang bakal meninggalkan kumpulan skuad cemerlang ini adalah Adam Nor Azlin, Irfan Zakaria, Syazwan Andik dan Syafiq Ahmad.
Selain itu, beberapa pemain tonggak yang tiada di Sukan Asia kali ini juga bakal tersisih sepenuhnya seperti Matthew Davies, Nor Azam Azih dan N. Thanabalan.
Dan berdasar prestasi pemain-pemain ini ketika bersama Kim Swee, selayaknya mereka sudah boleh bersama skuad kebangsaan, jika sesuai dengan kehendak Cheng Hoe.
Serap ke skuad Harimau Malaya
Untuk rekod, 5 pemain yang tersenarai di atas telah pun bersama skuad kebangsaan iaitu Matthew Davies, Adam Nor Azlin, Syafiq Ahmad, Irfan Zakaria dan Syazwan Andik.
Daripada 4 perlawanan kendalian Cheng Hoe dan jika berdasarkan penglibatan minit perlawanan, Irfan adalah yang paling banyak beraksi dengan Harimau Malaya.
Daripada 360 minit yang sepatutnya terkumpul, Irfan telah mengumpul 258 minit dan kita boleh menganggap dia adalah tonggak utama yang sedang dibentuk.
Dalam Berita Harian kelmarin, ketua jurulatih Felda United, B. Sathianathan menyatakan yang sebahagian pemain skuad ini sudah layak beraksi bersama skuad kebangsaan.
“Kalau tanya saya, pemain seperti Safawi (Rasid), Akhyar (Rashid) dan beberapa pemain lain memang layak berada dalam skuad senior,” ujarnya.
Cheng Hoe pada pertengahan Ogos lalu turut menjelaskan yang skuad kebangsaan untuk Kejohanan AFF 2018 nanti adalah adunan daripada skuad B-19 dan B-23.
“Kebanyakan yang akan dipanggil untuk latihan pusat bulan depan terdiri daripada pemain B-23 dan B-19 dan memang ada perubahan dalam pasukan kebangsaan.
“Saya harap dengan adunan itu nanti, kita dapat mengesan pemain yang bersesuaian dengan corak permainan diterapkan,” jelas Cheng Hoe kepada Berita Harian.
Apa yang tinggal buat Kim Swee?
Apa yang pasti, baki pemain yang akan kekal bersama Kim Swee juga bukanlah kecil anak. Mereka juga adalah tonggak utama skuad Sukan Asia 2018.
Antara 9 pemain yang masih boleh beraksi seperti Haziq Nadzli, Dominic Tan, Nik Akif Syahiran, Syahmi Safari, Akhyar Rashid dan tentunya Safawi Rasid.
Dan yang menariknya, skuad B-23 baharu itu pastinya akan diadunkan oleh Kim Swee dengan skuad yang menjuarai Kejohanan AFF B-19, Julai lalu.
Skuad kendalian Bojan Hodak itu juga telah layak secara merit ke Kejohanan AFC B-19 2018 yang akan berlangsung pada pertengahan Oktober depan.
Antara bintang baharu yang mungkin bakal diserap oleh Kim Swee adalah Azri Ghani, Shivan Pillay Asokan, Zafuan Azeman, Nurfais Johari dan Syaiful Alias.
Jelas sekali, skuad B-23 masih tidak terjejas walaupun ada yang bakal meninggalkan pasukan dengan beberapa pemain B-19 juga pernah dipanggil Kim Swee.
Perancangan Kim Swee
“Kami perlu buat perancangan awal, merancang dengan baik dengan mengadakan lebih banyak perlawanan persahabatan terutamanya di luar negara.
“Tahun ini sahaja, kami telah bermain dalam lapan perlawanan berkualiti tinggi termasuk aksi di Kejohanan AFC B-23 di China,” ujar Kim Swee kepada Goal.
Ada benar kenyataan daripada Kim Swee itu. Perlawanan yang berkualiti tinggi mampu membentuk skuad yang berdaya saing sebagaimana skuad ketika ini.
Selain Sukan SEA 2017 pada penghujung tahun lalu, skuad B-23 juga telah menentang pasukan-pasukan seperti Iraq, Jordan, Arab Saudi, Korea Selatan dan China.
Dengan pengalaman yang bakal dikutip oleh beberapa bintang B-19 di Kejohanan AFC B-19 nanti bersama skuad sedia ada kini, pasti skuad selepas ini akan lebih matang.
Dan jika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat mencari lawan yang kuat untuk aksi persahabatan, kita akan dapat lihat prestasi yang lebih baik selepas ini.
Penutup
Bak kata pepatah, ‘belakang parang kalau diasah lagikan tajam’. Skuad Kim Swee perlu lebih didedahkan dengan aksi perlawanan yang berkualiti selepas ini.
Usaha tersebut harus bermula daripada sekarang dan Kim Swee juga nampaknya sudah bersedia untuk membentuk barisan baharu skuad Harimau Mudanya.
“Saya sentiasa yakin yang para pemain akan memberikan yang terbaik dalam kelayakan Kejohanan AFC B-23 pada tahun hadapan.
“Dan pada masa yang sama, saya juga percaya yang mereka mampu mencabar untuk slot ke Sukan Olimpik,” ujarnya lagi seperti yang dipetik dari Goal.