Pendatang baharu dalam saingan unifi Piala Malaysia, MIFA bakal mengharungi perlawanan sulung mereka dalam kejohanan itu dengan penuh sukar.
Hal ini kerana, mereka bakal bertandang ke Stadium Tan Sri Dato Hassan Yunos di Larkin untuk menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Walaupun diuji dengan tugasan sukar, namun pasukan tersebut mempunyai ramuan tersendiri untuk menewaskan juara unifi Liga Super itu.
Menurut Berita Harian, jurulatih MIFA iaitu K. Devan mengakui beliau serta pasukannya telah melakukan kajian menyeluruh mengenai pihak lawan yang bakal mereka hadapi.
Pasukannya kini bersemangat tinggi untuk memberikan kejutan kepada pasukan pilihan dalam saingan berprestij ini.
“MIFA mempunyai strategi sendiri untuk memberikan cabaran kepada JDT.”
“Para pemain menunjukkan semangat yang tinggi dan bersedia memberikan kejutan kepada juara bertahan pertandingan ini.”
JDT merupakan juara bertahan Piala Malaysia selepas memenanginya pada musim lalu.
“Kami tidak akan berasa gementar ketika menentang JDT walaupun kami menyedari fakta yang mereka adalah juara bertahan bagi pertandingan ini.”
“Saya yakin para pemain saya sudah berada di tahap terbaik untuk memberikan saingan. Semua aspek kami ambil kira.”
MIFA layak ke Piala Malaysia buat pertama kali selepas berjaya menduduki tangga ketiga dalam saingan 100 Plus Liga Premier musim ini.
Mereka diletakkan dalam kumpulan C yang dianggap cukup mencabar buat mereka apabila diundi bersama JDT, Kedah dan juga Kelantan.