Burnley meneruskan kemaraan bagi memburu tempat ke saingan Liga Europa selepas berjaya menundukkan wakil Scotland, Aberdeen 3-1 di Turf Moor.
Kemenangan aggregit 4-2 itu sekaligus melayakkan Burnley ke pusingan kelayakan ketiga bagi menempah pertemuan menentang Istanbul Beseksehir.
Kedua-dua pasukan sebelum ini terikat 1-1 pada perlawanan pertama di Pittodrie Stadium.
Tuan rumah di depan seawal minit ke-6 selepas Chris Wood berjaya melepaskan rembatan dari jarak dekat bagi menewaskan penjaga gol Aberdeen, Joe Lewis.
Lewis Ferguson kembali menyamakan kedudukan pada pertengahan aksi babak pertama apabila beliau melakukan sepakan gunting yang terus menerjah gawang Burnley pada minit ke-27.
Memasuki babak kedua, Joe Lewis berjaya menepis dua percubaan berbahaya dari Burnley menerusi Ashley Barnes dan Sam Vokes manakala Anders Lindegaard cemerlang menafikan percubaan dari Graeme Shinnie.
Aksi yang lebih dikuasai anak buah Sean Dyche itu bagaimanapun gagal untuk menambah jaringan sehingga tamat 90 minit perlawanan.
Keadaan yang mengakibatkan perlawanan terpaksa berlanjutan ke masa tambahan.
Tandukan dari Jack Cork pada minit ke-101 dan sepakan penalti yang disempurnakan Ashley Barnes berselang 13 minit kemudian telah membawa Burnley ke pusingan kelayakan ketiga bagi berdepan Istanbul Beseksehir.
Foto: Sky Sports