Iraq dilaporkan telah menarik diri dari acara sukan bola sepak di Sukan Asia 2018. Ini menjadikan acara bola sepak seperti berada di dalam keadaan tidak ketentuan sebelum sepak mula pertandingan kurang dari dua minggu lagi.
Memetik laporan yang turut disiarkan oleh The Star, keputusan oleh Iraq itu akan menjejaskan saingan peringkat kumpulan yang tidak seimbang dari segi jumlah pasukan di dalam kumpulan.
Minggu lalu Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah melakukan undian semula khusus untuk Palestin dan UAE, selepas kesilapan teknikal menyebabkan kedua-dua pasukan tercicir dari undian awal.
Ini menjadikan dua dari enam kumpulan di dalam pertandingan ini mempunyai lima pasukan. Namun penarikan diri oleh Iraq juga bermakna salah satu dari kumpulan tersebut hanya akan memiliki tiga pasukan; iaitu China, Timor Leste dan Syria.
Sehingga artikel ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan rasmi dari Majlis Olimpik Asia dan penganjur kejohanan Sukan Asia.
Sumber dari Persatuan Bola Sepak Iraq pada mulanya menafikan hal penarikan diri dari kejohanan Sukan Asia 2018, dan menjelaskan persiapan akhir sedang diadakan di bandar Erbil.
Football at the #AsianGames2018 is in danger of turning into a farce. If Iraq withdraw then either there will be 2 groups of 5 teams and one of 3 teams or the organizers will have to draw the groups for a 3rd time. #kfa https://t.co/D7R7Dxf77c
— Steve Price (@kleaguefootball) July 31, 2018
Namun pada awal minggu ini, laporan dari Iraq turut mengesahkan pemecatan beberapa pegawai pasukan selepas terbabit di dalam kes penipuan had umur skuad B-16 selepas pemeriksaan pasport dilakukan ketika berkunjung ke satu kejohanan serantau.
Tidak dapat dipastikan sama ada penarikan diri skuad Iraq dari Sukan Asia 2018 mempunyai perkaitan yang sama dengan kes membabitkan skuad B-16 mereka.
Pertandingan bola sepak di Sukan Asia Jakarta-Palembang akan bermula pada 10 Ogos hadapan. Dan ia adalah platform untuk pemain berusia 23 tahun ke bawah, walaupun setiap pasukan dibenarkan membawa tiga pemain yang mempunyai had umur berlebihan.