“Woii!!! Kau budak Liverpool, kenalah sokong England. Tak payah melalang sokong Croatia atau Perancis.”
Itu antara komen yang sempat penulis baca di laman sosial Facebook baru-baru ini.
Kisahnya, Lazar Fauzanovic (bukan nama sebenar) melaungkan sokongan kepada Croatia menjelang perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2018 menentang England.
Jelek dengan sokongan yang diberikan oleh Lazar, Ahmad Pogba Mbappe (juga bukan nama sebenar) yang merupakan penyokong tegar Paris Saint-Germain (PSG) dan Manchester United pantas memberikan teguran tersebut.
Tidak sokong England
Gambaran di atas mungkin adalah rekaan semata-mata. Namun hakikatnya, ia adalah kebenaran yang benar-benar terjadi. Penyokong bola sepak di Liverpool bukan penyokong England, walaupun tidak semua dari mereka yang tidak menzahirkan sokongan
Mereka tidak peduli jika England kalah. Lebih dari itu, mereka mungkin menyambut perkhabaran tersebut sambil tersengih. Di dalam hati, mungkin terdetik kata: “Padan muka korang!”
Jika situasi ini terjadi di kalangan penyokong Liverpool di Malaysia, ia mungkin adalah sekadar ikut-ikutan.
Hakikatnya ialah Scouser itu sendiri ialah bangsa Inggeris. Lebih tepat, bangsa Inggeris yang berasal dari Liverpool.
Tetapi realitinya, rata-rata penyokong Liverpool atau yang digelar sebagai Bangsa Scouser sememangnya tidak senang dengan orang Inggeris sendiri.
Bangsa Scouser
Siapakah bangsa Scouser ini? Scouser pada hari ini merujuk kepada mereka yang berasal dari Liverpool.
Bagaimana nama ‘Scouser’ lebih sinonim untuk merujuk kepada mereka yang berasal daripada Liverpool dan bukan Liverpudlian seperti yang sepatutnya, turut tidak dapat dipastikan.
Menurut penerangan dari The Guardian melalui perkongsian ‘notes and queries’, scouser itu sendiri datang dari perkataan ‘lobscouse’.
‘Lobscouse’ merujuk kepada sejenis hidangan yang berasal dari Norway dan sering menjadi hidangan pelayar-pelayar pada masa dahulu.
Mengambil kira peranan Liverpool sebagai salah sebuah perlabuhan terkemuka di eropah sejak kurun ke-17, maka tidak hairanlah nama Scouser adalah kata ganti nama kepada masyarakat yang berasal dari Liverpool pada hari ini.
Piala Dunia 1966
Ada banyak perkara yang menyebabkan hubungan Scouser- Inggeris menjadi dingin sama ada kerana bola sepak atau perkara lain yang berkait secara tidak langsung.
Di Piala Dunia 1966, perlawanan separuh akhir di antara England dan Portugal sepatutnya diadakan di Goodison Park, gelanggang milik Everton.
Tetapi Presiden FIFA pada ketika itu, juga merupakan orang Inggeris iaitu Stanley Rous mengubah venue perlawanan ke Wembley yang memiliki kapasiti stadium yang lebih luas.
Keputusan tersebut bertujuan membenarkan lebih ramai penyokong hadir menyaksikan perlawanan, sekaligus menambah pendapatan dari hasil jualan kutipan tiket perlawanan.
Di era itu, tidak banyak cara untuk penganjur mendapatkan keuntungan. Oleh kerana itu, langkah tersebut dianggap wajar oleh kebanyakkan orang Inggeris, kecuali yang berasal dari Liverpool.
Keputusan tersebut mengecewakan rata-rata penduduk tempatan yang ternanti-nanti untuk menyaksikan sendiri kelibat pemain terbaik dunia tiba di bandar Liverpool pada ketika itu.
Sebuah akhbar Sweden, Dagens Nyheter menulis: Ini (Liverpool) adalah bandar bola sepak utama di England- bukannya sebuah bandar yang kaku dan dingin seperti London sehingga anda tidak sedari bahawa kejohanan Piala Dunia sedang berlangsung.
Akibatnya, perlawanan gantian membabitkan pertemuan Jerman Barat dan Brazil yang dilangsungkan di Goodison Park diboikot dan mengakibatkan penurunan jumlah penonton.
Tragedi Hillsborough
15 April 1989 adalah tarikh yang akan diingati oleh mana-mana penyokong Liverpool sebagai salah satu tarikh yang penuh dengan detik hitam.
96 penyokong Liverpool terkorban selepas akibat bersesak di dalam stadium ketika perlawanan separuh akhir Piala FA antara Liverpool dan Nottingham Forest.
Kejadian itu adalah tragedi sukan paling teruk melanda negara tersebut. Ironinya, sikap penyokong Liverpool sendiri yang dipersalahkan atas tragedi tersebut.
Pihak polis menyalahkan penyokong yang mabuk namun penjelasan ini ditolak pihak keluarga mangsa dan komuniti Liverpool.
Tidak dapat dinafikan, dakwaan tersebut membuatkan penyokong Liverpool tidak senang. Selepas 27 tahun, melalui satu inkues yang mulakan pada 2012, akhirnya penyokong Liverpool disahkan bukan penyebab dan pencetus kepada tragedi tersebut.
Walaupun sudah disahkan sedemikian, sedikit sebanyak ianya bagaikan keseluruhan England menuding jari kepada seluruh komuniti Liverpool pada masa itu.
Kerajaan vs Liverpool
Dan ia tidak terhad kepada bola sepak sahaja. Perasaan tidak senang di antara Liverpool dan England sebenarnya berbalik kepada tahun 1911.
Di era itu, Liverpool adalah nadi utama kepada ekonomi Britain dan United Kingdom.
Mogok golongan pekerja, turut dikenali sebagai Mogok Sektor Pengankutan Awam 1911 telah berlaku.
Bermula dari sektor pengangkutan membabitkan kesatuan pelayar, ianya merebak ke sektor-sektor perkhidmatan dan idustri yang lain seperti perkhidmatan kereta api, bomba dan lain-lain.
Kemuncak kepada mogok tersebut menyaksikan himpunan melibatkan 85,000 orang, memaksa Winston Churchill yang merupakan Menteri Pertahanan pada ketika itu mengerah 3,500 bala tentera ke St. George Hall di Lime Street.
Ribuan dilaporkan tercedera dan kematian turut dilaporkan berlaku apabila ribuan peserta perhimpunan dan askar bertembung.
Kejadian pada 13 Ogos 1911 itu dianggap sebagai kejadian berdarah di dalam sejarah Liverpool.
Selain daripada insiden berdarah pada 1911, Perdana Menteri, Margaret UK dari 1979 sehingga 1995 juga bukan individu yang digemari di Liverpool.
Thatcher dituduh sebagai individu yang bertanggungjawab sebagai punca kelembapan industri di Liverpool kerana polisi yang dibawanya ketika memegang tampuk pemerintahan kerajaan United Kingdom.
Bantahan terhadap Thatcher turut mewujudkan satu rusuhan berlaku di Liverpool pada 1981.
Penutup
Bagi bangsa Scousers, England adalah penentang kepada mereka di dalam setiap perkara.
Perkara-perkara di atas hanya sebahagian daripada apa yang berlaku, dan mungkin ada lebih banyak lagi sebab-sebab lain yang tidak dikisahkan.
Mungkin keadaanya berbeza, jika Jordan Pickford dan Jordan Henderson berjaya membantu England menjuarai Piala Dunia, sepertimana Roger Hunt dan Ray Wilson pernah lakukan.
Siapa tahu? Bukankah bola sepak itu adalah medium perpaduan?