Kelayakan Piala Dunia 2018: Malaysia 1-2 Arab Saudi.
Berdasarkan perlawanan ini, saya mahu fokus kepada isu teknikal berbanding taktikal.
Secara keseluruhannya, berdasarkan aksi zonal marking yang dipamerkan Malaysia, kita boleh melihat:
1. Pemain kita boleh bermain dalam satu organisasi pertahanan.
2. Pemain kita boleh melakukan tugas bertahan secara klasik iaitu dengan mengeluarkan bola (clearance) dan mengacau rancangan serangan pihak lawan (destroying).
Cuma bila sampai ke transisi daripada bertahan kepada menyerang, kita boleh lihat betapa terbatasnya kemampuan kita untuk merancang serangan (building up attacking play).
Bagaimana pasukan defensif boleh berjaya?
Banyak pasukan boleh bermain dengan taktik ‘park the bus’.
Namun mereka juga tak banyak yang boleh menyudahkan peluang gol (converting chances) secara tajam (incisive) dan tepat (precisive) dan seterusnya menang.
Kajian kes: Greece 2004
Dalam kes Greece semasa Euro 2004, mereka memang bermain dalam taktikal cattenaccio.
Tetapi apabila mereka melakukan transisi kepada serangan balas (counter attack), mereka ada keupayaan yang tinggi untuk menjaringkan gol .
Pemain Greece ada kualiti teknikal yang bagus untuk melakukan counter attack dengan berkesan. Terutamanya dengan adanya pemain-pemain seperti Kostas Katsouranis, Giorgos Karagounis dan Theo Zagorakis.
Ketika perlawanan suku akhir menentang Perancis, Greece menang 1-0 hasil jaringan melalui hantaran lintang dari kanan dan tandukan.
Begitu juga ketika perlawanan separuh akhir (vs Republik Czech) dan final (vs Portugal): cross dari kanan dan gol kemenangan 1-0.
Kajian kes: Chelsea 2011/2012
Dalam kes Chelsea ketika menewaskan Barcelona dalam separuh akhir Champions League 2011/2012, mereka juga memiliki kepantasan dan kualiti teknikal untuk menyempurnakan peluang gol yang terhad.
Anak buah Roberto de Matteo mempunyai Ramires sebagai pusat counter attack di jentera tengah.
Sebagai pusat counter attack, Ramires bertnaggungjawab melancarkan counter attack dengan kepantasan dan kualiti teknikalnya.
Kunci utama kejayaan Chelsea ketika itu adalah ketajaman penyudah untuk menyempurnakan peluang yang terhad. Mereka ada keupayaan fizikal dan teknikal yang bagus untuk memenangi pertarungan 1 lawan 1 (duel) dan menjaringkan gol.
Kualiti yang mereka ada ini membolehkan Chelsea melancarkan serangan balas dengan aliran hantaran (passes flow) yang lancar.
Inilah perkara yang perlu diperbaiki oleh Malaysia.
Ya, lawan kita adalah Arab Saudi. Ya, kita tidak mempunyai pemain yang sama kualitinya dengan pemain Chelsea. Tetapi dalam kes Greece vs Perancis dan vs Portugal, Greece juga berada dalam perspektif Malaysia.
2 perkara yang perlu diperbaiki Malaysia
Antara aspek teknikal yang perlu ditekankan oleh Malaysia adalah:
1. Kadar kepantasan transisi pertahanan ke serangan
2. Teknik asas bola sepak
Kadar kepantasan transisi pertahanan ke serangan
Ketika ini, pemain kita terlalu mengikut gaya Liga Super. Mereka kerap kali menyalahgunakan kelajuan yang mereka ada.
Bila sepatutnya menggunakan kelajuan sederhana (jogging pace), pemain kita menggunakan kelajuan maksimum. Akibatnya serangan yang dilancarkan mereka tidak mendapat sokongan daripada rakan sepasukan.
Bila sepatutnya menggunakan kelajuan maksimum, pemain kita berpusing-pusing dan melengah-lengahkan serangan.
Ini yang kerap terjadi dalam liga tempatan kita. Dan ia juga sebab kenapa pemain import liga kita nampak terlalu bagus di mata kita.
Teknik asas bola sepak
Kemahiran membuat hantaran (passing), mengawal bola (first touch and ball control) dan membuat sepakan (striking) adalah asas paling penting.
i. Kemahiran membuat hantaran (passing)
Sekarang bukan zaman nak tengok pemain yang pandai melakukan hantaran ke bendera sudut (corner flag). Bola sepak moden sekarang mengukur kualiti hantaran berdasarkan kekuatan (weight of passes) dan jenis hantaran (type of passes) yang sesuai.
Pemain yang mampu menghantar bola dengan kekuatan (weight of passes) yang betul mampu menentukan sama ada bola sampai tepat ke kaki penerima. Atau sampai beberapa inci di depan kaki penerima seperti yang digemari oleh penyerang laju.
Dalam aspek jenis (type of passes) hantaran, ada sebab kenapa banyak pasukan moden menggemari hantaran pendek.
Dengan hantaran pendek, penerima bola tak perlu bersaing dalam situasi 1 lawan 1 (duel). Malah penerima bola juga hanya memerlukan satu sentuhan untuk menerima bola.
Ini semua adalah asas utama simple football – iaitu memudahkan kerja rakan. Tetapi bak kata Johan Cruyff, bermain bola sepak dengan cara mudah itulah yang paling susah.
Baca: 17 KATA-KATA JOHAN CRUYFF YANG MENGUBAH CARA ANDA BERFIKIR TENTANG BOLA SEPAK
ii. Kemahiran mengawal bola (first touch and ball control)
Dari segi kawalan bola (first touch and ball control), kualitinya bukan dinilai sama ada pemain mampu membuatkan bola ‘melekat’ di dada atau kaki semata mata.
Sebaliknya, ia turut dinilai sama ada pemain mampu melakukan sentuhan pertama (first touch) dan menukar arah bola pada sentuhan kedua. Ketika ini, masih banyak pemain kita masih bergelut pada sentuhan pertama.
iii. Kemahiran membuat sepakan (striking)
Dari segi sepakan atau rembatan (striking), pemain dinilai melalui kadar pertukaran peluang kepada gol (goal conversion rate) dan teknik yang mereka pilih. Kualiti ini menentukan sama ada pemain mampu menjadi klinikal atau tidak.
Tiga asas di atas inilah yang perlu kita perbaiki.
Apakah yang terjadi apabila pemain kita tidak memperbaiki kualiti teknikal?
Dalam perlawanan semalam, pemain kita mempamerkan kualiti defensif yang baik. Namun kualiti rancangan serangan (build up play) mereka masih lemah.
Masih terlalu banyak hantaran tak sampai. Kerap hilang bola.
Pemain kita juga gagal menyimpan bola lebih daripada 2-3 hantaran. Jika kita gagal menyimpan bola, bagaimana kita nak menyerang?
Dalam perlawanan semalam juga, semua pemain kita hanya mampu bermain dengan gaya pertahanan klasik (no-nonsense defending) – dengan mengeluarkan bola dari kawasan bahaya serta-merta.
Pemain pertahanan masih tidak mampu melakukan clearance yang mencetuskan peluang serangan balas.
Apabila pemain kita perlu menggunakan aspek lebih teknikal seperti dribbling, passing, holding ball (mengekalkan penguasaan bola di sebalik tekanan pemain lawan), close control (mengawal bola di ruang kecil) dan off the ball movement (larian tanpa bola), kelemahan kita terserlah.
Namun jangan salah anggap, saya tetap memberikan kredit kepada pasukan negara.
Aspek positif pasukan negara
Saya memuji pendekatan Ong Kim Swee yang menerapkan sistem zonal marking dan falsafah serangan yang fluid. Bagi saya, bertahan dengan sistem man marking dan menyerang dengan falsafah rigid tidak sesuai kerana kekurangan aspek fizikal kita.
Sistem man marking hanya perlu dilakukan dalam situasi bola mati (set-pieces), bukan sepanjang masa. Di sini, pasukan negara memerlukan kajian pra-perlawanan yang lengkap.
Daripada segi pertahanan, kita mempamerkan peningkatan. Bagaimanapun dari segi serangan, kita tidak mepamerkan banyak perbezaan.
Baca juga: ANALISIS TAKTIKAL KELAYAKAN PIALA DUNIA 2018: MALAYSIA 1-2 ARAB SAUDI