8 Penjaring 100 Gol EPL Yang Tidak Pernah Beraksi Di Piala Dunia

Sejak Liga Inggeris dijenamakan semula 26 tahun pada musim 1992/93, hanya 28 pemain yang pernah merekodkan 100 jaringan dan lebih.

Pernahkan anda terfikir, dari senarai tersebut, terdapat pemain-pemain yang tidak pernah beraksi di pentas Piala Dunia? Dan majoriti daripadanya adalah pemain kelahiran England.

1) Andy Cole (187 gol, England)

Bekas penyerang sensasi Manchester United di era 90-an ini merupakan penjaring ketiga terbanyak dengan 187 gol membabitkan 414 perlawanan di saingan EPL.

Walaubagaimanapun, Cole hanya memiliki 15 penampilan antarabangsa sebelum mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan selepas gagal menempatkan diri dalam skuad Piala Dunia 2002.

Penyerang England pada edisi tersebut dibarisi oleh Robbie Fowler, Emile Heskey, Teddy Sheringham, Darius Vassell dan juga Michael Owen.

Cole sentiasa dikenang sebagai penyerang yang memerlukan lima peluang untuk menjaringkan satu gol oleh bekas pengurus England, Glenn Hoddle.

Kenyataan itu dibuat Hoddle ketika mempertahankan tindakannya untuk tidak menyenaraikan Cole ke Piala Dunia 1998 walaupun pada ketika itu Cole menjaringkan 15 gol di saingan liga.

Karier terakhirnya di saingan EPL adalah bersama Sunderland iaitu pada musim 2007/08 dengan hanya 7 penampilan tanpa menjaringkan sebarang gol.

100 gol
Foto: AP

2) Les Ferdinand (149 gol, England)

Ferdinand adalah penjaring ke-9 terbanyak di saingan EPL dengan 149 gol daripada 351 penampilan bersama beberapa kelab antaranya Queens Park Rangers, Tottenham dan Newcastle.

Menurut laman sesawang Sporting Heroes, Ferdinand adalah penyerang klasik yang keras dan dianggap sebagai pilihan kedua di belakang Alan Shearer dan Teddy Sheringham.

Debutnya bersama England adalah pada usia 26 tahun iaitu dalam kelayakan Piala Dunia 1994 menentang San Marino. Beliau berjaya meledak satu gol untuk England menang 6-0.

Sungguhpun begitu, Ferdinand tidak pernah beraksi di pentas Piala Dunia walaupun merupakan sebahagian daripada skuad ke Piala Dunia 1998. Sehingga ke hujung kariernya, Ferdinand hanya merekodkan 17 penampilan bersama England.

Foto: DARREN WALSH/ACTION IMAGES

3) Ian Wright (113 gol, England)

Ian Wright telah merekodkan 113 gol dalam 213 aksinya di EPL. Wright memiliki ratio jaringan antara yang terbaik dalam senarai ini.

Bersama Arsenal, Wright melalui musim yang cemerlang apabila berjaya menjuarai kejohanan domestik dan eropah.

Debut antarabangsanya tiba pada usia 27 tahun dalam aksi persahabatan menentang Cameroon. Sepanjang lapan tahun karier antarabangsa, Wright hanya tampil 33 kali buat England.

Dari penampilan pertama antarabangsanya pada 1991 hingga penampilan terakhir pada 1998, Wright meledak 199 gol bersama 3 kelab iaitu Crystal Palace, Arsenal dan West Ham.

Walaupun memiliki rekod jaringan yang sangat baik bersama Crystal Palace dan Arsenal (lingkungan 20 hingga 35 gol semusim), England seolah-olah ‘terlepas pandang’ akan kebolehannya.

100 gol
Foto: Getty Images

4. Dion Dublin (111 gol, England)

Dion Dublin hanya tampil 4 kali tanpa sebarang gol dalam karier singkatnya bersama England diantara Februari sehingga November 1998.

Karier cemerlangnya bersama Cambridge United telah menarik Sir Alex Ferguson untuk menandatanganinya pada musim 1992/93.

Akibat kecederaan patah kaki yang dialami pada musim pertamanya serta kehadiran Eric Cantona selepas itu, kariernya bersama Manchester United tidak menjadi.

Bagaimanapun Dublin cemerlang bersama Coventry City pada musim 1997/98 apabila berjaya dinobatkan penjaring terbanyak liga bersama Owen dan Chris Sutton.

Anehnya, Dublin tidak mendapat tempat bersama skuad England ke Piala Dunia 1998 walaupun berpeluang tampil di dalam aksi persahabatan.

100 gol
Foto: Rexmail Pix

5) Ryan Giggs (109 gol, Wales)

‘One-club men’, Ryan Giggs mendapat debut antarabangsanya pada usia 17 tahun iaitu pada 1991, seiring dengan tahun dia mendapat debut bersama Manchester United.

Giggs menjaringkan 109 gol dari 632 penampilannya di EPL dan berada di kedudukan.

Sepanjang 64 penampilan antarabangsa Giggs, Wales tidak pernah layak ke Piala Dunia sejak edisi 1958.

Jika Giggs adalah seorang pemain yang mempunyai impian untuk beraksi di pentas tertinggi bola sepak, sudah tentu pada awal kariernya, dia akan memilih untuk bersama England.

“Saya lebih suka melalui karier saya tanpa layak ke kejohanan utama daripada bermain untuk negara bukan kelahiran saya atau yang tiada kaitan dengan ibu bapa saya,” ujarnya kepada BBC.

Giggs dilahirkan di Cardiff dan ibu bapanya berketurunan Wales, walaupun sejak kecil membesar di England. “Saya adalah orang Wales, tutup cerita,” ujar Giggs lagi.

100 gol
Foto: Daily Post

6) Harry Kane (108 gol, England)

Ketika Ireland memantau situasinya untuk menyertai mereka pada 2015, England terlebih dahulu meminangnya untuk beraksi bersama skuad The Three Lions.

Kane boleh beraksi untuk Ireland menerusi bapanya yang merupakan warganegara Ireland. Prestasi cemerlangnya telah memikat bekas pengurus England, Roy Hodgson.

Kane kini telah menjaringkan 13 gol melalui 24 penampilan bersama England. Bersama Spurs, Kane telah menjaringkan 140 gol dalam semua pertandingan sehingga musim lalu.

Dengan jumlah 108 gol daripada 153 penampilannya di EPL, ratio 0.71 jaringan merupakan yang tertinggi di kalangan 28 pemain.

Pada 19 Jun ini, England akan turun menentang Tunisia. Dan jika tiada sebarang masalah Kane dijangka turun beraksi sekaligus secara rasmi terkeluar daripada senarai ini.

100 gol
Foto: BBC

7) Darren Bent (106 gol, England)

Darren Bent pernah beraksi di dalam setiap peringkat umur skuad England sejak B-15 sehingga B-21, sebelum membuka langkah bersama skuad kebangsaan pada 2006.

Untuk kelab, Bent pernah beraksi untuk beberapa pasukan di EPL seperti Ipswich Town, Charlton Athletic dan Tottenham. Beliau juga memiliki rekod jaringan yang bagus untuk beberapa musim.

Antaranya ialah pada musim 2005/06 bersama Charlton Athletic, Bent meledak 18 gol.

Prestasi beliau telah menarik minat pengurus England ketika itu, Sven Goran Eriksson memanggilnya ke skuad utama England daripada skuad B-21 ketika itu.

Bagaimanapun, kariernya bersama skuad kebangsaan England tidaklah indah. Bent hanya membuat 13 penampilan sepanjang 12 tahun selepas aksi sulungnya itu.

100 gol
Foto: Sky Sports

8) Matt Le Tissier (100 gol, England)

Le Tissier membuat penampilan sulung untuk skuad kebangsaan England di usia 25 tahun pada 1994. Sepanjang 4 tahun karier antarabangsanya, beliau hanya tampil 8 kali untuk negaranya.

Dilabel sebagai pemain penyerang yang kreatif dan mempunyai visi untuk mencipta ruang dan peluang buat rakan sepasukan Bent turut dikenali dengan rembatan padunya.

Menurut Sporting Heroes, permainan Le Tissier lebih kepada skil individu dan bukan secara berpasukan. Ini menyebabkan Le Tissier sering terasing dalam sesuatu perlawanan.

Akhirnya pengurus England ketika itu, Hoddles telah bertindak menggugurkannya daripada skuad Piala Dunia 1998 dan ianya mendapat respon negatif darinya.

Bercakap kepada media, Le Tissier menyatakan keputusan yang dibuat Hoddles itu telah melumpurkan kariernya sehingga tidak pernah pulih lagi.

Rekod 100 gol dari 270 penampilannya di EPL semuanya dihasilkan bersama satu kelab sahaja iaitu Southampton.

100 gol
Foto: Offside / Mark Leech

Penutup

Itu adalah 8 pemain yang telah merekodkan 100 gol dan lebih di EPL namun tidak pernah beraksi di Piala Dunia. Dan salah seorangnya akan dikeluarkan dari senarai pada Selasa depan.

Ada pelbagai ceritera dan sebab kepada kegagalan mereka untuk menjejak kaki ke pentas Piala Dunia. Mungkin pengurus ketika itu ada alasan yang tersendiri untuk menyisihkan mereka.

.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN