8 Pemain Dari Tanah Kelahiran Maradona Yang Pernah Menyarung Jersi JDT

Argentina adalah tanah tumpah pemain terkenal dunia Diego Maradona. Negara tersebut yang sinonim dengan skuad La Albiceleste turut pernah melahirkan ramai pemain ternama dunia yang lain.

Antaranya adalah pemenang Ballon d’Or sebanyak enam kali, Lionel Messi, Gabriel Batistuta, Hernan Crepo, Paulo Dybala, Angel Di Maria dan ramai lagi.

Kita di Malaysia turut tidak ketinggalan menyaksikan pemain dari negara Amerika Selatan itu memperagakan kebolehan mereka di dalam saingan domestik negara.

Lapan daripada mereka amat sinonim dengan juara Liga Super Malaysia tujuh kali berturut-turut, Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Luciano Figueroa

Karier Luciano Figueroa boleh dibukukan sekiranya kisah beliau bersama JDT mahu diceritakan semuanya.

Dilahirkan pada 19 Mei 1981 di Santa Fe, Argentina, Figueroa tempat kelahiran dan wilayah asal kepada salah seorang lagi legenda bola sepak Argentina iaitu Gabriel Batistuta.

Karier profesional Figueroa bermula pada 2001 bersama Rosario Central ketika berusia 21 tahun, dan Figueroa dilaporkan menyertai JDT dengan nilai perpindahan sekitar US$1 juta dari Panathinaikos.

Pelaburan JDT nyata berbaloi. Musim 2014, Lucho menjaringkan 10 gol untuk membantu JDT bergelar juara Liga Super.

Musim berikutnya, adalah musim terbaik Luciano Figueroa bersama JDT. Selain daripada Piala Sumbangsih dan Liga Super, Lucho turut membantu JDT muncul juara Piala AFC.

Turut bergelar pengurus skuad Harimau Selatan sejak beberapa musim lalu, Figueroa dianggap sebagai antara pemain import dari Argentina yang paling memberi kesan kepada JDT sehingga sebahagian daripada teres di Stadiu Sultan Ibrahim turut dinamakan sebagai ‘Luciano Figueroa Stand’ untuk mengenang jasanya.

Juan Martin Lucero

Pemain ini agak unik. Pernah dianggap sebagai pemain import yang gagal.

Hanya 3 gol dalam tempoh 2 bulan pertamanya bersama JDT bukanlah bermakna Lucero penyerang yang tak bagus.

Sebaliknya dalam tempoh tersebut, beliau sedang mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan JDT. Atau memanaskan ‘enjin’ kata orang kita.

Setibanya bulan April, Lucero yang dikenali sebagai El Gato (Si Kucing) bagaikan El Pantera. Di Argentina, beliau mungkin dipanggil si kucing. Tetapi di Malaysia, beliau adalah harimau kumbang. Senyap tetapi berbahaya.

Sukar dinafikan, Chemistry spark beliau dengan Jorge Pereyra Diaz juga punca peningkatan prestasinya.

Walaupun beraksi selama semusim bersama JDT pada 2016, Lucero telah menjaringkan 16 gol dari 22 penampilannya.

Pablo Aimar

Pablo Aimar dianggap sebagai salah seorang “marquee signings” yang pernah dilakukan JDT dan merupakan antara nama besar yang pernah menghiasi Liga Malaysia.

Merupakan bekas pemain Valencia dan Benfica dan juga lagenda Argentina, tidak keterlaluan jika kita ingin melabelkan Pablo Aimar sebagai pemain No.10 terbaik yang pernah Liga Malaysia saksikan.

Beliau yang juga merupakan idola kepada bintang Barcelona iaitu Lionel Messi nyata memberikan impak kepada Liga Malaysia dari segi permainan beliau di atas padang dan juga nilai komersil Liga Malaysia itu sendiri.

Walaupun jodoh beliau dengan JDT cuma sementara, namun beliau akan diingati sebagai salah seorang pemain import berprofil tinggi yang pernah beraksi di Liga Malaysia.

Leonel Nunez

Lionel Nunez mungkin tidak panjang jodohnya bersama pasukan JDT, namun gol-gol yang dihasilkan beliau tetap memberikan kenangan manis buat penyokong JDT.

Nunez memberikan impak yang cukup baik buat pasukan JDT sejak dari hari pertama yang beliau beraksi untuk pasukan tersebut, dan nyata gol-gol beliau memberikan kemenangan penting buat pasukan dari selatan tanah air itu.

Celoteh dan kenakalan Nunez walaupun ketika beraksi di atas padang sering menjadi bahan ketawa penyokong JDT. ” Mat Yo tak sala! ” .. Kenangan tersebut tidak mudah dilupakan kerana ianya sangat melucukan.

Dan sudah tentu antara momen yang tak akan hilang di dalam memori penyokong Harimau Selatan ialah bagaimana satu rembatan lencong tepat singgah ke dalam gawang gol menewaskan Norazlan Razali di suku akhir Piala Malaysia 2013 pasti masih menjadi ingatan.

Jorge Pereyra Diaz

Jorge Pereyra Diaz bukanlah nama asing untuk peminat bola sepak Malaysia. Beliau pernah menjadi pemain kegemaran di Larkin namun kini menjadi sebaliknya.

Selain daripada sikap yang ala-ala diva, tidak dinafikan bakat dan kehebatan yang beliau miliki di atas padang. Diaz juga pemain penting skuad Mario Gomez musim 2016.

Peranan Diaz di dalam padang adalah unik kerana lebih kepada pemain No.10 bebas (free role) yang memberi tumpuan utama untuk menguasai zon 14 secara dominan.

Namun kisah Diaz bersama JDT tidak berakhir dengan baik. Sikap diva dan besar kepala merupakan antara sebab Diaz tidak kekal lama bersama Harimau Selatan.

Leandro Velazquez

Leandro merupakan wira JDT apabila tampil sebagai penjaring gol tunggal di perlawanan akhir Piala AFC 2015 yang memberikan kejuaraan kepada skuad Harimau Selatan itu.

Pertama kali menyarung jersi skuad Harimau Selatan selama semusim, pada 2015, Leandro Velazquez sekali lagi kembali menyertai JDT pada 2019 sebagai pengganti Aaron Niguez.

Percaturan JDT tidak sia-sia apabila Velazquez menjaringkan 8 gol dari 17 perlawanan Liga Super, selain daripada satu gol di perlawanan akhir Piala Malaysia 2019.

Lebih daripada itu, khidmat Velazquez turut dilihat sebagai punca kreativiti Harimau Selatan untuk membuka ruang jaringan buat rakan sepasukan lain sehingga ke hari ini.

Gabriel Guerra

Gabriel Guerra adalan produk akademi Boca Juniors dan mulai beraksi di Liga Malaysia pada musim 2015 bersama PKNS FC di saingan Liga Premier.

Dua musim bersama skuad Semut Merah, Guerra membantu PKNS FC muncul juara Liga Premier dan naib juara Piala FA pada 2016, sebelum berhijrah menyertai JDT pada musim berikutnya.

Semusim bersama JDT, Guerra membentuk gandingan yang mantap dengan seorang lagi pemain import dari Argentina, Gonzalo Cabrera.

Berjaya menjaringkan tujuh gol dari 20 penampilan di Liga Super, dan membantu skuad Harimau Selatan mengekalkan kejuaraan liga buat musim keempat berturut-turut pada ketika itu.

Gonzalo Cabrera

Gonzalo Cabrera dianggap sebagai pemain import paling konsisten di Liga Malaysia sejak beberapa musim yang lalu.

Tatkala adakalanya mengalami saat sukar di dalam perlawanan, Cabrera tampil dengan semangat melawan dan ‘no nonsense approach’ yang dimiliki beliau.

Mulai menyertai JDT pada musim 2017, Cabrera kini turut memegang rekod sebagai penjaring terbanyak JDT sepanjang zaman dengan 57 gol.

Turut memiliki pasport Iraq, Cabrera kini mengisi slot pemain import Asia di JDT, dan turut dicanang sebaga salah seorang pemain asing yang bakal dinaturalisasi untuk pasukan negara.

Penutup

Benar. Ada lagi pemain lain seperti Brian Ferreira, Fernando Elizari dan ramai lagi pernah menyarung jersi JDT. Tetapi lapan pemain ini antara yang paling dikenali ramai.

Hubungan JDT dengan bakat dari Argentina sememangnya berpisah tiada. Sebentar tadi, JDT turut mengumumkan Jonathan Herrera sebagai pemain import baharu mereka pada musim 2021.

Mampukah Jonathan Herrera menampilkan prestasi sepertimana yang telah ditampilkan oleh rakan senegaranya bersama JDT sebelum ini?

Kredit gambar hadapan: Empayar Darul Takzim- EDT

Baca artikel lain kami mengenai JDT:

4 Perkara Di Sebalik Pembelian Syahrian Abimanyu Oleh JDT

Sains Di Sebalik Keperluan Penjagaan Nutrisi Yang JDT Amalkan

Sains Di Sebalik Mesin’ Infrared Sauna Therapy’ & ‘Airpod Oxygen & Hydrogen Therapy’ Milik JDT

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN