7 Pemain Remaja Dipanggil Xavi Sertai Latihan Skuad Utama Barcelona

Perkara pertama yang dilakukan oleh Xavi seraya dilantik pengurus Barcelona pada Isnin lalu ialah menyaksikan perlawanan membabitkan skuad Barca B.

Selepas itu Xavi turun ke sesi latihan pertama pada Selasa dengan tujuh pemain muda yang berjaya memikat bekas pemain tengah itu untuk diketengahkan bersama skuad utama.

Selama ini Barcelona sememangnya terkenal dengan produk dari Akademi La Masia. Namun sejak beberapa musim lalu, sukar untuk melihat pemain muda dari akademi tersebut mendapat tempat di dalam kesebelasan utama Barca – kecuali Ansu Fati dan Pedri.

Kini Xavi mahukan lebih ramai pemain menjadi asas dan tunjang kekuatan gergasi dari Catalan itu. Kenali tujuh pemain muda yang telah dipanggil oleh Xavi untuk menyertai skuad utama Barcelona baru-baru ini.

Ilias Akhomach

Baru berusia 17 tahun, Ilias Akhomach adalah pemain yang mempunyai kerakyatan Maghribi dan Sepanyol. Pemain itu sehingga kini masih lagi mewakili Sepanyol di perinkat antarabangsa bawah umur.

Ilias dilihat sebagai seorang lagi bintang muda bakal menyerlah dari La Masia selepas Ansu Fati, Gavi dan Nico Gonzalez – dan Xavi yang amat memahami budaya di Barcelona mungkin adalah kunci untuk karier pemain ini terus berkembang ke skuad utama.

Di dalam skuad Barcelona pada hari ini, Xavi memerlukan seorang pemain sayap dan Ilias memiliki profil pemain yang diperlukan bekas pengendi Al Sadd itu.

Seperti Xavi, Ilias juga mempunyai kepantasan, kemahiran menggelecek luar biasa dalam situasi satu lawan satu, serta mempunyai kualiti teknikal yang mampu membantu pasukan memecah garisan pertahanan lawan.

Amat berbahaya beraksi di sebelah kanan, segelintir pihak di Barcelona membandingkan pemain muda itu dengan Lionel Messi.

Arnau Comas

Arnau Comas adalah antara pemain low profile di dalam skuad Barca B, dan sudah bersama skuad remaja gergasi Catalan itu sejak sekian lama.

Berusia 21 tahun dan mempunyai ketinggian 1.9 meter, Arnau Comas mempunyai kualiti yang baik secara taktikal, selesa dengan bola di kaki, dan ketinggian miliknya adalah aset pentun untuk perebutan bola di udara.

Bek tengah itu sudah pun dipanggil oleh Ronald Koeman untuk menyertai skuad utama ketika latihan pra musim, dan kini menjadi perhatian Xavi.

Beliau adalah kapten Barca B dan kualiti kepimpinan beliau sememangnya menyerlah ketika berada di dalam padang.

Mika Marmol

Daripada segi karakter, Mika Marmol mempunyai banyak persamaan dengan Arnau Comas. Kedua-duanya merupakan pemain yang sangat profesional, dan beraksi dengan mantap sebagai bek kiri.

Mempunyai ketinggian 1.8 meter dan berusia 20 tahun, pemain ini sentiasa terbuka untuk memahami konsep taktikal dan peranan dalam perlawanan.

Sentiasa bekerja keras tanpa sebarang rungutan menjadikan Mika Marmol disenangi mana-mana pengendali dan merupakan pemain yang konsisten.

Maka tidak hairanlah mengapa Mika Marmol tidak pernah terlepas minit beraksi bersama Barca B.

Alvaro Sanz

Mana-mana pasukan gemar untuk memiliki pemain yang versatil. Tetapi untuk pemain muda, ia boleh menjadi masalah kerana ia boleh menyukarkan mereka fokus untuk mendapatkan posisi tertentu.

Namun ia bukannya masalah buat Alvaro. Beliau sebelum ini pernah dipanggil oleh Segi Barjuan untuk skuad Barca B tetapi tidak diberikan debut.

Di bawah kendalian Garcia Pimienta sebelum itu, pemain ini sering digunakan di posisi bek kanan, dan beliau beraksi di baik di situ.

Posisi terbaik pemain berusia 20 tahun ini sebenarnya adalah di bahagian tengah. Beliau bijak melakukan tugasan pivot, menggerakkan bola dengan bijak dan mematahkan serangan lawan. Kerana itulah beliau digelar ‘kereta kebal’ di kalangan rakan sepasukan di dalam skuad Barca B.

Baru berusia 20 tahun, Alvaro sudah berada di La Masia sejak 2015 lagi.

Ez Abde

Nama sebenarnya adalah Abde Ezzalzouli dan merupakan pemain kelahiran Maghribi.

Berusia 19 tahun, Ez Abde adalah seorang pemain sayap klasik yang gemar melakukan larian di bahagian sisi padang sehingga ke byline sebelum melakukan hantaran lintang.

Tiba dari Hercules pada musim panas lalu pada nilai €2 juta, Ez Abde mulai menyesuaikan diri dengan gaya dan sistem permaianan di Barca B.

Di dalam kebanyakkan perlawanan, khidmat beliau sering digunakan untuk menghadirkan impak segera – bermakna lebih kerap beraksi dari bangku simpanan. Pemain ini juga dikenali kerana mempunyai sikap yang betul untuk pergi jauh di dalam karier.

Ferran Jutgla

Ia bukan perkara yang mudah apabila anda adalah kapten pasukan dan kemudian terpaksa berhijrah menyertai pasukan seteru demi perkembangan karier.

Itulah yang berlaku kepad Ferran Jutgla apabila beliau meninggalkan Espanyol dan menyertai Barcelona.

 

Penyerang berusia 22 tahun ini adalah pemain utama skuad kendalian Sergi Barjuan. Mempunyai sentuhan penyudah yang tajam, Ferran adalah penjaring kedua terbanyak Barca B.

Bukan sahaja mampu menghasilkan gol, pemain ini juga bijak menghasilkan assist untuk rakan sepasukan yang lain. Xavi jelas teruja dengan apa yang beliau lihat di Johan Cruyff Arena.

Antonio Aranda

Antonio Aranda dianggap sebagai pembelian terbesar untuk skuad Barca B dari Granada pada musim ini.

Aranda turut berhadapan dengan adiknya Oscar beberapa minggu lalu dalam perlawanan mini-Clasico.

Merupakan seorang pemain tengah sebelah kiri, Antonio juga mempunyai keupayaan beraksi sebagai pemain sayap kiri, pemain tengah menyerang, atau penyerang kedua.

Gerakan dilakukan pemain ini dianggap classy, gemar menewaskan lawan dalam situasi satu lawan satu, dan mempunyai rembatan yang deras. Musuh utamanya adalah prestasi yang tidak konsisten.

Rumusan

Dengan sumber kewangan yang terhad, Xavi mungkin melihat inilah peluang terbaik untuk menghidupkan kembali bakat-bakat bola sepak dari La Masia.

Sudah dipanggil Xavi menyertai latihan skuad utama, kini terpulang kepada tujuh pemain muda ini untuk mencuri perhatian Xavi bagi merebut tempat di dalam kesebelasan utama selepas ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN