7 Bintang Muda Yang Perlu Diberi Perhatian Sepanjang Copa America 2019

Kejohanan Copa America 2019 sedang rancak berlangsung di di enam venue serata Brazil. Morumbi, Sao Paulo; Porto Alagre; Rio de Janeiro; Salvador; Arena Corinthians, Sao Paulo; dan Belo Horizonte akan menjadi pentas saingan 12 negara – termasuk dua pasukan jemputan – untuk merebut gelaran jaguh bola sepak Amerika Selatan.

Lupakan nama-nama besar lain seperti Philippe Coutinho, Lionel Messi, James Rodriguez atau pun Aturo Vidal. Berikut adalah 7 pemain muda yang menjadi tumpuan kejohanan pada kali ini.

Lucas Paquetá (Brazil)

Nama Lucas Paqueta mungkin belum lagi setanding dengan bakat-bakat hebat yang pernah dilahirkan oleh Brazil. Namun untuk 12 bulan yang lalu, perjalanan karier Paqueta mulai mencuri tumpuan. Karier beliau bermula bersama Flamengo sebelum disambar oleh AC Milan pada Januari lalu. Beberapa bulan yang lalu Paqueta dilihat berusaha keras dengan kehidupan baharu beliau di Itali – tampil dalam 16 perlawanan untuk skuad kendalian Gennaro Gattuso.

Pada usia 21 tahun Paqueta dianggap mentah di dalam skuad kebangsaan Brazil. Namun dengan ketiadaan Neymar, peluang pemain tengah menyerang berusia 21 tahun ini untuk diturunkan beraksi di dalam skuad kendalian Tite dilihat cerah, sama ada sebagai pemain gantian atau jika berlaku kecederaan kepada pemain utama. Paqueta dilihat sebagai pemain pilihan kedua di bahagian tengah menyerang selepas Philippe Coutinho.

Giovani Lo Celso (Argentina)

Giovani Lo Celso dijangka akan memainkan peranan besar bersama Argentina di kejohanan ini. Beliau sudah pun beraksi selama 90 minit ketika Argentina tewas 2-0 kepada Colombia dalam perlawanan pembukaan. Pemain tengah berusia 23 tahun ini dikaitkan dengan perpindahan ke Tottenham Hotspur sejak jendela perpindahan antarabangsa dibuka beberapa minggu yang lalu.

Selepas permulaan karier di eropah yang agak mengecewakan ketika bersama PSG, Lo Celso mulai menyinar selepas berhijrah ke La Liga bersama Real Betis. Sejak daripada itu pemain tengah berusia 23 tahun ini tidak lagi memandang ke belakang. Sembilan gol dan empat bantuan gol di peringkat kelab sepanjang musim lalu, dan cemerlang dalam beberapa perlawanan persahabatan bersama skuad Lionel Scolani, Lo Celso dilihat sebagai generasi baharu harapan bola sepak Argentina.

Wuilker Faríñez (Venezuela)

Penjaga gol berusia 21 tahun ini mulai mencuri tumpuan selepas menampilkan prestasi cemerlang bersama kelab beliau di Colombia, Millonarios. Baru-baru ini ayah beliau mendedahkan anaknya telah dihubungi oleh Barcelona. Cemerlang ketika membantu Venezuela menewaskan Amerika Syarikat dalam aksi perlawanan persahabatan, Copa America pasti memberi cabaran yang berbeza.

Sudah pun beraksi dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan yang berakhir tanpa jaringan menentang Peru, Farinez menyelamatkan sembilan percubaan dalam perlawanan tersebut. Perlawanan seterusnya menentang Brazil adalah ujian sebenar buat Farinez.

Federico Valverde (Uruguay)

Berusia 20 tahun, beliau dianggap prospek utama Real Madrid setelah diberikan banyak peluang beraksi sejak ketibaan kedua Zinedine Zidane di Santiago Bernabeu. Bagi Uruguay, Valverde adalah antara pemain generasi baharu yang akan mendukung pasukan bola sepak negara tersebut dimana penduduknya hanya berjumlah 3.48 juta orang.

Valverde adalah seorang pemain tengah yang versatile dalam corak permainannya. Mampu menjaringkan gol dari jarak jauh, pemain ini juga berkebolehan untuk melakukan tugas bertahan. Saingan utama buat Valverde dalam skuad La Celeste pastinya hadir daripada Rodrigo Bentancur (Juventus) dan Matias Vecino (Inter Milan) untuk berada dalam kesebelasan utama.

Takefusa Kubo (Jepan)

Ada sebab mengapa pemain Jepun berusia 18 tahun ini dikenali sebagai ‘Messi Jepun’. Pertama, ia kerana Kubo juga pernah berada di dalam sistem pembangunan yang sama dengan bintang bola sepak dari Argentina itu. Kedua, adalah kerana corak permainan lincah dan skil yang dimiliki yang dikatakan persis kapten Argentina itu.

Selepas meninggalkan akademi Barcelona pada 2015, penyerang muda ini menyerlah di J.League bersama Tokyo FC. Diumumkan sebagai pemain Real Madrid sebelum bermulanya kejohanan Copa America, tumpuan pasti terarah kepada pemain ini. Pasti ada sebab munasabah mengapa dua gergasi La Liga ini mahukan khidmat Kubo.

Richarlison (Brazil)

Richarlison bukan lagi nama asing bagi peminat bola sepak Inggeris. Sepertimana bersama Everton, persembahan beliau bersama skuad kebangsaan Brazil turut memberangsangkan apabila menjaringkan lima gol dan tiga bantuan gol dari 10 penampilan pertama bersama negaranya.

Brazil tidak pernah kekurangan pemain di bahagian serangan, kerana turut mempunyai pemain seperti Roberto Firmino, Gabriel Jesus dan David Neres – walaupun dengan ketiadaan Neymar. Namun dengan prestasi seperti yang ditampilkan dalam perlawanan persahabatan menjelang kejohanan, Richarlison turut boleh menjadikan kejohanan ini sebagai batu loncatan utama untuk ke tahap seterusnya.

Lautaro Martínez (Argentina)

Masih mampu menghasilkan enam gol walaupun dengan peluang yang amat terhad bersama Inter Milan, Martinez sudah menampilkan bukti beliau adalah seorang bintang dalam pembikinan. Baru berusia 21 tahun, nama beliau tercicir di saat akhir untuk ke Piala Dunia di Rusia yang lalu. Namun kali ini, beliau tampil lebih bersedia apabila turut mencuri tumpuan dalam perlawanan persiapan ke kejohanan di Brazil ini.

Nama Mauro Icardi mungkin tiada dalam perancangan Lionel Scaloni di Copa America, namun saingan utama Martinez masih datang dari pemain lain seperti Segio Aguero. Bagaimanapun, peluang tetap akan hadir buat Martinez membuktikan diri dalam kejohanan kali ini.

Penutup

Tujuh pemain ini kini mempunyai peluang untuk menyerlah bersama pasukan negara masing-masing di pentas Copa America 2019.

Siapakah yang akan berjaya mencuri tumpuan? Mampukah mereka menampilkan tahap permainan yang diharapkan oleh penyokong pasukan masing-masing?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN