1. Malaysia berikan tentangan
Secara keseluruhannya, ini merupakan aksi melawan daripada pasukan Malaysia, berhadapan dengan pasukan di ranking ke-65 dunia.
Malaysia melakukan lebih banyak percubaan tepat ke gawang lawan dan memiliki penguasaan bola yang hampir seimbang.
Jika sebelum ini, susah nak melihat Malaysia mendapat 40% penguasaan bola dalam perlawanan seperti ini.
Gaya permainan Malaysia pada malam semalam menunjukkan bahawa kita bukan pasukan belasahan seperti yang pernah kita hantar menentang UAE dahulu.
2. Syafiq Ahmad penjaring ekstra
Dalam sesebuah pasukan yang baik, perlu ada penjaring ekstra, jika penyerang utama ataupun penyerang sayap tidak dapat melaksanakan tugas.
Dalam 2 perlawanan, Syafiq Ahmad membuktikan beliau ada kualiti tersebut. Beraksi dalam posisi lebih kepada box to box, Syafiq Ahmad adalah ancaman utama kepada lawan ketika petarungan secara aerial.
Namun kami masih mahukan Syafiq Ahmad memperbaiki aspek seperti kreativiti dan juga konsistensi sepanjang 90 minit.
Sistem 4-2-3-1 Tan Cheng Hoe memang dikenali dengan kebergantungan kepada pemain tengah defensif (AM).
3. Pertukaran pemain Tan Cheng Hoe
Tan Cheng Hoe berhadapan dengan sedikit kerosakan pelan pertukaran apabila Sumareh terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan.
Namun sebenarnya, Sumareh sudah mengalami kecederaan lebih awal. Mungkin TCH harus menangguhkan dahulu pertukaran Norshahrul, kerana ada pemain yang cedera.
Ini dengan memantau perkembangan Sumareh terlebih dahulu, jika beliau tidak mahu melakukan pertukaran terus bertukar kepada Sumareh.
Secara tidak langsung, apabila mengeluarkan Norshahrul dan Sumareh, bermakna, terlalu banyak pertukaran melibatkan pemain di serangan.
Lebih sukar, pemain yang masuk menggantikan mereka lebih kepada pemain defensif dan juga pemain sisi klasik (side midfielder).
Kualiti pemain yang digelar ‘depth player’ agak ketara. Mereka gagal untuk menampung kualiti yang ditinggalkan pemain utama, terutama sekali Sumareh.
Secara kasarnya, pertukaran Ah Hoe kali ini kurang memberikan impak.
4. Taktikal Tan Cheng Hoe
Tan Cheng Hoe jelas sekali membuatkan pasukan Harimau Malaya lebih bertaktikal. Ada orientasi yang jelas ketika ada bola di kaki.
UAE tidak terlalu superior dalam pertarungan taktikal. Malah mereka sendiri banyak turun bertahan dan berkampun di kawasan mereka dalam beberapa fasa, dek kerana serangan kita.
Berlaku pattern permainan yang lebih jelas, pemain bek sisi ditolak ke tempat yang sangat tinggi dan pemain no.6 akan menjadi ‘half back’ untuk melancarkan lagi sistem binaan serangan daripada belakang.
Ketika bertahan, Malaysia lebih cepat untuk ‘reshape’. Cuma masalah yang sama seperti perlawanan menentang Indonesia di mana berlaku kesilapan individu ketika proses, pasukan sudah menolak pemain ke atas. Ini membuatkan berlaku numerical disadvantage.
5. Isu teknikal
Jika secara taktikal, kita membuktikan kita kompeten dalam perlawanan ini. Terutama sekali pada kedudukan ketinggalan 1-2. Di mana, pergerakan bola di antara pemain lebih laju dan intensif.
Secara teknikal pula, Malaysia masih sukar bersaing dengan ‘Pak Arab’.
Kesilapan individu itu memang akan berlaku. Namun dalam situasi gol kedua misalnya, Adam Nor Azlin melakukan tindakan yang betul untuk ‘recover’ daripada kesilapan rakannya. Cuma pada fasa beliau cuba melakukan ‘body charge’, beliau pula yang terpelanting.
Seterusnya, ketika serangan, pertahanan UAE banyak sekali mematikan serangan dengan corak fizikal yang membuatkan pemain kita tewas.
Bagaimana nak mengatasi perkara itu?
Anda baca balik perenggan pertama, butiran ke-5 ini. Elakkan pertarungan fizikal yang terlalu kerap. Ini dilakukan dengan melakukan lebih banyak permainan kombinasi dengan gerakan dan hantaran antara pemain yang laju.
Ketika bertahan, banyakkan latihan untuk mematikan bola secara terus, berbanding dengan usaha untuk bersaing fizikal.
6. Isu defensif
Ini adalah perlawanan yang kita rasa, kita boleh menang. Itu yang sangat positif. Cuma kita dihampakan dengan kesilapan kita sendiri dan gagal untuk recover.
Malaysia selepas ini perlu fokus kepada isu bertahan dalam situasi seperti:
1. Mengekang ancaman dari belakang – dalam perlawanan menentang Indonesia lagi isu ini sangat kritikal. Namun kita berjaya ‘recover’ pada fasa akhir. Gol pertama UAE adalah kerana ancaman daripada belakang pertahanan
2. Elakkan kehilangan bola di garisan akhir – Gol pertama Indonesia tempoh hari, kita hilang bola di bek sisi dan terus pasukan lawan dapat gol. Gol kedua UAE, kita hilang bola di garisan akhir.
Terima kasih Harimau Malaya
Secara keseluruhannya, kita boleh memuji tentangan yang diberikan oleh Malaysia pada kali ini.
Sayang sekali, lawan kita sangat opportunist dengan peluang yang ada.
Semoga kita lebih baik di masa akan datang. Tan Cheng Hoe pastinya ada kerja rumah tersendiri untuk memikirkan pembentukan pasukan dalam tugasan yang akan datang.
Selamat berehat kepada pasukan Malaysia dan Terima kasih kepada semua pemain dan pegawai pasukan yang sangat komited dalam tugasan kali ini. Terutama sekali malam di SGBK.