Quantcast

BERITA

FAM Sahkan Aduan Sudah Dihantar Kepada FIFA

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa mereka sudah mengemukakan aduan rasmi tentang kekecohan penyokong di Stadium Gelora Bung Karno – kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), semalam.

Aduan tentang kekecohan penyokong melibatkan apa yang berlaku ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di antara Indonesia dan Malaysia.

Penyokong dan pemain Harimau Malaya terpaksa dievakuasi daripada stadium kerana ancaman daripada penyokong tuan rumah – yang kecewa dengan kekalahan 2-3 di tempat sendiri.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam memberitahu Berita Harian bahawa FAM sudah menghantar aduan dengan 18 muka surat kepada FIFA.

Antara bukti yang disertakan oleh FAM adalah pautan video, gambar melibatkan insiden ketika hari kejadian – sama ada yang berlaku di dalam stadium mahupun di luar stadiu.

“Bukti itu kami dapat daripada beberapa sumber termasuk video yang tersebar di media sosial. Kami percaya FIFA dan AFC akan membuat keputusan terbaik berdasarkan penilaian mereka berdasarkan bukti yang ada,” tambah Stuart lagi.

Jika didapati bersalah, PSSI bakal berhadapan hukuman berat daripada FIFA. Ini termasuk beraksi dalam stadium kosong serta beberapa hukuman lain lagi.

Pada 2018, FAM pernah dihukum kerana isu kekecohan penyokong. Didenda RM169,000 dan beraksi satu perlawanan tanpa penonton.

Selain itu, perkara ini bakal mengganggu reputasi PSSI dalam usaha mereka membida untuk menjadi penganjur acara Piala Dunia B-20 untuk edisi 2021.