Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in mencadangkan agar Korea Utara mengambil bahagian dalam bidaan menganjurkan kejohanan Piala Dunia 2030.
Beliau dikatakan berkata demikian dalam satu pertemuan dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino baru-baru ini.
Moon menyatakan bahawa beberapa negara dari bahagian Timur Laut Asia termasuk Korea Utara boleh bergabung untuk berkongsi hak penganjuran kejohanan sukan paling berprestij dunia tersebut.
Menurut jurucakap kepada presiden, Park Si-Hyun, Moon telah dipetik sebagai berkata:
“Negara-negara serantau di bahagian Timur Laut Asia termasuk Korea Utara dan Korea Selatan boleh bekerjasama dalam menganjurkan Piala Dunia.
“Kerjasama ini akan membantu membuka ruang kepada keamanan dalam hubungan diplomatik Korea Utara dan Korea Selatan.”
“Sudah pasti penganjuran sebegini akan memberi lebih kestabilan terhadap rantau Timur Laut Asia. Saya mengharapkan Presiden Infantino berminat dengan cadangan saya ini.”
Presiden Korea Selatan yang lebih liberal ini sentiasa terbuka untuk apa jenis perbincangan dan dialog sejak terpilih menduduki jawatan itu bulan lalu.
Bagaimanapun, Korea Utara tidak pernah memberi sebarang respon positif terhadap cadangan dari negara jirannya itu sejak hubungan dingin yang tercetus ketika Perang Korea 1955.
Sebaliknya, Korea Utara meneruskan aktiviti ujian peluru berpandu walaupun dikutuk oleh kebanyakkan kuasa besar dunia termasuk Korea Selatan.
Usaha Presiden Moon Jae-In turut menemui jalan buntu apabila tawaran untuk menghantar misi bantuan oleh sekumpulan sukarelawan ke negara berkenaan turut ditolak oleh Pyongyang pada minggu lalu.
Lawatan Gianni Infantino ke Korea Selatan adalah bersempena dengan Kejohanan Piala Dunia Bawah 20 tahun di negara berkenaan.
Infantiono turut hadir untuk menyaksikan perlawanan akhir kejohanan tersebut yang dimenangi oleh England.
Skuad kendalian Paul Simpson menewaskan wakil Amerika Selatan, Venezuela 1-0 hasil jaringan penyerang muda Everton, Dominic Calvert-Lewin.
Ia adalah kejayaan pertama England dalam tempoh 50 tahun untuk kejohanan anjuran FIFA.
Infantino berpendapat cadangan Presiden Korea Selatan tersebut mempunyai asas dan turut akan membincangkannya dengan Presiden China, Xi Jinping dalam lawatannya ke negara berkenaan pada minggu hadapan.
Korea Selatan pernah menganjurkan Piala Dunia pada tahun 2002 sebagai tuan rumah bersama dengan Jepun.
Korea Selatan turut akan menganjurkan Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang pada tahun hadapan. Presiden Moon mengharapkan penyertaan dari negara jiran mereka itu dalam penanjuran pada kali ini.
Sehingga ke hari ini, Korea Utara telah memboikot kesemua kejohanan sukan yang telah dianjurkan oleh Korea Selatan.
Korea Selatan telah menganjurkan Sukan Asia 1986 dan juga Sukan Olimpik 1988, kedua-duanya dianjurkan di Seoul tanpa kehadiran atlet negara jirannya itu.
Bagaimanapun, Korea Utara menyertai kejohanan sukan yang serupa apabila ia dianjurkan di negara lain.
Penganjuran Piala Dunia 2030 secara bersama sama ada antara kedua-dua buah negara mahu pun di kalangan negara serantau, dilihat oleh Seoul sebagai satu lagi langkah untuk keamanan.
.