5 Perkara Yang Seorang Penyokong Perak Belajar Daripada Final Piala Malaysia 2015

Sebagai seorang penyokong Perak yang sudah 23 tahun menetap di Selangor dan mempunyai tiket final Piala Malaysia 2015, sudah tentulah saya duduk bersama kelompok penyokong Selangor.

Walaupun dalam hati, saya lebih mahukan Perak melangkah ke final Piala Malaysia selepas kali terakhir melakukannya pada 2007 (tewas 0-3 kepada Kedah), saya perlu akur Perak perlukan perubahan besar untuk menyaingi kehebatan jirannya, Kedah dan Selangor.

Banyak perkara yang saya belajar sepanjang pemerhatian saya di Stadium Shah Alam semalam. Ini adalah 5 daripadanya.

1. Football Malaysia LLP (FMLLP) memberi rasa optimis kepada suasana bola sepak tempatan

Sumber gambar: Kamarul Akhir / www.asiana.my
Sumber gambar: Kamarul Akhir / www.asiana.my

Optimistik. Itulah perasaan yang saya rasa selepas menemubual CEO FMLLP, Kevin Ramalinggam berkenaan isu penswastaan liga.

Dan sehingga kini, saya masih berasa optimistik terutamanya selepas melawat Stadium Shah Alam semalam.

Stadium Shah Alam mula dilengkapi dengan skrin LED besar untuk memberi peluang penonton di stadium melihat replay aksi-aksi perlawanan.

Turut melengkapi padang Stadium Shah Alam adalah papan iklan LED.

Ia memberi perasaan optimis sebagaimana yang penyokong JDT dan Kelantan rasakan di stadium mereka. Liga bola sepak kita sedang bergerak ke hadapan.

Malah buku program perlawanan turut dijual kepada penonton di stadium.

Ini adalah sesuatu yang perlu diusahakan oleh jabatan media setiap pasukan home Liga Super dan Liga Perdana.

2. “Goalscorers win matches but goalkeepers and defenders win titles”

Sumber gambar: Kamarul Akhir / www.asiana.my
Sumber gambar: Kamarul Akhir / www.asiana.my

Kata-kata Sir Alex Ferguson ini terngiang-ngiang dalam ingatan saya selepas melihat persembahan jentera pertahanan Selangor dan Norazlan Razali sepanjang kempen Piala Malaysia 2015.

Norazlan Razali mungkin dijulang kerana aksi menyelamat akrobatiknya banyak menyelamatkan kepincangan Selangor di bahagian serangan.

Duduk di belakang kawasan gol Selangor pada separuh masa kedua, saya menyaksikan kecekapannya menafikan percubaan Sandro Da Silva pada sekitar minit ke-68′.

Tetapi jangan dilupakan sumbangan Shahrom Kalam dan Robert Cornwaithe. Menentang Chidi Edeh semalam, kedua-dua mereka sangat fantastik.

Azrif mungkin dianggap ‘lembik’ oleh Azammudin Akil. Tetapi beliau adalah Mr. Consistent Selangor musim ini. Sentiasa konsisten dan sentiasa berani mencabar mana-mana pemain sayap kiri lawan.

Raimi Md Noor juga konsisten di posisi bek kiri. ‘Tarian’ beliau pada separuh masa kedua di hadapan Syafiq Ahmad menggambarkan keyakinan beliau sedang berada di tahap tertinggi.

3. Selangor mesti kekalkan teras (core) pasukan

Sumber gambar: Kamarul Akhir / www.asiana.my
Sumber gambar: Kamarul Akhir / www.asiana.my

Untuk memastikan kejayaan berpanjangan, Selangor mesti mengekalkan core pasukan mereka dan menambah beberapa pemain berkualiti.

Ini termasuklah Mehmet Durakovic yang dikhabarkan bakal digantikan oleh Zainal Abidin Hassan, jurulatih sama yang ditewaskan oleh Mehmet ketika separuh akhir Piala Malaysia 2015.

Sejak 2014 secara head-to-head, Selangor yang dipimpin oleh Mehmet sudah menewaskan Pahang yang dipimpin Zainal sebanyak 3 kali, seri 2 kali dan kalah hanya sekali.

Turut dikhabarkan bakal keluar dari Selangor adalah Andik Vermansyah. Persebaya Surabaya berminat untuk membawa Andik pulang ke Indonesia tetapi ada berita baik untuk penyokong Selangor: Andik mahu kekal di Selangor.

Pengurusan Selangor perlu pantas melanjutkan kontrak Andik dan Mehmet, antara dua persona yang paling disayangi oleh penyokong Selangor.

4. Kedah perlu meneruskan identiti permainan mereka

Sumber gambar: www.asiana.my
Sumber gambar: www.asiana.my

Dalam hiruk-pikuk penyokong Selangor yang tak henti-henti melaungkan chants, saya memerhatikan gameplay Kedah dengan penuh minat.

Kedah gemar bermain dari belakang. Bermula daripada hantaran pendek penjaga gol kepada pemain pertahanan Kedah, mereka menggerakkan bola melalui siri-siri hantaran pendek yang asing dalam bola sepak Malaysia.

Di seluruh padang, saya dapat memerhatikan ‘segi tiga’ sentiasa terbentuk melalui gerakan Liridon Krasniqi, Sandro Da Silva, Badhrol Bakhtiar dan Syazwan Zainon.

Ini adalah sesuatu yang menggalakkan dan menghiburkan. Walaupun kalah, saya amat-amat mengharapkan Tan Cheng Hoe dan staf kejurulatihannya akan terus mengajar pemain Kedah bermain sebegini.

Seperti Eddie Howe yang memperkenalkan identiti dan falsafah menyerang dengan hantaran pendek di AFC Bournemouth, saya mengharapkan Tan Cheng Hoe dan Kedah akan dikenali sebagai antara pasukan yang mempunyai falsafah bola sepak yang sama.

5. Dengan tambahan beberapa pemain berkualiti, Kedah mampu kembali mendominasi Malaysia

Sumber gambar: Kamarul Akhir / www.asiana.my
Sumber gambar: Kamarul Akhir / www.asiana.my

Berdasarkan pemerhatian saya, Kedah hanya memerlukan seorang penjaga gol dan seorang penyerang untuk menjadi skuad yang boleh memberi cabaran serius dalam Liga Super 2016.

Mohd Firdaus Muhamad mungkin patut boleh mengawal gawang dengan lebih baik ketika gol ke-2 Selangor berlaku, tetapi perlu diingat beliau masih muda.

Pulau Pinang beruntung kerana memiliki penjaga gol muda yang sudah berpengalaman bermain di final Piala Malaysia.

Mungkin dalam situasi final sebegini, seorang penjaga gol berpengalaman diperlukan oleh Kedah.

Selain itu, Kedah mungkin juga memerlukan seorang penyerang baru. Dengan masa depan Chidi Edeh yang tak menentu pada musim depan, Kedah memerlukan seorang penyerang yang sesuai dengan falsafah possession football Tan Cheng Hoe.

Penyerang tersebut mestilah boleh menghubungkan jentera serangan dengan jentera tengah secara berseorangan dan paling penting, mencari ruang untuk menjaringkan gol.

Berhadapan dengan Robert Cornwaithe dan Shahrol Kalam, Chidi Edeh sudah melakukan yang terbaik untuk mengetuai jentera serangan Kedah meskipun bermain dalam kecederaan.

Tetapi untuk mendominasi Malaysia seperti era 2007 dan 2008, Chidi Edeh perlu segera pulih daripada kecederaan otot koyaknya atau Kedah terpaksa mencari penyerang import baru.

Baca juga: 4 Hero Tak Didendang Dalam Kempen Piala Malaysia 2015

Sumber:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN