4 Hero Tidak Didendang Dalam Separuh Akhir Piala Malaysia 2015

Ketika ini saingan Piala Malaysia 2015 sedang berada di peringkat klimaks dengan 4 pasukan – Selangor, Pahang, Kedah dan Felda United – berebut tempat final Piala Malaysia.

Dan seperti biasa, bintang import 4 pasukan ini didendang sebagai hero pasukan. Selangor mempunyai Andik Vermansyah. Pahang mempunyai Dickson Nwakaeme. Kedah pula mempunyai Sandro Mendonca. Manakala Felda United mempunyai Thiago Augusto.

Bagaimana pula dengan sumbangan pemain-pemain lain yang tak didendang oleh media?

SemuanyaBOLA dengan kerjasama MediaPrima membawakan anda 4 hero tidak didendang yang turut menyumbang kepada persembahan cemerlang pasukan mereka dalam kempen Piala Malaysia 2015.

Norazlan Razali (Selangor)

Sumber: Mohd Safwan, asiana.my
Sumber: Mohd Safwan, asiana.my

Jika Kedah dan Felda United mencipta nama di kempen Piala Malaysia 2015 sebagai pasukan yang mempunyai jentera serangan yang tajam, Selangor pula mencipta nama sebagai pasukan yang efektif.

Selangor mungkin hanya menjaringkan 6 gol dalam 6 perlawanan peringlat kumpulan, tetapi mereka juga hanya melepaskan 7 gol.

Perlu diingat Selangor muncul juara kumpulan maut Piala Malaysia 2015 yang turut dihuni Felda United, Kelantan dan T-Team.

Jika tidak kerana ketangkasan Norazlan Razali mengawal gawang, Selangor pasti berhadapan dengan kesukaran untuk melangkah jauh dalam Piala Malaysia 2015 berdasarkan jumlah gol yang mereka jaringkan semata-mata.

Ketika menentang Pahang pada separuh akhir pertama di Kuantan, satu-satunya sebab Pahang gagal menjarigkan sebarang gol adalah kerana persembahan man of the match yang dipamerkan Norazlan Razali.

Pahang menguasai majoriti perlawanan dan mencetak 4 percubaan tepat ke arah gol, tetapi semuanya diselamatkan oleh Norazlan.

Jika Selangor berjaya melakukan keajaiban dan menghukum ketumpulan jentera serangan Pahang pada separuh akhir kedua nanti, mereka perlu berterima kasih kepada Norazlan atas persembahan cemerlangnya di Kuantan.

Hafiz Kamal (Pahang)

Sumber: Mohd Safwan, asiana.my
Sumber: Mohd Safwan, asiana.my

Jika Dickson Nwakaeme memberikan sistem 4-4-2 Pahang peluang-peluang gol, Hafiz Kamal pula memberikan sistem 4-4-2 Pahang kestabilan di tengah.

Sejak berganding dengan Zesh Rehman di bahagian tengah, Hafiz Kamal berubah daripada seorang pemain tengah biasa kepada seorang jeneral di tengah.

Mempunyai stamina yang tinggi dan kemahiran teknikal cemerlang yang membolehkannya mengambil sepakan sudut dan percuma dengan baik, Hafiz tidak mempunyai masalah untuk membuli dan mendominasi pasangan tengah pasukan lain.

Ketika menentang Selangor dalam separuh akhir pertama di Kuantan, Hafiz berpeluang menjaringkan gol jika voli minit-41 nya tidak singgah ke palang.

Jika pada musim lepas Hafiz merupakan watak pembantu kepada Azidan Sarudin di jentera tengah Pahang, pada musim ini, Hafiz adalah jeneral utama tengah Pahang.

Dan jika Selangor mahu melangkah ke final Piala Malaysia 2015, mereka perlu melangkah jasad Hafiz Kamal di tengah padang dahulu.

Zah Rahan Krangar (Felda United)

Sumber: Zureehan Zakaria, asiana.my
Sumber: Zureehan Zakaria, asiana.my

Ketika ini perhatian peminat bola sepak tempatan sedang terarah kepada penyerang Felda United yang juga merupakan penjaring terbanyak Piala Malaysia 2015 dengan 8 gol, Thiago Augusto.

Penjaring gol sentiasa akan menarik perhatian media, tetapi kreativiti dan kelas yang dipamerkan oleh perancang utama Felda United, Zah Rahan Krangar juga perlu diberikan perhatian.

Beroperasi di belakang Thiago Augusto dalam formasi 4-2-3-1 yang disusun oleh Irfan Bakti, Zah Rahan sering bebas dari kawalan pemain lawan untuk mencipta peluang-peluang gol.

Pemain Kedah merasai sendiri akibat membiarkan Zah Rahan bebas di tengah apabila perancang Liberia ini bertanggungjawab mencipta gol kedua untuk Thiago Augusto.

Sebagai persiapan separuh akhir kedua di Alor Star nanti, Kedah perlu menyediakan rancangan khas untuk membendung bahaya yang dipamerkan oleh Zah Rahan Krangar jika mereka mahu mempunyai peluang untuk melangkah ke final Piala Malaysia.

Mohd Syazwan Zainon (Kedah)

Sumber: Zureehan Zakaria, asiana.my
Sumber: Zureehan Zakaria, asiana.my

Ketika perhatian terarah kepada pemain Kedah lain seperti Sandro Mendonca, Chidi Edeh, Liridon Krasniqi dan Badrol Bakhtiar, Syazwan Zainon tetap memberikan persembahan cemerlang untuk Kedah.

Syazwan Zainon adalah pemain sayap klasik yang setiap jurulatih mahukan dalam pasukan mereka.

Rajin membuat larian, suka menewaskan pertahanan dalam situasi 1 lawan 1 dan mempunyai kelajuan yang baik – Syazwan Zainon sentiasa menggerakkan sayap kanan Kedah ketika serangan.

Beliau tidak memerlukan skil gelecekan yang tinggi, sebaliknya cukup dengan kelajuan dan ketinggian semangatnya untuk membekalkan hantaran lintang kepada penyerang.

Inilah yang dilakukannya untuk membekalkan 2 gol Kedah pada separuh akhir pertama menentang Felda United semalam.

Calon pemain terbaik PFAM bulan November ini bukanlah pemain Kedah paling popular, tetapi beliau adalah calon tepat hero tak didendang. Hero yang tetap melakukan kerjanya demi pasukan.

Saksikan perlawanan separuh akhir Piala Malaysia, Selangor menentang Pahang di NTV7 (Saluran 107) dan Kedah menentang Felda United di TV9 (Saluran 119) pada hari Ahad, 6 Disember 2015 ini pada jam 8.30 malam.

Kedua-dua perlawanan juga boleh disaksikan secara Global Live Streaming di www.tonton.com.my/liveList

Insta SA2

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN