5 Perkara Tentang Skandal Rasuah RM35 Juta Yang Dibayar Barcelona Kepada Jawatankuasa Pengadil La Liga

Barcelona Pengadil

Barcelona kini berdepan dengan skandal atau dakwaan serius mengenai pendedahan sejumlah bayaran kepada bekas naib presiden pengadil La Liga.

Sebagai sebuah kelab yang kaya dengan sejarah dan kejuaraan dalam dunia bola sepak dan skuad kendalian Xavi Hernandez itu juga kini berada dalam prestasi terbaik dengan mendahului saingan liga domestik.

Namun drama terbaharu yang membelenggu pasukan tersebut dilihat sebagai satu pelanggaran etika yang amat serius.

Apa tuduhan terhadap Barcelona?

Kelab Catalan tersebut didakwa membuat pembayaran sebanyak €1.4 juta (RM6.7 juta) kepada sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan bekas pengadil La Liga, Jose Maria Enriquez Negreira dalam tempoh tiga tahun.

Ia didedahkan menerusi rangkaian radio Sepanyol, Cadena yang melaporkan transaksi tersebut berlaku di antara 2016 dan 2018 yang mana dalam tempoh tersebut Enriquez Negreira sedang memegang jawatan sebagai naib presiden Jawatankuasa Teknikal Pengadil (CTA) Persekutuan Bola Sepak Diraja Sepanyol (RFEF).

Bardasarkan perincian, pembayaran dibuat sebanyak €532,728 (RM2.5 juta) pada 2016, €541,752 (RM2.6 juta) pada 2017 dan €318200 (RM1.5 juta) pada 2018.

Enriquez Negreira dilahirkan di Barcelona dan merupakan figura yang cukup dikenali dalam bola sepak Sepanyol. Beliau aktif mengadili La Liga di antara 1975 dan 1992 sebelum dilantik sebagai naib presiden persatuan pengadil negara tersebut.

Siasatan bermula selepas penguasa cukai di Sepanyol menapati ada sesuatu yang janggal daripada pembayaran cukai oleh syarikat Dasnil 95 – yang dimiliki oleh Enriquez Negreira – antara tahun 2016 hingga 2018.

Siasatan lanjut mendapati, bayaran sebenar adalah lebih besar iaitu sebanyak €7.3 juta (RM35.1 juta) yang sudah pun bermula sejak 2001 kepada firma tersebut.

Transaksi kewangan juga mendapati Enriquez Negreira kerap mengeluarkan wang antara €10,000 – €20,000 secara tunai sepanjang syarikatnya dibayar oleh Barcelona.

Bagaimana prestasi Barcelona pada 2016 hingga 2018

Perkara inilah yang menjadi tanda tanya pelbagai pihak kerana di antara musim 2015/16 dan 2017/18, Barcelona memenangi lapan trofi kejuaraan termasuk dua gelaran La Liga dan tiga Copa del Rey.

Luis Enrique merupakan pengurus dalam dua musim pertama dan kemudian Ernesto Valverde mengambil alih kedudukan tersebut pada musim seterusnya. Josep Maria Bartomeu pula merupakan presiden kelab.

Dalam tempoh tiga musim ini, kempen Barcelona dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) semuanya terkandas di peringkat suku akhir.

Apa yang mengejutkan, pemenang bagi kejohanan elit Eropah tersebut bagi ketiga-tiga musim adalah musuh tradisi mereka iaitu Real Madrid.

Pada masa yang sama, dalam tempoh itu juga pelbagai pertikaian timbul mengenai ‘layanan istimewa’ yang diterima Barcelona oleh pengadil dalam aksi-aksi domestik.

Marca, sebuah agensi berita yang berpangkalan di Madrid turut membentangkan statistik bahawa Barcelona mengharungi 746 hari – bermula 14 Februari 2016 hingga 1 Mac 2018 tanpa sebarang sepakan penalti diberikan kepada lawan mereka. Pengadil bantuan video (VAR) hanya dibawa masuk sejurus selepas tempoh tersebut.

Apa respon Barcelona?

Sebaik sahaja dakwaan tersebut didedahkan, Barcelona telah mengeluarkan kenyataan rasmi menerusi laman web rasminya dengan memberikan hujah bagi menafikan salah laku tersebut.

Bagi kelab tersebut, adalah menjadi amalan biasa untuk mana-mana kelab mendapatkan data bagi membuat analisis termasuklah tentang corak pengadilan agar pemainnya dapat bertindak berdasarkan pengadil yang berbeza.

“Pada masa lalu FC Barcelona telah mendapatkan khidmat daripada konsultan luar yang membekalkan kepada setiausaha tekikal kelab dengan laporan dalam format video pemain remah dari kelab-kelab lain di Sepanyol,” ujar kenyataan kelab itu.

“Selain itu, hubungan baik dengan syarikat tersebut dilanjutan pula kepada laporan teknikal berkaitan pengadilan profesional bagi melengkapkan maklumat yang diminta oleh staf kejurulatihan pasukan. Ia adalah amalan biasa dalam kalangan kelab bola sepak profesional.

“Perkhidmatan dari konsultan atau syarikat luar seperti ini sudah menjadi tugas dan amalan profesional buat sesiapa sahaja yang bekerja dalam industri bola sepak.

“FC Barcelona amat kesal kerana tuduhan ini timbul ketika pasukan sedang mencapai prestasi terbaik pada musim ini dan tidak teragak-agak untuk megnambil tindakan undang-undang kepada mereka yang cuba untuk memburukkan imej kelab.”

Apa pula respon RFEF dan CTA?

Persekutuan Bola Sepak Diraja Sepanyol (RFEF) dan Jawatankuasa Teknikal Pengadil (CTA) dalam kenyataannya akan menyokong siasatan terhadap sebarang salah laku dan mengambil pendirian menjarakkan diri daripada Enriquez Negreira yang telah meninggalkan jawatan tersebut lima tahun lalu.

“CTA mahu menjelaskan bahawa Enriquez Negreira bukan lagi sebahagian daripada mana-mana struktur badan ini sejak pertukaran kerajaan selepas pilihanraya 2018,” ujar kenyataan tersebut di dalam laman web rasmi RFEF.

“Pihak CTA juga amat kesal dengan tingkah laku yang mungkin melanggar etika pertubuhan. Tidak sepatutnya penimbang tara yang aktif atau mana-mana ahli CTA boleh menjalankan apa-apa perkara yang berkemungkinan minumbulkan konflik kepentingan.

CTA bersedia untuk memberikan kerjasama semaksimum mungkin dalam sebarang pemberian maklumat yang boleh diberikan oleh jawatankuasa ini.

Apa hukuman yang bakal diterima Barcelona?

Mendapatkan nasihat teknikal daripada bekas pengadil diakui merupakan ‘amalan biasa’ buat mana-mana kelab profesional. Namun kes melibatkan Barcelona ini adalah melibatkan seseorang yang terlibat secara rasmi dalam CTA.

Bardasarkan kenyataan CTA dan RFEF, dapat dilihat badan induk tersebut mengakui adalah tidak beretika untuk seseorang yang masih berkhidmat secara aktif dalam jawatankuasa pengadilan tersebut untuk menerima bayaran daripada kelab untuk memberikan nasihat teknikal.

Ia turut mendapat perhatian Menteri Kebudayaan dan Sukan Sepanyol, Miquel Iceta yang menegaskan masalah tersebut membahayakan bola sepak dan semua sukan di Sepanyol secara keseluruhan.

Berdasarkan laporan terkini, Barcelona telah pun didakwa di mahkamah pada Jumaat atas tuduhan membayar sejumlah wang untuk mendapatkan kelebihan daripada pengadil ketika bermain, serta mendapat kelebihan dari segi keputusan dalam pertandingan.

Penafian yang dibuat oleh kelab tersebut tidak diterima oleh pihak pendakwa raya disebabkan bayaran berterusan yang dibuat kepada Negreira yang dikatakan mengugut untuk mendedahkan bayaran tersebut jika kerjasama ditamatkan.

Berdasarkan respon Presiden La liga, Javier Tebas, Barcelona mungkin tidak berdepan sebarang risiko pemotongan mata atau penyingkiran kerana badan induk bola sepak di Sepanyol, Eropah dan dunia mempunyai statut batasan selama lima tahun.

Malah beliau juga menganggap dalam kes ini Barcelona mungkin menjadi ‘mangsa penipuan dan manipulasi’. Namun keputusan mahkamah akan menentukan tindak balas oleh pihak La Liga.

Namun di peringkat jenayah, tertuduh yang terdiri daripada Negreira sendiri serta dua bekas presiden Barcelona, Jose Maria Bartomeu dan Sandro Rosell berdepan hukuman penjara sehingga empat tahun.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN