5 Perkara Mengenai KV Kortrijk Dan Luqman Hakim Yang Perlu Kita Tahu

Penyerang sensasi skuad Bawah-18 tahun negara, Luqman Hakim Shamsuddin telah pun disahkan akan menandatangani kontrak profesional bersama kelab divisyen satu Belgium, KV Kortrijk selama lima tahun.

Menurut sumber, Luqman akan berlatih bersama Cardiff City terlebih dahulu sehingga usianya genap 18 tahun pada Mac 2020, sebelum dibenarkan menyertai kelab Belgium tersebut.

Berikut adalah antara lima perkara yang perlu kita ketahui mengenai kelab Belgium tersebut dan Luqman Hakim.

Sejarah kelab

Kelab KV Kortrijk ditubuhkan secara rasmi pada 1971, walaupun sebenarnya sejarah kelab tersebut boleh ditemui seawal 1901. Beraksi di Stadium Guldensporen dengan kapasiti 9,399 penonton, kelab ini pernah muflis pada 2001, dan dihumban ke divisyen ketiga disebabkan keadaan kewangan yang tidak stabil sebelum kembali bangkit.

KV Kortrijk atau singkatannya KVK pernah muncul juara Divisyen kedua Belgium pada musim 1905/06 dan 2007/08, sebelum kembali beraksi di liga atasan bola sepak Belgium. Pada 2015, KVK diambil alih oleh Tan Sri Vincent Tan dengan nilai £3.6 juta. Musim 2017/18 kelab ini menamatkan saingan di tangga ke-7 liga – dan merupakan antara pencapaian terbaik kelab tersebut.

Pengurus pasukan

Pengurus pasukan dan ketua jurulatih yang mengendalikan KV Kortrijk ialah Yves Vanderhaeghe. Berusia 49 tahun, Vanderhaege juga merupakan seorang pemain profesional di posisi pemain tengah bertahan (defensive midfielder).

Antara kelab yang pernah diwakili oleh beliau adalah Anderlecht, di mana beliau tampil dalam 150 perlawanan, sebelum bersara pada 2008 akibat kecederaan yang sering kali menganggu.

Pernah tampil di dalam 50 perlawanan antarabangsa untuk negaranya, Vanderhaege adalah sebahagian daripada pemain utama Belgium di kejohanan Euro 2000 dan Piala Dunia 2002.

Kortrijk kriptonit Kompany

Selepas mengharungi tujuh perlawanan di Pro Jupiler League setakat ini, skuad kendalian Vanderhaege kini hanya mencatatkan dua kemenangan dan dua seri untuk mengumpul lapan mata.

Kortrijk sebenarnya bermula dengan amat baik di saingan liga domestik musim ini. Menang 3-1 di tempat lawan menentang Cercle Brugge, Kortrijk kemudiannya menewaskan Anderlecht 4-2 di tempat sendiri.

Keputusan itu membuatkan bekas kapten Manchester City, dan pemain pertahanan antarabangsa Belgium, Vincent Kompany dilucutkan jawatan pengurus pasukan setiap kali pada hari perlawanan. Anderlecht kini berada di belakang Kortrijk di kedudukan liga, berada di kedudukan ke-13.

Formasi dan saingan

Berdasarkan perlawanan yang dilalui oleh Kortrijk di saingan liga setakat ini, ianya jelas Vanderhaeghe gemar menggunakan formasi 4-3-3 ketika melancarkan serangan, atau pun 4-2-3-1/4-5-1 ketika bertahan.

Berdasarkan prestasi semasa, Kortrijk seperti tidak mempunyai banyak masalah di bahagian serangan kerana sudah menjaringkan 12 gol dari tujuh perlawanan.

Bagaimanapun, kelab ini turut dibolosi dengan jumlah gol yang sama sepanjang tujuh perlawanan tersebut.

Di bahagian serangan, Kortrijk mempunyai pemain seperti pemain kelahiran Congo, Ilombe Mboyo (32 tahun), pemain muda dari Ghana, Eric Ocansey (22 tahun), dan penyerang utama, Christophe Lepoint (34 tahun). Pemain-pemain inilah yang akan menjadi saingan utama Luqman di dalam sistem Vanderhaege di Kortrijk nanti.

Bahasa penghantar

Tidak seperti kebanyakan negara-negara lain, Belgium tidak mempunyai sistem bahasa mereka sendiri. Di negara tersebut, bahasa penghantar yang sering digunakan ialah Bahasa Belanda, Bahasa Perancis dan juga Bahasa Jerman – selain daripada Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa yang digunapakai di seluruh dunia.

Kortrijk adalah sebuah pasukan yang mempunyai pemain dari pelbagai negara. Selain dari pemain tempatan, kelab ini juga mempunyai beberapa pemain dari negara-negara Afrika, Perancis, Brazil, Serbia, Uruguay, dan kini Malaysia.

Walaupun sesi latihan mungkin dilakukan di dalam Bahasa Inggeris, kami yakin Luqman perlu menguasai salah satu bahasa penghantar (Belanda, Perancis, atau Jerman) untuk memudahkan komunikasi beliau bersama jurulatih dan rakan sepasukan.

Penutup

Luqman Hakim bukan satu-satunya pemain dari rantau ini yang penah beraksi di Belgium.

Penjaga gol Thailand, Kawin Thamsatchanan beraksi di Divisyen 2 bersama OH Leuven; manakala penyerang Vietnam, Nguyen Cong Phuong beraksi secara pinjaman bersama Sint Truidense V.V. Indonesia juga mempunyai wakil apabila pemain mereka, Firza Andika beraksi bersama AFC Tubize.

Sudah tentu kita mengharapkan lebih ramai pemain muda negara seperti Luqman Hakim akan berkelana ke luar negara, seterusnya menjadi aset berharga skuad Harimau Malaya satu hari nanti.

Buat Luqman Hakim, selamat maju jaya kami ucapkan!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN