Quantcast

BERITA

Vincent Tan: 4 Bulan Saya Pujuk Luqman Hakim

Pemilik kelab KV Kortrijk, Tan Sri Dato’ Seri Vincent Tan mendedahkan beliau mengambil masa 4 bulan untuk memujuk penyerang muda negara, Luqman Hakim menyertai kelab liga divisyen teratas Belgium itu.

Ini berikutan selepas aksi cemerlangnya dalam Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-18 2019 turut menarik minat dua kelab gergasi Liga Super Malaysia.

Bercakap dalam sebuah majlis pengumuman khas kepada media di Berjaya Times Hotel Square Kuala Lumpur, Vincent turut mendedahkan hasratnya untuk membawa Luqman ke Cardiff City pada satu hari nanti:

“Kerana isu visa di Britain, saya tak boleh membawa Luqman ke Cardiff dahulu. Saya hanya boleh bagi dia berlatih dahulu sebelum menyertai KV Kortrijk secara rasmi [apabila Luqman mencecah umur 18 tahun pada Mac 2020].

“Ini cara saya membantu bola sepak Malaysia. Saya harap beliau mempamerkan persembahan cemerlang. Saya nak bawa beliau beraksi di England [bersama Cardiff City].”

Seperti yang dilaporkan media, Luqman yang bakal menandatangani kontrak profesional selama 5 tahun dengan KV Kortrijk akan berlatih terlebih dahulu bersama Cardiff City pada Januari 2020 untuk mengekalkan kecergasannya.

Selepas menandatangani kontrak tersebut, Luqman akan sah bergelar sebagai pemain Malaysia pertama dan Asia Tenggara ke-4 yang bermain secara profesional di liga Belgium selepas Kawin Thamstachanan (OH Leuven), Nguyen Cong Phuong (Sint Truidense VV) dan Firza Andika (AFC Tubize).

KV Kortrijk kini menduduki tangga ke-11 liga. Kelab yang diasaskan pada 1971 ini dibeli oleh Vincent pada 2015.

Foto: Kamarul Akhir/asiana.my