Quantcast

LIGA MALAYSIA

Piala Malaysia 2019: Kpah Sherman Mengadu Diejek Dengan Sorakan ‘Bunyi Monyet’

Selepas pendedahan bekas pemain Selangor, Antonio German mengenai isu perkauman yang dihadapi ketika bersama Selangor yang membawa kepada penamatan kontraknya, kini, penyerang PKNS FC, Kpah Sherman pula dikatakan terpaksa melaluinya.

Ianya berlaku ketika pertembungan PKNS FC dan Terengganu FC dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Shah Alam semasa penyerang terbanyak Liga Super itu dalam perebutan bola dari kapten Sang Penyu, Lee Tuck – menerusi sorakan penyokong.

“Saya merampas bola daripada (Lee) Tuck. Kemudian saya dengar penyokong membuat bunyi monyet apabila saya mendapat bola, tetapi saya teruskan larian,” memetik kenyataannya di The Star.

“Tuck telah meminta penyokong menghentikannya. Keluarga dan rakan-rakan saya yang berada di stadium turut mendengarnya. Bagi saya, itu satu perkara normal di sini. Saya hanya teruskan permainan dan membantu pasukan saya,” ceritanya lagi.

“Saya melaluinya setiap hari. Jadi, ianya bukan perkara yang baru buat saya,” tambah penyerang skuad kebangsaan Liberia itu.

Pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid menjelaskan, jika perkara tersebut berlaku, pastinya ianya akan ada dalam laporan pegawai perlawanan pada malam tersebut.

“Kami ada terdengar, tetapi kami tidak jelas mengenai sorakan tersebut. Apabila dia di hujung padang, semakin kedengaran bunyi bising tersebut. Tidak pasti sama ada ianya mengejek atau sorakan.

“Kpah (Sherman) tidak bercakap kepada pengurusan mengenai kejadian itu. Dia juga tidak melaporkannya kepada pegawai perlawanan ataupun jurulatih mengenainya,” tambahnya lagi.

Beberapa hari lalu, Antonio German menyatakan kepada BBC mengenai layanan penyokong Selangor terhadapnya dengan kenyataan berbaur perkauman – kerana warna kulitnya.

Begitupun, ianya lantas dibidas oleh Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) melalui Setiausaha Agungnya, Johan Kamal yang menjelaskan bukan isu perkauman yang membawa kepada penamatan kontrak penyerang tersebut namun ianya atas faktor teknikal pasukan.

Berdasarkan rekod, ini bukan kali pertama Kpah Sherman mengadu melalui isu perkauman ini apabila pada Mei lalu, penyerang berusia 27 tahun itu melaporkan beliau telah digelar ‘b**i dan f**k you monkey’ oleh pertahanan Kuala Lumpur dalam aksi Liga Super.

Kredit Featured Image: Malaysian Football League (MFL)