5 Pemain Termahal Dalam Dunia Bola Sepak Hari Ini

Kylian Mbappe tidak dinafikan antara pemain muda terhebat dalam dunia bola sepak hari ini, namun beliau tidak berada di kedudukan 5 pemain termahal pada ketika ini.

Walau sudah memenangi lima gelaran kasut emas saingan Ligue 1 secara berturut-turut, namun hal itu tidak membantu untuk menaikkan nilai pasaran bintang Perancis itu.

Beliau hanyalah berada di kedudukan ke-10 sahaja dalam senarai pemain termahal dalam dunia bola sepak.

Jendela perpindahan musim panas 2023 merupakan antara jendela perpindahan yang agak aneh dan antara yang paling aneh sejak kebelakangan ini.

Hal itu berlaku kerana ramai bintang-bintang besar yang memilih untuk melengkapkan perpindahan mereka menyertai liga di luar Eropah seperti Liga Arab Saudi.

Chelsea pula dilihat merubah tradisi mereka dengan mereka kali ini memilih untuk membawa masuk bintang-bintang muda terbaik dari seluruh dunia.

Dengan Todd Boehly sedang menggila mengeluarkan dana besar bagi mendapatkan bintang-bintang muda, maka tidak hairanlah harga pasaran pemain akan melonjak lebih tinggi selepas ini.

Ketika Paul Pogba ditandatangani dengan nilai £100 juta sebelum ini, ramai peminat yang terkejut tentang hal tersebut, namun melihat kepada situasi sekarang, itu hanyalah hal biasa yang langsung tidak mengejutkan.

Pemain defensive midfielder seperti Declan Rice dan Moises Caicedo turut ditandatangani dengan nilai lebih dari £100 juta.

Melihat pemain yang hanya ada pengalaman setahun dalam saingan Premier League ditandatangani dengan nilai £100 juta, bayangkan pula berapa harga yang perlu dibayar untuk dapatkan bintang-bintang yang lebih bagus?

Berikut merupakan senarai lima pemain termahal dalam dunia bola sepak hari ini dan jelas sekali harga mereka melonjak tinggi berdasarkan faktor umur dan kemampuan.

Melihat kepada harga pasaran pemain-pemain tersebut, agak bingung memikirkan bagaimana kelab-kelab lain mahu berusaha mendapatkan khidmat mereka selepas ini.

Bukan hanya kelab biasa, bahkan kelab kaya dari Arab sendiri pun mungkin terpaksa berfikir dua ke tiga kali untuk membayar yuran perpindahan pemain-pemain dalam senarai ini.

Data dari hasil kajian ini didapati dari CIES Football Observatory dan nilai pasaran pemain dikira dari umur, kontrak mereka dan persembahan mereka bersama kelab mahupun negara.

5) Rodrygo – £160.7 juta

Pemain sayap Real Madrid, Rodrygo berada di kedudukan ke lima dalam senarai ini dengan nilai pasaran beliau adalah £160.7 juta.

Bintang Brazil itu sepertinya sedikit dibayangi oleh rakan senegaranya, Vinicius Junior, namun tak boleh dinafikan yang Rodrygo sebenarnya turut memiliki bakat yang sungguh menakjubkan.

Beliau sebenarnya turut memikul beban yang berat kerana sering dibandingkan dengan Neymar, namun sepertinya beliau tetap tenang dan terus menunjukkan perkembangan positif sejak kebelakangan ini.

Pemain berusia 22 tahun itu berjaya mencipta gandingan menakjubkan bersama Vinicius Junior dan Karim Benzema sebelum ini hingga membantu Real Madrid menjuarai saingan Champions League musim 2021/22.

Dengan Benzema kini sudah meninggalkan kelab untuk ke Arab Saudi, maka Rodrygo sepertinya ada tugas besar untuk menjadi pengganti kepada bintang Perancis itu.

Setakat ini, Rodrygo sudah berjaya menjaringkan 38 gol dari hampir 200 penampilan di posisi sayap kanan dan jelas sekali kelab berharap beliau akan menambah baik statistik tersebut.

4) Jude Bellingham – £165.6 juta

Rakan sepasukan terbaru Rodrygo, Jude Bellingham berada di kedudukan keempat dalam senarai ini dengan harga pasaran beliau bernilai £165.6 juta.

Real Madrid membayar £88.5 juta untuk mendapatkan khidmat pemain kebangsaan England itu dan nilai tersebut tidak jauh beza dengan nilai Declan Rice dan Caicedo.

Melihat kepada sumbangan beliau sejak beberapa perlawanan terakhir ini, sepertinya Real Madrid sudah membelanjakan duit mereka dengan sangat baik.

Bekas bintang Borussia Dortmund itu memulakan kariernya di Santiago Bernabeu dengan sangat baik selepas kejayaan beliau menjaringkan lapan gol dari sembilan penampilan bersama kelab.

Mungkin akan ada yang terkejut selepas melihat Bellingham hanya berada di kedudukan keempat sahaja dalam senarai ini kerana merasakan beliau antara pemain paling bernilai pada ketika ini.

Jude Bellingham pada ketika ini dianggap sebagai pemain muda terhebat dalam dunia bola sepak dan beliau juga sudah membuktikan yang dirinya merupakan pemain England terhebat yang bermain di luar.

3) Bukayo Saka – £171 juta

Bintang Arsenal, Bukayo Saka berada di kedudukan ketiga dalam senarai ini dengan nilai pasaran beliau adalah £171 juta dengan kontrak terbaru beliau bersama kelab akan tamat pada 2027 nanti.

Skuad kendalian Mikel Arteta itu merupakan antara skuad terbaik di pentas bola sepak Eropah pada ketika ini, dengan Bukayo Saka antara pemain terpenting skuad The Gunners.

Pemain berusia 21 tahun itu telah membuat 190 penampilan untuk Arsenal dan jelas sekali beliau nadi penting dalam sistem kendalian Mikel Arteta pada ketika ini.

Saka dianggap sebagai pemain sayap kedua terbaik dalam saingan Premier League ketika ini, dibelakang bintang Liverpool, Mohamed Salah.

Beliau terlibat dengan 25 gol yang berjaya dijaringkan oleh Arsenal sepanjang musim lalu dan turut menjadi watak penting dalam membantu Gunner layak ke saingan Champions League buat pertama kali sejak 2017 pada musim ini.

Pemain sayap itu turut dinamakan sebagai English Player of The Year pada tahun 2023 yang lalu, dan mungkin atas faktor itu beliau dinilaikan lebih mahal berbanding Bellingham.

2) Vinicius Junior – £171 juta

Vinicius ketika awal beliau menyertai Real Madrid, ramai yang menganggap beliau sebagai calon pengganti Neymar Jr dan beliau sepertinya berjaya membuktikan kemampuannya sebagai nadi penting skuad Brazil.

Walaupun beliau sedikit bergelut untuk memperoleh gol ketika awal kariernya, namun Vinicius berjaya berkembang dan menjadi antara pemain sayap paling prolifik dalam dunia bola sepak pada ketika ini.

Pemain kebangsaan Brazil itu berjaya mencatatkan statistik dua angka untuk gol dan assist dari dua musim terakhir dalam saingan La Liga dan itu membuktikan beliau bukan sahaja klinikal tetapi juga kreatif.

Selepas pemergian Benzema, Vinicius menjadi watak penting dalam skuad Los Blancos bersama bintang baru mereka, Jude Bellingham.

Pemain pertahanan sememangnya berdepan kesukaran ketika menghadapi Vinicius dan boleh dikatakan pemain-pemain full-back tak pernah berehat jika beliau ada di atas padang.

Para peminat rata-rata percaya yang Vinicius sangat berpotensi untuk memenangi sekurang-kurangnya satu anugerah Ballon d’Or sebelum beliau mengakhiri kariernya.

Harga pasaran beliau pada ketika ini adalah bernilai £171 juta dan ia sebenarnya satu nilai yang sungguh luar biasa ‘gila’ untuk kelab-kelab biasa membelinya.

1) Erling Haaland – £213.1 juta

Menurut kajian, bintang Manchester City, Erling Haaland merupakan pemain termahal dalam dunia bola sepak pada ketika ini dengan nilai beliau £50 juta lebih mahal berbanding Vinicius.

Beliau berjaya menjaringkan 52 gol ketika musim debutnya bersama Manchester City, dengan bintang Norway itu dianggarkan bernilai £213.1 juta.

Man City dilaporkan membayar £51 juta untuk mendapatkan khidmat Haaland pada jendela perpindahan musim panas lalu dan jelas sekali ia satu pelaburan yang sangat menguntungkan.

Bahkan menurut data dari CIES, nilai pemain penyerang itu pada ketika ini empat kali ganda lebih mahal dari nilai ketika beliau ditandatangani oleh Man City.

Bukan hanya penyokong, namun para pemain serta pengurus pasukan lawan juga turut memuji kehebatan Haaland dan mengakui bakat luar biasa yang dimiliki olehnya.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp turut memuji Haaland sebagai penyerang terhebat dalam dunia bola sepak dengan pengurus dari Jerman itu mendedahkan bahawa:

“Untuk Erling, isu nya adalah dia hasil gabungan dari banyak hal. Ia agak menakjubkan untuk kamu ada itu. Penyudah dia jelas sekali sungguh luar biasa, dia bergerak dengan bijak dan itu yang membuat dia sukar dibaca.”

Ketua pasukan Liverpool, Virgil Van Dijk turut memuji bintang Manchester City itu pada tahun lalu dengan menyatakan:

“Saya masih ingat, selepas Community Shield 2022 yang mana ramai mengutuk dia, saya masih ingat saya kata, ‘dengar, pemain ini bakal bagi mimpi ngeri kepada ramai pemain pertahanan.'”

“Dia sudah buktikan itu, dia menunjukkan konsistensi dan jelas sekali dalam skuad macam Manchester City, kesempatan memang sentiasa ada.”

Macam mana pendapat kalian semua tentang nilai pasaran pemain-pemain yang ada dalam senarai ini? Adakah terlalu mahal atau tidak? Bincangkan di ruangan komen.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN