5 Pemain Muda Negara Yang Berpotensi Beraksi Di Liga Thailand 2019

Baru-baru ini, badan pengendali Liga Thailand (Thai League) mengumumkan penambahan 2 kuota pemain import dari Asia Tenggara (ASEAN) untuk musim 2019.

Ini bermakna, 1 kuota pemain import dari Asean yang dibenarkan pada musim ini dinaikkan kepada 3 pemain import dari negara-negara ASEAN. Lebih menarik, ketiga-tiga pemain import kuota ASEAN itu boleh diturunkan dalam sesebuah perlawanan bersama pemain-pemain import yang lain.

Penambahan kuota pemain import ASEAN ini dilihat sebagai salah satu strategi permasaran untuk mempromosikan Thai League di semua negara di Asia Tenggara selepas mereka mendapati impak yang diterima pada musim ini cukup memberangsangkan.

Menurut satu artikel daripada Vocket FC, pihak Thai League telah menetapkan beberapa syarat utama kepada pemain-pemain Asean yang ingin beraksi dalam liga mereka iaitu :

  • Bagi pemain-pemain dari ASEAN yang pernah/sedang beraksi dalam kancah Thai League, mereka secara automatik boleh didaftarkan bersama pasukan masing-masing dalam saingan liga 2019.
  • Jika pemain tersebut tidak pernah beraksi dalam saingan Thai League, mereka wajib berstatus pemain kebangsaan semasa negara masing-masing.
  • Bagi mengesahkan status pemain itu berstatus kebangsaan atau tidak, pihak Thai League dan juga kelab akan meminta surat perakuan khas dari persatuan bola sepak negara pemain itu bagi tujuan dokumentasi.

Penulis melihat ini adalah peluang keemasan kepada pemain skuad kebangsaan Malaysia terutamanya pemain muda tempatan untuk mencari pengalaman baharu beraksi di Liga Thailand yang dianggap sebagai antara Liga terbaik di Asia.

Liga Thailand juga menyediakan platform untuk mempamerkan bakat di peringkat tertinggi Asia kerana mereka menawarkan 3 slot ke AFC Champions League iaitu satu slot automatik dan 2 slot di peringkat kelayakan. Malah, Liga ini juga menjadi tumpuan pencari bakat dari kelab-kelab Jepun.

Berdasarkan prestasi dalam saingan Liga Super dan ketika mewakili skuad kebangsaan, penulis melihat 5 pemain muda ini berpotensi untuk mengikut jejak langkah Shahrel Fikri (Nakhon Ratchasima FC) dan Curran Ferns (Sukothai FC) beraksi dalam saingan Liga Thailand.

Irfan Zakaria

Irfan Zakaria merupakan salah seorang daripada tonggak utama yang membantu skuad Malaysia Bawah 23 Tahun muncul sebagai naib juara Sukan SEA 2017 dan mencipta sejarah mara ke peringkat suku akhir kejohanan AFC B-23 di China.

Aksi pemain pertahanan pasukan Kuala Lumpur ini cukup menyakinkan ketika mengemudi benteng pertahanan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee sehingga mendapat panggilan untuk menyertai skuad senior dibawah kendalian Tan Cheng Hoe.

Pemain yang berusia 23 tahun ini membuat penampilan pertama dalam skuad Harimau malaya pada 27 Mac 2018 ketika perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan di Beirut.

Meskipun Malaysia tewas tipis 1-2, aksi beliau tetap dipuji kerana berjaya mengekang beberapa percubaan berbahaya daripada penyerang Lubnan.

Irfan juga berjaya menjaringkan gol pertamanya di peringkat antarabangsa ketika perlawanan persahabatan menentang Bhutan yang menyaksikan skuad negara mencatat kemenangan besar dengan keputusan 7-0. Setakat ini, Irfan sudah mengumpulkan 3 penampilan (Caps) bersama skuad Harimau Malaya.

Akhyar Rashid

Pemain muda Kedah ini mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan ketika beraksi cemerlang mengucar-kacirkan pemain pertahanan lawan dalam kejohanan AFC B-23.

Pada usia 19 tahun, Akhyar Rashid sudah mewakili negara di semua peringkat umur iaitu daripada skuad Malaysia B-17 hinggalah skuad senior. Malah beliau juga merupakan sebahagian daripada skuad bawah 19 tahun negara yang menjuarai kejohanan AFF baru-baru ini.

Penulis melihat pemain kelahiran Alor Star ini mempunyai masa depan yang cerah jika beliau memilih untuk mengembangkan karier di luar negara berdasarkan pengalamannya yang pernah menuntut ilmu di Akademi Cardiff City.

Selain itu, beliau merupakan tipikal pemain sayap bukannya pemain sisi (side midfielder). Kehadiran dalam padang memberikan dinamik kepada pasukan terutama sekali ketika bola di kaki beliau. Kekuatan utama pemain ini adalah keyakinan untuk beraksi dalam perlawanan di peringkat tertinggi.

Hal ini diakui sendiri oleh lagenda bola sepak negara, Khalid Ali yang menyifatkan persembahan yang ditunjukkan oleh Akhyar sungguh luar biasa walaupun hanya dimasukkan pada separuh masa kedua ketika aksi persahabatan antarabangsa di antara Malaysia menentang Mongolia.

“Saya memang tabik pemain nombor 7 (Akhyar) kerana dia telah menunjukkan keberanian yang tinggi dalam aksi-aksi antarabangsa.

“Bagi saya, kita memang memerlukan lebih ramai pemain seperti ini yang sentiasa berlari dan sama sekali tidak takut untuk memberi asakan demi asakan untuk membantu negara menghasilkan jaringan,” katanya kepada Sinar Harian.

Kenyataan itu jelas menunjukkan bahawa beliau adalah pemain muda berbakat yang sepatutnya dipasarkan ke luar negara. Akhyar mempunyai potensi, namun dengan syarat, momentum perkembangannya tidak boleh diusik atau direncatkan.

Nor Azam Azih

Pemain tengah yang berusia 23 tahun ini memainkan peranan yang penting dalam menggerakkan serangan pasukan Pahang sehingga membantu skuad tok gajah itu menjuarai Piala FA melalui rembatan kencang dari luar kotak penalti beberapa minggu lepas.

Peminat bola sepak tempatan melihat beliau sebagai pengganti Safiq Rahim sebagai perancang utama skuad Harimau Malaya di masa hadapan. Beliau juga merupakan sebahagian daripada pemain yang beraksi cemerlang bersama skuad B-23 negara dalam Sukan SEA dan kejohanan AFC B-23.

Prestasi menakjubkan yang dipamerkan olehnya ketika dalam saingan AFC B-23 telah mencuri tumpuan peminat dari seluruh Asia terutamanya dari Korea Selatan.

Seorang penulis daripada laman football tribe, Keeshaanan Sundaresan mendedahkan penulis sukan dari Korea Selatan terkejut dengan corak permainan pasukan Malaysia ketika itu dan nama pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih menjadi sebutan mereka.

“Tiga-empat pemain Malaysia yang menarik perhatian ramai di Korea Selatan, namun Azam Azih adalah pemain terbaik di atas padang petang semalam.

“Dia cukup tenang bila mendapat bola dan menjadi jambatan yang penting di antara pemain pertahanan dan penyerang Malaysia.

“Fokusnya langsung tidak terjejas meskipun bermain di dalam situasi tekanan tinggi dan itu memberi kelebihan kepada skuad Ong Kim Swee di bahagian tengah,” kata seorang penulis football tribe Korea Selatan, Han Ryu seperti dipetik melalui artikel mereka.

Penulis tersebut turut mendedahkan Azam Azih adalah antara pemain Malaysia yang patut berhijrah menyertai kelab luar negara terutamanya di Korea Selatan.

“Bolasepak di peringkat kelab dan di peringkat antarabangsa cukup berbeza, saya rasa Nor Azam Azih adalah antara pemain Malaysia yang mempunyai potensi untuk bermain di luar negara, termasuk Korea. Persembahan, tahap keyakinan dan kreativiti yang ditunjukkan oleh individu ini tidak boleh diperkecilkan,” katanya.

Matthew Davies

Matthew Davies adalah antara pemain berdarah kacukan yang berkualiti yang dibawa masuk dari negara Kanggaru untuk menyertai Pahang. Pemain yang berusia 23 tahun ini mendapat status kerakyatan Malaysia melalui ibunya yang berasal dari Sabah manakala bapanya merupakan warganegara Australia.

Ironinya, kemunculan Davies seperti ‘bulan jatuh ke riba’ bagi pasukan muda negara. Pengendali B-23, Datuk Ong Kim Swee mengakui kehadiran Davies menguntungkan bukan sahaja untuk skuad muda, tetapi untuk jangka masa panjang pasukan bola sepak negara.

“Selepas dimaklumkan tentang Matt Davies, saya tahu dia bermain dengan Perth Glory dan mempunyai penampilan sebanyak 19 kali, malah beraksi dalam liga yang lebih baik.

“Kalau dia terus menunjukkan prestasi yang baik, ia akan menguntungkan pasukan B-23 negara dan juga untuk bola sepak negara,” komen Kim Swee.

Davies kini mempunyai 16 penampilan bersama skuad senior negara dan penulis melihat beliau kini sudah boleh memikirkan peluang untuk mencari pengalaman beraksi dalam saingan Liga Thailand secara pinjaman setelah mengikat kontrak jangka panjang dengan Pahang.

Safawi Rashid

Impak daripada kejayaan membantu skuad Malaysia B-23 mencipta sejarah layak ke peringkat suku akhir dalam saingan AFC B-23 di China ternyata telah menyebabkan nama Safawi Rashid mencuri perhatian beberapa pencari bakat dari kelab luar negara.

Pada bulan Januari lalu, seorang penulis bola sepak daripada media asing, John Duerden melaporkan 2 buah kelab bola sepak dari Korea Selatan dikhabarkan berminat untuk mendapat khidmat penyerang skuad Malaysia B-23 iaitu Safawi Rashid.

Pemain JDT ini mempamerkan prestasi memukau ketika dalam saingan AFC B-23 dan telah menjaringkan 2 gol dalam kejohanan itu.

Namun begitu, John enggan mendedahkan nama kelab dari Korea Selatan itu dan setakat ini masih tiada tawaran rasmi untuk mendapatkan khidmat Safawi secara pinjaman daripada pasukan JDT.

Safawi adalah antara pemain yang paling berpengaruh di atas padang. Beliau sering memberi ancaman di kawasan pertahanan lawan ketika skuad Malaysia B-23 menentang Korea Selatan di suku akhir di kejohanan AFC B-23.

Aspek ini sangat penting untuk dimiliki oleh mana-mana pemain muda. Pemain yang berpengaruh di dalam padang biasanya akan menaikkan semangat dan keyakinan rakan-rakan yang lain untuk memburu kemenangan.

Beliau juga cemerlang dalam saingan Liga Super musim ini apabila menjaringkan 6 gol sehingga membantu JDT menjuarai Liga Super buat kali kelima berturut-turut. Kecemerlangan ini sudah tentu akan menarik minat pencari bakat daripada kelab Liga Thailand.

Rumusan

Memetik kata-kata daripada Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan, beliau berpendapat pemain muda tempatan yang berusia bawah 23 tahun sepatutnya menyahut cabaran besar untuk beraksi di luar negara.

Menurut Sathianathan, pemain muda negara perlu mengambil peluang beraksi di liga luar negara untuk menimba pengalaman dan mengetepikan seketika tawaran gaji yang kecil.

Hal ini kerana beliau percaya pemain akan mendapat tawaran gaji lebih tinggi selepas pulang ke Malaysia berdasarkan pengalaman mereka bermain di luar negara.

“Tapi, pemain muda ini ada yang takut kerana budaya negara luar yang berbeza, sebab itu mereka lebih rela tinggal dekat dengan keluarga dan kawan. Jadi nilai untuk kuatkan mental pemain ini perlu diterapkan di peringkat awal lagi,” katanya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN