Jika minggu lalu, Semuanya BOLA telah membawakan kepada anda kisah bekas bintang Arsenal, Emmanuel Eboue yang kini hidup susah walaupun pada satu ketika dalam hidupnya, dia pernah merasai kehidupan mewah sebagai pemain ternama.
Kehidupan mewah pemain di Liga Perdana Inggeris (EPL) sebenarnya adalah singkat. Menurut Pat Lally, ketua bahagian pendidikan di Persatuan Pemain Profesional (PFA), secara puratanya, karier seorang pemain bola sepak adalah 8 tahun.
Oleh yang demikian, menurut Lally lagi, setiap pemain perlulah memiliki jalan kerjaya alternatif dan mempertimbangkan untuk memilihnya selepas berakhirnya kariernya sebagai seorang pemain.
Wang ringgit, kemahsyuran dan kegemilangan adalah singkat, oleh itu para pemain tidak kira di EPL ataupun di mana sekalipun perlu memikirkan dan mempertimbangkan perkara ini secara serius.
Kali ini, Semuanya BOLA akan bawakan kepada anda, senarai 5 pemain EPL yang pernah diisytiharkan muflis ataupun kehidupannya telah berubah 180 darjah, daripada kaya kepada papa kedana.
David James
Penjaga gawang, David James memiliki lebih 50 penampilan bersama England dan pernah beraksi bersama kelab ternama antaranya Liverpool, Manchester City, Aston Villa serta West Ham.
Namun siapa sangka, pada May 2004, James telah diisytiharkan muflis walaupun memperolehi pendapatan sekitar £20m daripada karier bola sepaknya, kerjaya lumayan sebagai model serta memiliki beberapa hartanah.
Pada tahun 2005, James juga dilihat memerlukan dana yang banyak untuk menyelesaikan kos penceraiannya yang mahal dan akhirnya dia telah disenaraikan untuk proses insolvensi.
Selain itu, James terpaksa menjual pelbagai barang peribadi miliknya selepas diisytiharkan muflis antaranya adalah jersi yang terdapat tandatangannya, seluar, bola, peralatan senaman serta van Vauxhall Astra miliknya.
Eric Djemba-Djemba
Pernah beraksi bersama Ryan Giggs dan Paul Scholes di Manchester United selepas pengurus, Alex Ferguson menandatanganinya daripada kelab Nantes pada musim 2003.
Walaubagaimanapun, disebabkan gaya kehidupan yang mewah dan sikap borosnya ketika berada di Old Trafford, Djemba-Djemba akhirnya jatuh bankrup pada tahun 2007 selepas perpindahannya ke Aston Villa.
Djemba-Djemba yang dilaporkan memiliki empat buah kereta mewah, 30 akaun pelbagai bank serta berpendapatan sekitar £75,000 sebulan ketika di Manchester United dilihat tidak melelong apa-apa barangan peribadinya.
Seperti David James, Djemba-Djemba turut ditinggalkan isterinya selepas jatuh muflis dan dia telah merantau ke banyak negara untuk beraksi antaranya ke Qatar, Denmark, Israel, Scotland, India serta Indonesia.
Keith Gillespie
Antara pemain yang dianggap sebagai ‘generasi emas’ Manchester United yang telah memenangi Piala Remaja 1992, Keith Gillespie pernah bermain bersama Ryan Giggs, Paul Scholes serta David Beckham.
Namun, tidak seperti rakan-rakan sepasukannya, Gillespie bukan sahaja terlibat dengan ketagihan minuman keras, malah dia juga seorang pejudi tegar sehingga pernah meletakkan pertaruhan ke atas Alex Ferguson juga.
Mengikut perkiraan Gillespie kepada The Guardian, dia telah kehilangan hampir £7,215,875 daripada jumlah hasil pendapatannya akibat perjudian, bidang hartanah serta terlibat di dalam skim perfileman.
Bekas pemain Manchester United itu telah diisytiharkan muflis pada tahun 2010 di usia 35 tahun. Kini, selepas sedar akan kesilapannya, Gillespie telah menerbitkan sebuah biogafinya bertajuk, ‘‘How Not to be a Football Millionaire’.
Lee Hendrie
Lee Hendrie adalah antara bakat muda terbaik England sekitar penghujung tahun 90-an dan ketika kemuncak kariernya, Hendrie telah beraksi bersama Aston Villa dengan anggaran pendapatan sebanyak £30,000.
Namun pada tahun 2012, selepas hutang yang kian meningkat dan kehilangan segala hartanahnya, Hendrie telah diisytiharkan muflis. Dia muflis akibat kesilapannya dalam pelaburan hartanah dan gaya hidup yang terlampau mewah.
Selepas penceraian dengan isterinya, Hendrie pernah mencuba untuk membunuh diri dua kali namun gagal dalam percubaannya itu. Menurutnya, penceraian tersebut sangat memberi kesan kepadanya.
Kini, dia adalah pengarah Footie Bugs, satu program aktiviti bola sepak untuk kanak-kanak berusia 3 hingga 9 tahun dan dia juga merupakan duta kepada Young Minds.
John Arne Riise
Ketika kemuncak kariernya, John Arne Riise adalah antara pemain bek kiri terkenal di era awal 2000-an untuk Liverpool dan juga Fulham. Namun, siapa sangka, dia telah diisytihar muflis pada usia 27 tahun.
Dengan pendapatan sekitar £30,000 secara mingguan, antara pendapatan yang boleh dikategorikan sebagai lumayan, Riise telah didakwa gagal melangsaikan hutangnya yang berjumlah £100,000.
Kes Riise itu dikatakan ada kaitan dengan kes penipuan bernilai £3 juta yang berlaku di Norway. Riise juga telah dilaporkan terpaksa menanggung hutang atas kegagalan perniagaannya, termasuk dalam bidang perhotelan.
Terkini, pada November lalu, Riise memaklumkan di Twitternya yang dia telah bergelar seorang ejen pemain selepas setahun bersara daripada bola sepak. Kelab terakhir yang diwakilinya adalah di India, Chennaiyin FC.
Penutup
Itu adalah sebahagian kisah pemain EPL yang pernah ‘tersungkur’ dalam kehidupan mereka dari segi kewangan yang dapat Semuanya BOLA bawakan kepada anda.
Menurut laporan Utusan Malaysia, di Malaysia, jika kita didapati memiliki hutang tidak berbayar sebanyak RM30,000, kita sudah boleh dikenakan tindakan muflis.
Pengurusan kewangan yang baik, menjamin kehidupan yang lebih baik. Bukan hanya untuk pemain bola sepak, tetapi juga untuk individu biasa seperti kita.
Di Malaysia juga ada kisah-kisah nasib pemain yang sebegini. Anda boleh kongsikannya bersama kami.