Emmanuel Eboue, Daripada Jutawan Kini Tidur Atas Lantai Dan Tak Mampu Beli Mesin Basuh

11 tahun yang lalu, Emmanuel Eboue antara pemain Afrika yang paling dikenali di dunia dan bermain dengan kelab besar, Arsenal.

Beliau bermain 7 musim di EPL dan menjana pendapatan berjuta dollar. Beliau tinggal di rumah agam dan memandu kereta mewah. Wang bukan masalah dalam hidup beliau ketika itu. Beliau juga menerima gaji £1.5 juta setahun di Galatasaray satu ketika dahulu.

Hari ini beliau hidup serba serbi kekurangan. Kadangkala tidur di atas lantai sahaja di rumah kawan. Nak bergerak ke sesuatu tempat pun beliau menaiki bas.

Lebih sedih, beliau kadangkala terpaksa memakai pakaian tidak cukup bersih kerana tidak mampu membeli mesin basuh. Beliau mendedahkan pernah hampir membunuh diri namun mujurlah beliau masih ingat tuhan ketika itu.

“Saya berdoa agar tuhan datang membantu saya. Hanya Dia yang mampu mengeluarkan semua ini daripada fikiran saya.”

Eboue antara pemain yang menjadi perhatian kempen Time To Change kerana beliau dalam masalah tekanan mental yang dikhuatiri akan memudaratkan beliau.

Siapa akan lupa dengan Eboue. Beliau antara pemain yang bermain untuk Arsenal ketika berhadapan dengan Barcelona di final UCL 2006.

Beliau juga membantu Ivory Coast mara ke final Piala Negara-Negara Afrika 2012. Hari ini hidup beliau bertemankan air mata dan tidak tahu apa akan jadi pada hari akan mendatang.

Beliau tidak boleh bermain bola sepak kerana disahkan ada masalah kesihatan. Itu membuatkan beliau hilang sumber pencarian. Selepas itu beliau telah bercerai dengan bekas isterinya Aurelie.

Lebih perit, Eboue telah tewas dalam perebutan aset, dan kesemuanya telah dimiliki oleh Aurelie. Beliau juga hidup bersembunyi daripada buruan polis dan ‘baillif’ selepas diarahkan menyerahkan hak rumah beliau di Enfield kepada bekas isterinya.

Eboue juga memberitahu yang beliau sangat merindui anaknya selepas kali terakhir bertemu pada Jun lalu.

Kisah hidup Eboue memang menyayat hati. Datuk kesanyangan beliau meninggal dunia kerana barah.

Datuknya itulah yang membesarkan beliau. Adik beradik beliau ada 12 orang dan salah sorang daripadanya meninggal dunia dalam kemalangan motosikal.

Eboue sebelum ini menyerahkan hak urusan perniagaan kepada isterinya. Kini rumah beliau di London disenaraikan untuk dijual oleh Aurelie.

Beliau kini masih duduk di rumah di Enfield. Dan difahamkan Aurelie mahukan hak rumah itu kerana mahu menyewakannya kepada orang lain.

Eboue meletakkan pakaiannya dalam beg untuk bersiap-sedia untuk keluar pada bila-bila masa.

“Saya tidak ada duit untuk mengupah peguam ataupun ‘barrister’. Setiap hari saya duduk di rumah dalam ketakutan. Saya tak tahu pada bila-bila masa polis akan datang.”

“Kadangkala saya menutup lampu pada malam hari sebab saya tak mahu orang tahu saya ada di dalam. Saya letakkan semua barang di belakang pintu.”

“Itu rumah saya sendiri. Saya bersusah paya membelinya dan kini saya tinggal di dalamnya dengan ketakutan.”

“Saya tidak akan menjual pakaian saya atau apa yang saya miliki sekarang. Saya akan berjuang untuk hak saya sehingga ke akhirnya. Ini tidak adil bagi saya.”

Eboue sebelum ini hampir pasti kembali ke EPL selepas Sunderland setuju mendapatkan beliau tetapi FIFA telah mengenakan hukuman gantung 12 bulan selepas Eboue dikatakan melanggar perjanjian dengan ejen beliau.

Eboue kesal kerana beliau tidak pernah terfikir untuk belajar menguruskan kewangan beliau sendiri. Beliau menyerahkan segala urusan kepada bekas isterinya kerana dia sangat naif tentang wang.

Beliau juga mengakui pernah beberapa kali ditipu oleh orang yang mengambil kesempatan ke atas beliau dan hilang sejumlah besar wang.

“Jika saya imbas kembali apa berlaku, saya rasa sangat naif. Kenapa saya tak pernah berfikir seperti ini dahulu?”

“Saya bersusah payah mencari wang. Saya bekerja sangat keras untuk menyara anak dan isteri saya.”

“Ketika di Turki saya menjana pendapatan sekitar €8 juta dan €7 juta saya hantar kepada isteri saya. Apa sahaja yang dia suruh saya tandatangan, saya akan tandatangan.”

“Dia adalah isteri saya. Jadi saya dengar nasihat dia sehingga saya dikenakan tindakan oleh FIFA.”

“Hari ini saya kalau keluar, sedaya upaya saya tak nak orang kenal saya.”

Beliau juga menyatakan yang beliau kagum dengan bekas rakan sepasukannya, Thierry Henry.

“Ketika saya melihat rakan saya (Henry) di TV saya kagum dan bangga kerana pernah bermain bersama ataupun berlawan. Tetapi apabila melihat diri sendiri saya berasa sangat malu dan tak sanggup untuk melihat mereka.”

“Setiap hari saya membasuh pakaian dengan tangan, apa sahajalah. Tangan saya sekarang dah kasar dan seperti tangan seorang pekerja ladang.”

“Syukurlah nenek saya pernah mengajar saya membasuh, memasak, mengemas rumah ketika saya masih muda.”

“Saya juga tak pernah lupa bersyukur kepada tuhan kerana masih terus hidup walaupun saya tak mahu perkara sebegini menimpa saya.”

“Saya akan menerima apa sahaja bantuan daripada mana mana pihak termasuk bekas kelab saya. Saya akan gembira untuknya. Mungkin saya boleh membantu pemain-pemain muda.”

“PFA banyak membantu saya tetapi masalah sekarang mereka tak mampu mengtasi FIFA kerana saya ada masalah dengan ejen.”

“Jika PFA memberikan saya kerja walaupun kerja kecil sekalipun, saya akan anggap ia satu tugas yang sangat-sangat besar.”

“Walaupun saya malu untuk berhadapan dengan rakan dan lawan saya dahulu tetapi saya akan atasinya.”

Semoga Emmanuel Eboue dapat kerja yang baik selepas ini terutama sekali dalam kejurulatihan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN