5 Perkara Menarik Yang Boleh Kita Pelajari Dari Perlawanan Akhir Piala FA 2017

Kedah muncul sebagai juara Piala FA 2017 setelah menewaskan Pahang 3-2 dalam aksi perlawanan akhir yang mendebarkan pada Sabtu lalu.

Aksi final yang menghiburkan itu menyaksikan Pahang bermain dengan 10 pemain setelah Kiko Insa dilayangkan kad merah setelah menerima kad kuning kedua perlawanan.

Berikut adalah 5 perkara menarik yang boleh kita pelajari dari aksi final tersebut.

1. Kedah Teruskan Legasi Tan Cheng Hoe

Falsafah bola sepak yang ditinggalkan oleh jurulatih Tan Cheng Hoe diteruskan oleh pengendali sementara Kedah, Nidzam Adzha Yusoff.

Formasi 4-2-3-1 jelas formasi yang memberi keselesaan kepada barisan kesebelasan utama skuad Lang Merah.

Ken Ilso Larsen membuktikan beliau adalah penyerang jenis ‘poacher’ semulajadi apabila tenang menyudahkan hantaran Syazwan Zainon. Naluri Ken Ilso adalah semulajadi untuk berada di tempat yang betul pada masa yang tepat.

Keupayaan beliau melepaskan diri untuk menyambut hantaran dari  Liridon Krasniqi juga membuktikan pemain ini bijak menghidu ruang untuk menerima hantaran ketika berada dalam kotak penalti.

Gerakan pada minit ke-72 perlawanan menyaksikan Ilso dengan mudah membuat hantaran kepada Baddrol Bakhtiar untuk jaringan ke-3 Kedah.

Photo by Zulfachri Zulkifli / www.asiana.my,

2. Syazwan Zainon

Ketika pihak penganjur menyerahkan helaian borang untuk percalonan Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Piala FA 2017, nama Syazwan Zainon adalah adalah pilihan kami.

Dua bantuan golnya dalam perlawanan itu adalah tanda dominasi beliau dari arah sayap kiri. Lariannya secara konsisten sering menyukarkan Matthew Davies.

Malah kerana kepantasannya, Matthew Davies kurang melakukan ‘overlapping’ kerana terpaksa mengekori Syazwan sepanjang tempoh perlawanan.

Kecederaan merencatkan malam final untuk Syazwan. Bagaimanapun, sumbangan beliau sangat signifikan untuk memastikan Kedah bergelar Juara Piala FA 2017.

Nama Syazwan Zainon pasti di dalam senarai Ketua Jurulatih Skuad Harimau Malaya, Nelo Vingada dan pembantunya Tan Cheng Hoe yang turut hadir menyaksikan perlawanan akhir tersebut.

Syazwan Zainon /Photo by Safwan Rozi / www.asiana.my.

3. Mahamadou Sumareh

Pada separuh masa pertama perlawanan, Mahamadou Sumareh agak sukar untuk melakukan gerakan akibat dirantai oleh Fitri Omar di sebelah sayap kanan Pahang.

Bagaimanapun, Sumareh adalah jeneral ‘Gajah Perang’ skuad Tok Gajah pada separuh masa kedua perlawanan.

Tidak dapat dipastikan apakah arahan Dollah Salleh pada waktu rehat separuh masa pertama untuk memunculkan persembahan hebat dari Sumareh.

Kelibat Sumareh tidak putus-putus melakukan serangan dari arah kiri gawang gol Kedah.

Pemain ini memiliki stamina yang tinggi. Di kala perlawanan menuju ke penghujung, sikap tidak putus asa beliau terserlah walaupun Pahang ketinggalan dengan jaringan 3-1.

Memiliki ketinggian 179cm, tandukan beliau pada minit ke-80 memberikan harapan untuk rakan sepasukan yang lain untuk terus berjuang mencari gol penyamaan.

Pada usia 22 tahun, pemain ini sudah mahir dengan selok belok bola sepak Malaysia. Beberapa minggu yang lalu, ada cakap-cakap untuk menjadikan beliau seorang pemain naturalisasi.

Mahamadou Sumareh sebagai pemain naturalisasi? Satu cadangan yang perlu dipertimbangkan oleh Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Photo by : Norazmi Ibrahim | www.asiana.my

4. Nidzam Adzha VS Dollah Salleh

Soalan kami ketika sidang media menjelang perlawanan akhir kepada Dollah Salleh berbunyi begini:

“Apakah perancangan taktikal Coach Dollah untuk menghadapi Kedah dan mengelakkan kekalahan 4-1 di Alor Setar pada awal musim daripada berulang?”

Ini jawapan beliau:

“Pentas perlawanan akhir adalah saingan yang berbeza. Pada masa itu, pemain belum serasi dan saya baru kembali membimbing Pahang. Saya percaya barisan pemain memiliki persefahaman yang lebih jitu berbanding perlawanan di awal musim.”

Agak mengejutkan apabila Dollah Salleh menggunakan formasi 4-1-4-1 dalam perlawanan ini. Bagaimanapun untuk 20 minit pertama perlawanan, Pahang berjaya menganggu rentak dan ‘fluidity’ 4-2-3-1 pasukan Kedah.

Pahang selesa dengan formasi 4-4-1-1 dalam beberapa saingan Liga Super sejak kekalahan di Alor Setar pada awal musim. Agak mengejutkan beliau tidak meneruskan formasi tersebut dalam taktikal beliau.

Separuh masa kedua, kita melihat banyak perubahan dalam corak permainan pasukan Pahang. Ini kerana 4 pemain tengahnya lebih selesa untuk mengawal jentera tengah dengan 4 pemain berbanding 5 pada asalnya.

Nidzam Adzha tidak melakukan sebarang perubahan pada separuh masa kedua. Tidak ada perubahan taktikal selain daripada bertahan walaupun memiliki kelebihan seorang pemain.

Ini bukan kali pertama Dollah dikecewakan oleh Nidzam. Pada perlawanan akhir edisi pertama Piala FA pada tahun 1990, Nidzam yang beraksi bersama pasukan Perak memadam kelebihan 2 gol jaringan Dollah Salleh.

Perak muncul juara Piala FA edisi pertama menumpaskan Selangor 4-2. Jelas sekali pengalaman bukan faktor di pentas perlawanan akhir bola sepak.

Nidzam Adzha bersalaman dengan Dollah Salleh selesai sidang media Piala FA 2017.

5. Peyokong Pasukan

Tidak lengkap rasanya jika tidak menyentuh perihal penyokong yang hadir pada malam perlawanan akhir Sabtu lalu. Perlawanan berlangsung dengan aman dan makmur.

Kehadiran kumpulan Ultras Elephant Army dan UK’09 turut menghangatkan suasana pertandingan dengan cara yang sihat.

Tiada insiden yang tidak diingini berlangsung sebelum, sepanjang dan selepas aksi final tersebut.

Bagaimanapun, sebagaimana kita menginginkan perubahan kepada landskap bola sepak tanah air, sikap penonton juga harus diubah.

Selesai perlawanan akhir tersebut, pihak kami sempat melakukan tinjauan di dalam dan di sekeliling stadium.

Sampah sarap ditinggalkan dalam keadaan bersepah dan berlonggok oleh kebanyakkan penonton dan peniaga yang hadir pada malam tersebut. Sudah tentu ia meninggalkan pemandangan yang menyakitkan mata memandang.

Walaupun terdapat usaha dari beberapa kumpulan penyokong untuk melakukan kerja-kerja pembersihan, ia adalah tidak memadai untuk meninggalkan kerja pembersihan kepada pihak berwajib.

Kesedaran sivik di kalangan rakyat Malaysia khususnya penyokong bola sepak harus diubah. Anda inginkan perubahan dan melihat bola sepak negara semakin maju? Mulakan dari anda!

Norazmi Ibrahim | www.asiana.my

 

Kesimpulan

Secara keseluruhan, dari segi perlawanan kita telah menyaksikan aksi akhir yang menghiburkan. Kredit kepada pihak penganjur dalam memastikan kelancaran pertandinagn Piala FA 2017.

Bagaimanapun, masih banyak ruang yang boleh diperbaiki selaras dengan proses revolusi bola sepak tanah air yang dicetuskan oleh tampuk pengurusan FAM yang baharu.

 

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN