Nidzam Adzha Yusoff Sah Dilantik Sebagai Ketua Jurulatih Kedah

Pada Sabtu lalu, Nidzam Adhza Yusoff hadir ke perlawanan akhir Piala FA 2017 sebagai pengendali sementara pasukan Kedah Darul Aman dan pulang ke Alor Setar bergelar juara.

Dua hari kemudian, beliau disahkan sebagai Ketua Jurulatih yang baharu skuad Lang Merah itu. Perlantikan Nidzam Adhza sebagai pengendali tetap pasukan Kedah pasti adalah perkhabaran gembira yang dinanti-nantikan oleh semua penyokong skuad Hijau Kuning.

Nidzam Adhza Yusoff telah dilantik sebagai pengendali sementara sejak 1 April yang lalu setelah Tan Cheng Hoe mengambil keputusan untuk menyertai skuad kebangsaan sebagai pembantu jurulatih.

Nidzam Adhza Yusoff. Kredit: Stadium Astro

Perkhabaran terbaru ini dimaklumkan sendiri oleh Nidzam Adhza Yusoff kepada wartawan Berita Harian sebelum memulakan sesi latihan petang tadi.

Beliau kini telah didaftarkan oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sebagai pengendali utama pasukan negeri jelapang padi itu.

Dalam temubual bersama wartawan Berita Harian, beliau dipetik sebagai berkata, “Saya ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kerana memberi kepercayaan kepada saya dengan mendaftarkan saya sebagai ketua jurulatih.”

Perlantikkan beliau sudah pasti disambut dengan kelegaan oleh jurulatih yang bukan lagi watak asing dalam bola sepak negeri Kedah.

“Kini saya mahu terus fokus meningkatkan lagi prestasi pasukan dalam Liga Super dan Piala Malaysia yang juga bakal memberi cabaran besar untuk saya”.

“Saya perlu bekerja keras memastikan momentum kejayaan Kedah diteruskan seperti yang telah dirancang. Bukan mudah untuk mencipta kejayaan besar apatah lagi untuk meneruskan momentum kejayaan yang sudah dikecapi pasukan.”

Kredit: Kedah FA – Persatuan Bolasepak Kedah –

“Namun saya bertekad mahu beri sepenuh kemampuan dan keupayaan saya demi kejayaan yang dinantikan pasukan Kedah.”

Nidzam Adhza Yusoff menyertai pasukan Kedah Darul Aman sebagai pemain pada era revolusi bola sepak negeri berkenaan yang dicetuskan oleh Allahyarham Dato Seri Ahmad Basri Akil.

Sebagai pemain, beliau telah menjulang Piala FA sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1990 bersama Perak dan sekali lagi pada 1996 bersama Kedah.

Kejayaan Sabtu lalu adalah kejuaraan Piala FA pertama beliau sebagai pengendali Kedah. Perlawanan pertama yang akan dikendalikan beliau sebagai ketua jurulatih Kedah ialah menentang T-Team di Stadium Darul Aman pada 24 Mei akan datang.

Kami di Semuanya BOLA mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya buat jurulatih Muhammad Nidzam Adhza Yusoff.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN