Selepas 2 perlawanan persahabatan (menentang Brazil dan Singapura) pada Jun 2017 lepas, Jorge Sampaoli akhirnya bakal membuat debut sebagai ketua jurulatih Argentina pada Khamis (pagi Jumaat waktu Malaysia) ini.
Dalam debut ini, Sampaoli wajib menang. Dengan La Albiceleste yang sekadar menduduki tangga ke-5 pusingan kelayakan FIFA World Cup 2018 zon CONMEBOL (di belakang Brazil, Colombia, Uruguay dan Chile), Argentina memerlukan mata jika mahu salah satu daripada 4 slot layak terus.
Dan tugas Sampaoli pada Khamis ini tidak mudah. Lawan mereka adalah Uruguay di Estadio Centenario, Montevideo. Kali terakhir Argentina menang di halaman Uruguay adalah pada tahun 2009.
Meskipun Sampaoli berhadapan dengan masa latihan yang terhad dengan pemain-pemainnya, beliau tetap berani membuat perubahan. Berdasarkan perlawanan persahabatan menentang Brazil pada Jun lepas, Sampaoli nampak seperti menggemari formasi 3-4-2-1 bersama Argentina.
Penjaga gol
Tiada perubahan besar yang berlaku di posisi ini. Jorge Sampaoli masih lagi memilih Sergio Romero, Nahuel Guzman dan Geronimo Rulli sebagai 3 penjaga golnya.
Romero dan Guzman dipilih Sampaoli ketika 2 aksi perlawanan persahabatan pada Jun 2017 lepas. Tetapi besar kemungkinan, Romero akan kekal menyarung jersi no.1 La Albiceleste.
Pertahanan
Sampaoli menggemari sistem 3 pertahanan. Dalam skuad Argentina, kali terakhir sistem ini digunakan adalah ketika guru Sampaoli, Marcelo Bielsa mengurus La Albiceleste (1998-2004).
Sebelum ini, Javier Mascherano, Nicolas Otamendi dan Gabriel Mercado merupakan nama tetap kesebelasan utama Argentina.
Tetapi Sampaoli nampak bersedia untuk memperbaharui barisan pertahanannya apabila memberi Federico Fazio (3 kaps) dan Nicolas Pareja (1 kaps) panggilan skuad kebangsaan pertama mereka sejak tahun 2014 dan 2011.
Sampaoli juga memanggil beberapa pemain baru seperti Javier Pinola dan Fabricio Bustos. Bustos adalah bek kanan ofensif yang berusia 21 tahun dan baru hanya bermain 25 perlawanan di liga divisyen utama Argentina.
¡#BuenLunes, albicelestes! Empieza una semana distinta, una semana de Selección https://t.co/r2amO9beZ0 pic.twitter.com/oilqeq9yfE
— 🇦🇷 Selección Argentina ⭐⭐⭐ (@Argentina) August 28, 2017
Tengah
Sampaoli adalah jenis jurulatih yang percaya – jentera tengah mendefinisikan gaya permainan sesebuah pasukan. Di mata beliau, jentera tengah perlu diisi oleh pemain kreatif seperti Ever Banega dan Lucas Biglia.
Dengan Ever Banega yang takkan dapat diturunkan menentang Uruguay kerana digantung perlawanan, Sampaoli boleh menggunakan Guido Pizarro atau pemain muda baru, Leandro Paredes. Paredes baru sahaja mendapat kaps antarabangsa pertamanya ketika menentang Singapura tempoh hari.
Javier Pastore yang kali terakhir menyarung jersi Argentina ketika kempen Copa America Centenario 2016 pula perlu berterima kasih kepada Sampaoli yang kembali memanggilnya masuk ke skuad kebangsaan.
Dengan tempat Angel di Maria di skuad Argentina terjamin, Sampaoli turut mengambil keputusan berani untuk menguji Lautaro Acosta – pemain sayap veteran dari pasukan bawah-20 Argentina yang menjadi juara Piala Dunia Bawah-20 di Canada pada 2007.
Penyerang
Di jentera serangan, fokus utama Sampaoli adalah memberi Lionel Messi satu sistem sokongan yang beliau perlukan. Fokus ini menjelaskan keputusan Sampaoli memanggil Mauro Icardi dan menggugurkan Gonzalo Higuain.
Sebelum kedatangan Sampaoli, Icardi hanya mencatat kemunculan selama 7 minit sahaja dari bangku simpanan sejak menentang Uruguay pada 2013 sehinggalah sekarang. Kini Icardi mempunyai peluang besar untuk menjadi penyerang utama dalam sistem 3-4-2-1 Sampaoli.
Messi dan Paulo Dybala akan mengisi 2 slot pemain no.10 di belakang Icardi. Selain 2 pemain bintang ini, Argentina turut mempunyai Sergio Aguero dan 2 muka baru – Joaquin Correa, yang pernah bermain di bawah Sampaoli ketika di Sevilla dan penyerang Boca Juniors, Dario Benedetto.
Barisan kemungkinan Argentina vs Uruguay