Status sebagai pemain pinjaman ke pasukan lain tidak semestinya membawa maksud seseorang pemain bolasepak itu dianggap sebagai pemain yang tidak mencapai tahap kualiti bersama pasukan lamanya.
Namun, seperti diketahui, ada juga beberapa pemain selepas dipinjamkan ke kelab baru, aksi mereka diluar jangkaan peminat. Mereka mendapat kepercayaan membarisi skuad utama pasukan dengan berjaya mempamerkan prestasi cemerlang.
Prestasi yang cemerlang dikecapi pemain-pemain tersebut bersama kelab yang dipinjamkan, semestinya membuatkan mereka tidak perlu lagi memilih untuk kembali semula ke kelab lama.
Disini terdapat 4 pemain yang disenaraikan tidak perlu lagi bagi mereka untuk kembali ke kelab asal selepas dipinjamkan ke kelab baru.
1. James Rodriguez (Bayern Munich)
Selepas berjaya menyertai Real Madrid, impian James untuk menjadi bintang di Santiago Bernabeu tidak seperti yang diharapkan.
Jodoh James di Madrid tidak bertahan lama. James menyertai Bayern Munich secara pinjaman pada musim panas lalu selepas kerap kali dipinggirkan pengurus pasukan, Zinedine Zidane untuk beraksi dalam kesebelasan utama.
Hal ini membuatkan pemain berusia 26 tahun itu, terpaksa berhijrah ke Jerman untuk bersama Bayern Munich secara pinjaman selama dua musim.
James pada awalnya menolak untuk meninggalkan Real Madrid, memandangkan kontraknya bersama Los Blancos akan tamat sehingga 2019.
Selepas memilih untuk berhijrah ke Bayern Munich secara pinjaman, prestasi James di Jerman telah mengejutkan ramai pihak sehingga membuatkan penyokong Real Madrid mempersoal dan mengkritik pihak pengurusan, terutama Zinedine Zidane yang dianggap membuat keputusan ‘bodoh’ melepaskan James selama 2 musim secara pinjaman kepada pesaing Eropah mereka itu.
James berada dalam prestasi yang amat baik bersama Bayern Munich. Beliau mula membuktikan kemampuannya sebagai pemain berkelas dunia dibawah pengurus Bayern, Jupp Heynckes.
Beliau telah menjaringkan 3 gol dalam 14 perlawanan dan kerap diberi peluang untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan sebanyak 11 kali.
Dengan prestasi yang cemerlang di Jerman, adakah dirinya masih mahu memilih untuk pulang semula ke pangkuan kelab lamanya, Real Madrid? rasanya tidak perlu lagi.
2. Lucas Perez (Deportivo La Coruna)
Penyerang berdarah Sepanyol ini jarang mendapat kesempatan beraksi bersama Arsenal pada musim lalu. Mungkin corak permainan Perez tidak sesuai dengan taktikal yang dibawa Arsene Wenger.
Lucas dibawa masuk menyertai Arsenal pada penghujung musim 2016 dengan yuran perpindahan bernilai €20 juta dari Deportivo La Coruna.
Namun, kehadirannya tidak sama sekali membawa impak di posisi serangan Arsenal seperti yang diharapkan Wenger sebelum ini.
Lucas sering mengalami kecederaan dan ianya akan mengambil masa yang lama untuk kembali pulih sepenuhnya. Ini membuatkan nama beliau sering diketepikan dalam skuad utama.
Pada penghujung musim 2017, Deportivo La Coruna kembali memberi tawaran untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 29 tahun itu untuk bersama pasukan mereka secara pinjaman.
Kembalinya Lucas ke Sepanyol telah memberi mimpi indah buat dirinya, apabila beliau sering disenaraikan dalam kesebelasan utama dan mendapat kepercayaan pengurus pasukan, Cristóbal Parralo.
Lucas mendapat banyak peluang untuk beraksi dalam kesebelasan utama dan beliau berjaya membantu pasukannya itu dengan menyumbangkan empat gol ketika ini dalam 18 perlawanan yang dihadapi.
Di kem Arsenal pula, mereka telah berjaya membawa masuk Henrikh Mkhitaryan dan Pierre-Emerick Aubamenyang.
Dengan berita kehadiran penyerang dari Gabon ini bersama The Gunners, maka tempat Lucas Perez di Arsenal berkemungkinan akan terus diketepikan jika beliau kembali semula menyarung jersi pasukan yang berpangkalan di London itu.
3. Joe Hart (West Ham)
Joe Hart terpaksa merelakan hatinya untuk melepaskan posisi utama penjaga gol Manchester City selepas melalui permulaan musim yang buruk bersama pasukan itu pada tahun 2016.
Prestasi yang merundum saat mengalas tugas sebagai penjaga gol City membuatkan Pep Guardiola antara individu yang dilihat paling berpengaruh mengenai cerita pelepasan hart kepada pasukan lain.
Hart yang merupakan penjaga gol utama England sejak 2010, adalah seorang pemain yang berprofil tinggi yang telah disingkirkan pasukan sejak kehadiran Pep Guardiola sebagai pengurus baharu kelab.
Pengurus City itu tidak berminat dengan persembahan Hart untuk mengemudi benteng terakhir The Citizen. Dalam perlawanan sebelum ini, Guardiola lebih memilih dan mempercayai penjaga gol kedua mereka, Willy Caballero.
Guardiola meletakkan Hart sebagai penjaga gol ketiga selepas City mendapatkan Claudio Bravo dari Barcelona dengan Willy Caballero adalah penjaga gol pilihan kedua.
Dengan adanya Willy Caballero dan Bravo sebagai penjaga gol Manchester City, Hart boleh terus melupakan hasratnya bagi merebut posisi utama penjaga gol. Malah untuk bermain dalam setiap perlawanan Liga Perdana Inggersi kemungkinan iainya merupakan satu situasi yang sukar bagi dirinya.
Keresahan Hart bersama City akhirnya berakhir selepas kelab dari Itali, Torino tampil menawarkan beliau untuk berkhidmat di Turin secara pinjaman. Selepas menghabiskan kerjayanya di Itali selama semusim, Hart kembali semula ke England untuk dipinjamkan ke West Ham United.
Skuad The Hammers difahamkan telah membayar yuran pinjaman sebanyak 4.5 juta pound untuk mendapatkan Hart. Bersama West Ham, Hart telah berjaya berada dalam kesebelasan utama dan sudah bermain hampir 14 perlawanan.
Namun kini Hart yang beraksi di kesebelasan utama pada 14 perlawanan terawal Liga Perdana Inggeris hanya memanaskan bangku simpanan selepas posisinya selaku penjaga gol utama West Ham United diambil alih Adrian yang lebih menjadi pilihan David Moyes.
Mungkin selepas ini Hart perlu mencari pasukan lain untuk terus beraksi tetapi sudah pasti Manchester City bukan pilihan beliau.
4. Marco van Ginkel
Chelsea telah berjaya melengkapkan pembelian mereka untuk mendapatkan khidmat Marco van Ginkel dari Vitesse Arnhem pada tahun 2013 dengan yuran perpindahan sebanyak 8 juta pound. Pemain kelahiran Belanda ini telah menandatangani kontrak selama 5 tahun bersama The Blues.
Pembelian pemain muda itu merupakan pembelian kedua Chelsea dibawah kendalian Jose Mourinho selepas berjaya mendapatkan Andre Schurrle. Namun selepas menyarung jersi The Blues, Van Ginkel kurang mendapat tempat dalam kesebelasan utama membuatkan beliau berubah fikiran untuk berhijrah ke pasukan lain.
Van Ginkel sempat beraksi bersama Chelsea pada tiga perlawanan pertamanya dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim 2014/15. Tidak mendapat banyak kesempatan beraksi di atas padang membuatkan pemain ini memutuskan untuk berhijrah keluar dari Stamford Bridge selepas ditawarkan bermain bersama AC Milan secara pinjaman.
Selepas berkelana ke Itali, beliau kemudiannya dipinjamkan ke Stoke City.
Selepas beraksi selama 6 perlawanan membantu Stoke City di Premier League, Van Ginkel kembali semula ke kem The Blues. Sekembalinya beliau bersama Chelsea musim 2016/17, ianya tidak bermakna bagi dirinya untuk bersaing merebut kesebelasan utama.
Kesempatan yang kurang diberikan Antonio Conte, membuatkan Van Ginkel memutuskan untuk berhijrah ke PSV Eindhoven selepas beliau ditawarkan kontrak pinjaman jangka masa panjang bersama kelab dari Belanda tersebut.
Impak kehadiran Van Ginkel ke PSV cukup besar bagi kelab tersebut. Menjaringkan 25 gol dalam 45 penampilannya bersama kelab tersebut, meletakkan beliau antara tonggak penting PSV ketika ini.
Justeru, dengan kecemerlangan aksinya yang dipamerkan di Belanda, sudah tentu tidak perlu lagi bagi dirinya untuk kembali ke England bersama Chelsea.