Malaysia bawah 23 (B-23) tampaknya bakal menghadapi aksi sukar pada hari ini bagi perlawanan sulung Piala Asia B-23 peringkat Kumpulan D dengan berdepan cabaran daripada Uzbekistan.
Beraksi di Stadium Antarabangsa Khalifa, Harimau Malaya B-23 jelas tampil bukan sebagai pasukan pilihan, tatkala lawan mereka mempunyai reputasi cukup tinggi sebelum itu dalam saingan Piala Asia B-23.
Apa tidaknya, Uzbekistan B-23 sudah pun merangkul gelaran juara pada edisi 2018, dan ini menjadi suatu cabaran cukup berat untuk cuba ditangani oleh anak-anak buah Juan Torres Garrido.
Apatah lagi, skuad yang diberi gelaran ‘White Wolves’ ini juga turut mempertaruhkan beberapa pemain muda yang sangat berkualiti serta berpengalaman di pentas Eropah untuk menunjukkan betapa serius persiapan dibuat mereka bagi menghadapi saingan Piala Asia B-23 kali ini di Qatar.
Melihat kepada senarai nama pemain dipanggil, jelas ia memberi suatu isyarat penting buat kem kebangsaan untuk tampil lebih berhati-hati serta memberi fokus penuh sepanjang aksi berlangsung.
Berikut merupakan tiga pemain muda Uzbekistan yang berkelana di Eropah bersama kelab masing-masing dijangka memainkan peranan besar untuk tangani cabaran Malaysia.
Abbosbek Fayzullaev (CSKA Moscow)
Beraksi di saingan tertinggi Russia pada usia masih muda, jelas Fayzullaev antara pemain paling mencuri tumpuan serta mendapat perhatian penuh daripada pemerhati bola sepak antarabangsa.
Apatah lagi beliau sudah pun membuktikannya ketika bersama skuad senior Uzbekistan beberapa bulan lalu di pentas Piala Asia 2023 bersama gol serta aksi cukup menyakinkan.
Pada aksi Piala Asia lalu, Fayzullaev menepati ramalan ramai selaku bintang muda bakal mencuri tumpuan apabila pemain berusia 20 tahun itu meledak dua gol serta memastikan Uzbekistan mara ke pusingan suku akhir.
Abdukodir Khusanov (RC Lens)
Seorang lagi pemain muda berusia 20 Uzbekistan yang berjaya menembusi saingan utama Eropah iaitu Abdukodir Khusanov antara perlu diberi perhatian utama oleh barisan serangan Harimau Malaya B-23.
Beraksi di saingan Ligue 1, jelas khusanov sudah pun memiliki pengalaman menghadapi penggempur-pengggempur berbisa dalam saingan tersebut selain turut merasai peluang beraksi di saingan UEFA Champions League (UCL).
Malah, Khusanov turut memainkan peranan penting untuk membawa Uzbekistan mara ke pentas suku akhir pada aksi Piala Asia 2023 lalu dan kelebihan fizikal miliknya antara perlu diberi perhatian oleh barisan serangan kebangsaan hari ini.
Umarali Rakhmonaliev (Rubin Kazan)
Satu-satunya pemain muda dalam senarai dikeluarkan artikel ini masih belum menembusi skuad senior Uzbekistan walaupun pernah dipanggil dan kini beliau sedang aktif di pentas tertinggi Russia bersama Rubin Kazan.
Beraksi selaku pemain tengah bertahan, Umarali sudah pun diberi peluang beraksi sebanyak 15 perlawanan di Russia bersama aksi cukup menyakinkan.
Ketenangan beliau mengawal tempo permainan serta cepat menghalang penguasaan lawan menjadikan dirinya selaku aset penting buat Uzbekistan B-23 jika diberi peluang beraksi hari ini.