3 Sebab Mukhairi Ajmal Layak Diberikan Lilitan Kapten Skuad B-22

Mukhairi Ajmal Harimau Muda kelayakan Piala Asia B-23 kapten

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan, pemain tengah, Mukhairi Ajmal Mahadi dilantik sebagai kapten skuad B-22 yang akan bersaing di pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2022, minggu depan.

Mukhairi Ajmal yang merupakan pemain Selangor FC itu bakal mengemudi cabaran skuad B-22 negara dalam saingan Kumpulan J bertemu Thailand, Laos dan Mongolia bermula pada 25 Oktober hingga 31 Oktober ini.

Malaysia dalam misi mengulangi pencapaian skuad Piala AFC B-23 2018 yang layak secara merit ke pusingan akhir selepas menjuarai Kumpulan H, pusingan kelayakan, mengatasi Thailand, Indonesia dan Mongolia.

Manakala dua pemain pertahanan yang juga merupakan pemain Selangor, Harith Haiqal Adam Afkar dan Ahmad Zikri Mohd Khalili dinamakan sebagai penolong ketua pasukan, melengkapkan dominasi Selangor.

Mengapa Mukhairi Ajmal boleh dikatakan pilihan tepat untuk mengemudi skuad muda negara? Pada edisi kelayakan sebelum ini, lilitan kapten telah diberikan kepada pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid.

Dan seperti yang kita ketahui, skuad itu gagal mengulangi pencapaian layak ke pusingan akhir kejohanan tersebut seperti yang dilakukan di edisi 2018 – skuad yang diketuai pertahanan tengah, Adib Zainudin.

Hubungan baik dengan Brad Maloney

Sejak sekian lama, Mukhairi Ajmal memiliki hubungan baik dengan Brad Maloney yang kini merupakan ketua jurulatihnya. Beliau pernah mendedahkan pada 2019, Brad Maloney antara jurulatih yang banyak membantunya.

Sebagai ketua pasukan, tentunya beliau akan menjadi orang tengah interaksi antara jurulatih dan para pemain. Amat penting sebagai kapten, beliau memiliki hubungan baik bersama jurulatih dan ini melayakkan dirinya.

Katanya sebelum ini ketika bersama PKNP FC, “Brad [Maloney] dan Abu Bakar selalu menasihatkan saya untuk bekerja keras dan mahukan yang terbaik daripada saya. Mereka juga melihat saya sebagai seorang pemain yang mampu untuk menggerakkan jentera tengah. Sebagai seorang pemain, ini yang menggembirakan saya.”

Arkitek pasukan yang memiliki IQ tinggi

Bekas jurulatihnya, Abu Bakar Fadzim pernah melabelnya sebagai pemain muda yang hampir sempurna. Malah, pengendali itu yang telah memberikannya debut dalam saingan Liga Malaysia ketika bersama PKNP FC.

Kata Abu Bakar, “Bukan senang kita nak tengok pemain muda yang begitu selesa di atas padang bersaing bersama lawan yang lebih berpengalaman luas. Saya berbangga kerana kita ada pemain muda seperti beliau.”

“Tidak hanya dengan memiliki susuk badan yang tegap dan kemampuan membuat larian pantas, dia juga mempunyai IQ yang sangat tinggi. Lihat sahaja gaya permainannya, dia boleh mencorakkan perlawanan dan berfikir dalam tempoh yang singkat sebelum membuat hantaran bola,” jelas Abu Bakar lanjut mengenainya.

Minit permainan yang tinggi di Liga Super

Berusia 19 tahun, siapa sangka Mukhairi Ajmal memiliki minit permainan yang agak tinggi bersama Selangor – 895 minit permainan. Mendapat pendedahan saingan liga seawal usia 17 tahun bersama PKNP FC, memang sewajarnya beliau sudah melakar minit permainan yang banyak selepas dua musim memerah keringat.

Tampil dalam 20 perlawanan buat The Red Giants, beliau merekodkan sembilan percubaan tepat daripada 24 percubaan serta memiliki 77.2 peratus ketepatan hantaran berdasarkan statistik dikeluarkan Atlead Pass.

Selain itu, pengendali Selangor, Karsten Neitzel turut dilihat memuji prestasinya, “[Mukhairi] Ajmal mampu menukar rentak permainan, dan yang paling saya ingat adalah semasa perlawanan menentang Melaka United.”

Berdasarkan tiga intipati ini, penulis merasakan pemilihan Mukhairi Ajmal sebagai kapten tepat selain beliau merupakan kapten skuad B-19 yang mara ke final Piala AFF B-19 2018 – tewas tipis 0-1 kepada Australia.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN