3 Sebab Kenapa Pelantikan Nidzam Jamil Penting Untuk Kembalikan Kegemilangan Selangor

Nidzam Jamil Selangor

Bagai ikan pulang ke lubuk, pasukan Selangor yang melakukan rombakan barisan kejurulatihannya telah mengumumkan ketibaan Nidzam Jamil sebagai penolong ketua jurulatih skuad utama yang baharu untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2022.

The Red Giants pada musim ini sekali lagi gagal dalam misi mereka untuk menamatkan saingan Liga Super di kedudukan tiga terbaik bagi memburu slot ke kejohanan Asia dan turut terkandas di peringkat suku akhir Piala Malaysia setelah tewas kepada Kuala Lumpur City tempoh hari.

Walaupun pada awal musim pasukan ini dianggap sebagai pasukan pilihan terutamanya dengan ketibaan beberapa pemain berprofil tinggi dari Eropah, namun sejak dari awal musim segalanya menjadi serba tidak kena selepas satu demi satu pemain dilanda kecederaan dan prestasi yang tidak menentu.

Namun satu perkara positif yang dapat dilihat daripada masalah ini adalah munculnya pemain-pemain muda untuk diberi peluang untuk beraksi bersama skuad utama.

Maka kemasukan Nidzam dipercayai menjadi langkah terbaik untuk Selangor membangunkan lagi bakat pemain muda seperti mana yang pernah dilakukan oleh jurulatih berusia 41 tahun berkenaan bersama beberapa pasukan sebelum ini.

Semangat anak Selangor

Karier anak kelahiran Kajang ini bersama Selangor tidaklah terlalu panjang. Selepas membuat penampilan sulung bersama skuad utama Selangor pada tahun 2000, beliau hanya kekal selama empat musim sahaja sebelum berkelana menyertai beberapa pasukan lain seperti PKNS, Negeri Sembilan dan Proton City.

Namun dalam tempoh singkat itulah kariernya berada pada tahap terbaik sehingga pernah beberapa kali dipanggil mewakili skuad kebangsaan termasuk perlawanan persahabatan menentang Brazil pada tahun 2002 di mana beliau dimasukkan sebagai pemain gantian.

Namun disebabkan masalah kecederaan, beliau mengambil keputusan untuk menggantung but dan memulakan karier kejurulatihannya bersama SPA FC seterusnya menjuarai Liga FAM pada 2012 ketika baru berusia 32 tahun.

Selepas itu beliau pernah  menjadi jurulatih AirAsia FC diikuti dengan membimbing pasukan Bola Sepak Universiti Malaysia dalam kejohanan ‘World University Games Summer Universiade’ yang ke-29 di Taipei 2017. Pada 2017, beliau dilantik sebagai penolong ketua jurulatih Felda United.

Muda tapi berwibawa

Karier kejurulatihan Nidzam melonjak secara tiba-tiba setelah dilantik menjadi ketua jurulatih Felda United yang beraksi di pentas Liga Super menggantikan B. Satiananthan pada musim 2019 dan mencuri perhatian dengan membuktikan kewibawaan pada musim pertamanya

Sekalipun pasukan itu dilanda masalah kewangan yang serius sehingga terpalit dengan isu tunggakan gaji pemain dan jurulatih, Nidzam Jamil masih tenang mengemudi pasukan itu untuk mengelak dari tersingkir ke Liga Premier selepas menamatkan saingan liga di kedudukan ke-10.

Namun musim keduanya ternyata lebih mencabar. Pihak pengurusan secara jujur memaklumkan bahawa sumber kewangan pasukan yang amat terhad pada musim ini dan beliau ‘terpaksa’ menggunakan khidmat pemain-pemain muda serta kurang ternama.

Separuh daripada pemain skuadnya merupakan ‘anak Felda’ yang terdiri daripada pemain-pemain muda yang antaranya diserap daripada akademi, skuad Piala Belia dan Piala Presiden.

Ketajaman ‘naluri’ yang ada dalam dirinya juga telah membuatkan beliau berjaya mengesan bakat dan kemampuan yang ada pada seseorang pemain itu.

Walaupun Felda United akhirnya tersingkir selepas menamatkan saingan di tangga kedua tercorot dan kemudian ‘hilang’ dari pentas bola sepak Malaysia, beberapa bekas pemainnya yang sebelum ini kurang dikenali, kini sudah pun mencipta nama bersama pasukan-pasukan lain.

Antaranya adalah Ariff Farhan Md Isa (Kedah), Danial Amier (JDT), Muhaimin Mohamad (Negeri Sembilan), Anwar Ibrahim (KL City), Fadhil Idris (Penang), Azarul Nazarith (Terengganu), Syahmi Zamri, Faiz Mazlan (PJ City) dan ramai lagi.

Selain itu beliau juga telah berjaya menaikkan semula karier beberapa orang pemain yang sudah ‘hilang arah’ seperti Hadin Azman, Jasazrin Jamaludin dan S. Chanturu.

Jatuh Bangun Seorang Jasazrin

Hasil ‘air tangannya’, prestasi pernah Hadin melonjak sehingga mendapat panggilan bersama skuad kebangsaan dan kini turut cemerlang bersama KL City dan membantu pasukan tersebut mara ke separuh akhir Piala Malaysia pada musim ini.

Kesilapan adalah pelajaran

Dalam kalangan pemainnya, beliau cukup dikenali sebagai seorang jurulatih yang ‘sporting’ dan mesra kerana beliau sering mengambil tahu masalah dan hal peribadi semua pemain dan staf di bawah bimbingannya.

Dengan perwatakan yang ‘cool’, semua pemain tahu beliau merupakan seorang yang mempunyai azam yang tinggi, fokus dan bijak membuat keputusan berdasarkan kemampuan sebenar seseorang pemain kerana setiap pemain mempunyai kelebihan dan kekurangan yang berbeza.

Ditanya mengenai keberaniannya untuk mengetengahkan bakat muda dalam perlawanan-perlawanan penting, Nidzam menjelaskan bahawa penting untuk pemain muda diberi pendedahan supaya mereka mempunya keberanian untuk berdepan dengan pemain lawan yang lebih berpengalaman.

Felda United Pertaruh Pemain Berusia 17 Tahun Di Liga Super

“Kita perlu bermain berdasarkan kekuatan pemain dan tidak semestinya apa yang saya nak. Sebab dalam bola sepak, memang kadang kala keputusan tidak memihak pada kita,” ujar Nidzam yang pernah ditemubual oleh Semuanya BOLA pada awal tahun lalu

“Ianya penting untuk pemain-pemain muda seperti ini diberi peluang bermain. Jika mereka melakukan kesilapan, saya tak kisah sebab untuk belajar sesuatu mereka akan buat silap. Jadi pada masa akan datang mereka akan jadi pemain yang baik,” katanya lagi.

Perkara yang sering beliau sampaikan kepada pemainnya adalah berdisiplin, bekerja keras, pamerkan 100 peratus komitmen kepada latihan dan berikan yang terbaik dalam 90 minit perlawanan.

Bekas pemain Selangor ini tentunya individu terbaik untuk mengembalikan kegemilangan skuad The Red Giants yang sudah kemarau kejuaraan sejak beberapa tahun lamanya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN