3 Prinsip Asas Pertahanan Dalam Futsal Yang Harus Anda Tahu

Bermain bola sepak ataupun futsal, prinsip asasnya adalah merujuk kepada perkara asas yang harus ada dala minda anda dalam melakukan sesuatu termasuk pertahanan dalam futsal.

Sebelum ini kami ada menulis Teori Taktikal: 6 Prinsip Asas Bertahan Dalam Bola Sepak yang boleh juga anda aplikasikan di dalam futsal.

Namun kali ini kami kecilkan skop kepada 3 asas utama yang menjadi panduan anda untuk aspek pertahanan dalam futsal. Jika anda ada pasukan futsal komuniti, tak salah anda kongsikan maklumat ini.

1. Melengahkan

Melengahkan gerakan lawan akan membolehkan anda ‘reshape’ dan kembali ke posisi pertahanan terutama sekali ketika anda diserang balas dalam keadaan lawan lebih ramai. Dalam bahasa universalnya, pasukan anda ‘outnumbered’ di belakang.

Apa yang perlu anda lakukan adalah, anda harus mengenakan tekanan yang secukupnya kepada lawan anda secara ruang. Cuba untuk rapati lawan anda jika ada peluang. Namun anda harus berhati-hati dalam merapati mereka.

Ini kerana, mereka boleh menjana kepantasan (generate speed) dengan segera untuk menewaskan anda. Adalah lebih baik anda harus tahu pemain lawan anda itu tipikal penggelecek ataupun jauh lebih teknikal.

Jika ini berlaku, ambil langkah selamat dengan menutup garisan hantaran ataupun prinsip, kawal di garisan ‘near post’.

Dalam artikel Taktikal Futsal: Bagaimana Cara Meneutralkan Ancaman Lawan Ke ‘Zon Selamat’, kami ada menjelaskan cara untuk melengahkan serangan lawan dengan menolak mereka ke zon neutral.

Ini adalah rajah yang anda boleh cuba ingat dan visualkan.

Ini adalah contoh bagaimana mereka menolak ancaman ke zon neutral dengan motif melengahkan ancaman daripada masuk ke zon bahaya dengan cepat.

Lihat contoh di bawah ini, apabila anda menjadi pertahanan terakhir mematikan serangan dan menunggu pasukan untuk ‘reshape’, apa yang akan anda lakukan.

Anda boleh pilih opsyen A jika anda benar-benar yakin dapat mematikan ancaman segera. Namun risikonya sangat tinggi, anda akan ditewaskan dengan skil (outplayed).

Adalah lebih baik anda memikirkan asas bertahan yang baik secara berpasukan berbanding dengan permainan terlalu teknikal. Namun kami tak kata ia tak boleh, cuma anda perlu pastikan ‘kerja’ anda bersih atau jadi macam ini.

2. ‘Depth’

Depth adalah merujuk kepada sokongan ataupun lapisan. Apa yang anda perlu lakukan adalah buat sokongan kepada rakan-rakan. Anda kan selalu jerit”

‘Support la, support!’

Inilah konsep yang anda harus beritahu kepada rakan anda yang tak faham maksud support yang anda jeritkan.

Apabila rakan anda pergi merapati pemain lain, anda harus sedia untuk menyokong beliau daripada belakang.

‘Depth’ ini dapat diwujudkan dengan ‘covering’. Mengawal kawasan penting untuk bertahan iaitu di tengah. Dalam bola sepak padang, anda akan pastikan 4 pemain pertahanan dan pemain tengah membentuk unit kompak.

Dalam futsal aspek yang sama anda lakukan walau apa jua formasi bertahan anda.

Seterusnya, setiap pemain harus ada kemampuan untuk menukar posisi dan peranan ketika bertahan. Pemain serangan harus boleh bermain fixo. Fixo adalah istilah untuk bek paling bawah ataupun center back.

Selain itu, setiap pemain harus faham konsep berada di belakang bola ketika bertahan. Dalam permainan futsal, tiada sistem penyerang menunggu di atas ketika bertahan.

Berbeza dengan sistem bola sepak yang ada 9 pemain di belakang bola dan 1 pemain di atas bola untuk menunggu serangan balas. Jadi, bertaha turun sebagai unit berempat dan menyerang sebagai unit berempat.

Jika ada pemain yang malas untuk turun di belakang bola, anda akan memberikan kelebihan kepada pemain lawan membentuk 4 vs 3 dengan terlalu mudah. 2 vs 1 akan ada di mana-mana, bahkan 3 vs 1 sekalipun.

Jadi, anda harus kurangkan terlalu banyak permainan yang memihak kepada pasukan lawan secara kuantiti pemain.

Jika anda pasukan yang sangat ofensif dan ada pasukan yang baik, anda dengar kenyataan di atas dengan senyuman untuk berhadapan dengan pasukan yang hanya bertahan dengan 3 pemain.

3. Konsentrasi

Konsentrasi adalah terjemahan langsung daripada concentration. Anda jangan risau perkataan ini sudah ada dalam daftar DBP.

Konsentrasi ini memang penting dalam bertahan. Anda harus fahami corak permainan lawan anda. Apa yang mereka mahu lakukan.

Kalau boleh, anda harus ada kecerdasan membaca ruang mana yang lawan anda mahu gunakan secara dominan. Selepas itu, fokus untuk hapuskan aktiviti mereka di situ. Dalam bahasa universalnya, destroying.

Konsentrasi penuh ini penting dilakukan dalam berpasukan. Antaranya, semua pemain secara unit bergerak ke arah bola.

Seterusnya adalah, pemain perlu cepat bertindak ke atas serangan lawan terutama sekali pada fasa hilang bola dan pemain lawan dalam fasa serangan balas.

Konsentrasi ini akan membolehkan pemain untuk membentuk formasi pertahanan dengan segera. Melakukan larian pemulihan (recovery) yang berkesan.

Jadi, aspek antisipasi (anticipation) juga sangat penting. Anda selalu mendengar jurulatih menyebut perkataan ini bukan? Ini adalah daftar kata antisipasi daripada DBP.

Jadi, anda sudah boleh membayangkan apa yang pemain lawan cuba lakukan. Ini untuk membolehkan anda bertindak lebih awal dengan meletakkan diri anda pada posisi terbaik ketika bertahan.

Rumusan

Dalam bertahan, anda harus faham prinsip asas untuk menjadi panduan anda dalam mengembangkan taktik anda kepada sesuatu yang lebih kompleks.

Sentiasa bertahan dalam unit berempat, jangan malas. Ini futsal permainan di dalam gelanggang kecil dan permainan yang sangat teknikal.

Kami berharap artikel ini akan dapat membantu anda dalam memahami konsep asas bertahan dalam futsal.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN