3 Perkara Yang Perlu Diselesaikan Ab Ghani Selepas Dipilih Presiden MFL Yang Baharu

Ab Ghani Hassan MFL

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah mengumumkan pelantikan Dato’ Ab Ghani Hassan sabagai Presiden MFL yang baharu bagi menggantikan Datuk Hamidin Mohd Amin.

Ab Ghani sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) dan beliau dipilih hasil dari persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL yang bersemesyuarat pada Isnin.

Pemilihan beliau dibuat berdasarkan pengalaman luasnya dalam pengurusan bola sepak di samping cukup arif dengan pengurusan Liga Malaysia.

Justeru itu, Semuanya BOLA berikut menyenaraikan tiga perkara utama yang diharapkan dapat diselesaikan oleh Ab Ghani selepas menggalas tanggungjawab untuk meningkatkan lagi kualiti dan prestij Liga-M di mata dunia.

Mengemaskini laman web dan aplikasi Liga Malaysia

Ini mungkin perkara asas yang agak menyedihkan buat Liga-M yang dicanang sebagai sebuah ‘liga profesional’. Jika dilihat kepada laman web rasmi MFL ketika ini, maklumat yang boleh diakses terlalu terhad,

Ianya jelas tidak membantu peminat untuk mendapatkan maklumat-maklumat tambahan. Apa yang ada cumalah jadual dan keputusan perlawanan secara umum tanpa perincian mengenai statistik perlawanan, penjaring gol, penyumbang bantuan jaringan dan sebagainya.

Bagi pengamal media, maklumat-maklumat yang disebutkan di atas amat diperlukan untuk menulis atau mengulas secara ilmiah agar artikel yang disajikan kepada peminat bola sepak Malaysia kaya dengan fakta serta statistik yang ‘enak’ dibaca.

Selain itu, aplikasi Shoot yang telah dilancarkan pada bulan Februari lalu juga perlu diperkemaskan lagi terutamanya melibatkan maklumat dan statistik perlawanan. Berita-berita yang disajikan juga agak terhad untuk dinikmati oleh penggunanya.

Untuk meningkatkan lagi hubungan dengan peminat, disarankan agar pihak MFL membuat kerjasama dengan beberapa pihak seperti ligakita.my untuk melaksanakan liga fantasi yang cukup popular ketika ini di seluruh dunia dan diselaraskan dengan aplikasi Shoot tersebut.

Liga fantasi ini jelas membuatkan peminat dapat mengenali pemain-pemain Liga-M dengan lebih rapat merentasi pasukan yang disokongnya sahaja. Ini kerana mereka perlu memilih pemain-pemain terbaik dari beberapa pasukan berbeza untuk mendapatkan kutipan mata yang tinggi.

Jika perkara-perkara yang disebutkan di atas ini dapat diselesaikan, ia sudah pasti dapat meningkatkan lagi nilai pasaran Liga-M, sekaligus menarik minat pelbagai pihak untuk membuat pelaburan selepas melihat potensi besar yang ada pada industri bola sepak negara kita.

Memperketatkan peraturan kewangan kelab

Isu gaji atau hutang tertunggak telah dianggap begitu sinonim dengan senario bola sepak Malaysia. Sabah tahun kita akan disajikan dengan masalah sama yang berulang-ulang tanpa kesudahan.

Walaupun MFL dikatakan telah memperkenalkan Peraturan Kawalan Ekonomi (ECP) yang mengambil model dari La Liga, iaitu salah satu liga terbaik di dunia, namun ianya masih belum dapat untuk mengekang masalah yang berlaku.

ECP ini dikatakan menjadi indikator penting untuk sesebuah pasukan diluluskan permohonan pelesenan kelab setiap musim.

Secara ringkasnya, peraturan ini menghalang pasukan bertanding dari berbelanja melebihi pendapatan yang diperolehi hasil dari penajaan, keuntungan perniagaan, pemasaran, pelaburan serta struktur pembayaran hutang.

Malangnya apa yang berlaku ketika ini adalah sebaliknya. Musim ini terdapat beberapa pasukan yang dilaporkan masih terpalit dengan isu sama iaitu kegagalan menyelesaikan pembayaran gaji.

Melaka United telah pun dikenakan hukuman penolakan tiga mata Liga Super oleh Badan Pelesenan Kelab (FIB) susulan kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan.

Melaka United: Contoh Budaya Biar Papa Asal Bergaya Dalam Liga Malaysia

Ia disusuli oleh kemelut yang melanda Perak sehingga berlakunya isu boikot sesi latihan oleh pemain yang disusuli oleh penghijrahan beberapa pemainnya.

Apa yang menghairankan adalah tindakan pihak pengurusan Perak yang ‘berupaya’ untuk mengambil pemain-pemain import baharu.

Kemudian timbul pula ura-ura mengatakan gaji pemain import baharu tidak dijelaskan sehingga ada di antara mereka yang enggan bermain.

Ia menimbulkan persoalan bagaimana pihak MFL boleh meluluskan pendaftaran pemain-pemain baharu ini tanpa meneliti kemampuan atau kekuatan kewangan pasukan tersebut untuk menjelaskan hutang sedia ada dan membayar gaji pemain sehingga penghujung musim.

Perak Sangkut Gaji Lagi Sehingga Pemain Import Baru Enggan Main?

Keadaan ini menggambarkan kurangnya ketegasan dari pihak MFL dalam menentukan had gaji siling bagi sesebuah pasukan berdasarkan pendapatan mereka.

Permudahkan SOP Covid-19

Nasib yang menimpa Kedah dan beberapa pasukan lain yang diwajibkan menjalani kuarantin selepas terdapat pemain yang didapati positif Covid-19 telah menyebabkan berlaku sedikit ‘huru-hara’ dalam jadual Liga-M.

Ia selepas permohonan MFL kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar hanya pegawai dan pemain positif COVID-19 sahaja yang dikuarantin telah ditolak atas alasan keselamatan.

Namun diharapkan MFL dapat sekali lagi memohon agar langkah itu dapat dilaksanakan dengan mengambil kira keberkesanan kaedah yang dibuat oleh kebanyakan liga luar negara.

MKN, KKM Diharap ‘Buka Mata’ Keberkesanan Kaedah Kuarantin Liga Luar Negara

Ia sekaligus dapat memastikan perlawanan dapat berlangsung seperti dirancang serta tidak menjejaskan perancangan pasukan.

Prosedur opertasi standard (SOP) gelembung sukan boleh diperbaiki dari masa ke semasa berdasarkan kajian yang dilakukan demi memastikan keselamatan semua pihak terjamin.

Dengan peratusan jumlah rakyat Malaysia yang sudah lengkap menerima vaksin sudah semakin tinggi, MKN dan KKM seharusnya melihat kejayaan negara-negara lain terutamanya di Eropah yang sudah kembali memulihkan industri bola sepak di negara mereka.

Lihat sahaja kemeriahan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menyaksikan penyokong-penyokong setia mereka sudah kembali memenuhi stadium dan ia jelas dapat membantu pasukan menjana pendapatan tambahan hasil dari jualan tiket.

Penutup

Tugas baharu yang dipikul oleh Ab Ghani ini seharusnya tidak diambil mudah kerana setiap amanah yang dipertanggungjawabkan kepada setiap pemimpin itu akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Islam sendiri telah menggariskan dua perkara utama yang perlu ada kepada setiap pemimpin menerusi surah al-Qasas ayat 26 yang bermaksud, “sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”.

Kuat memberi maksud yang besar yang boleh membawa kepada huraian seperti sihat fizikal serta mental, berkebolehan, berkemampuan, bijak dan berani membuat keputusan.

Amanah pula adalah mengenai etika dan integriti dalam menjalankan tanggungjawab yang diberikan, bersikap adil dan tidak menggunakan kedudukan untuk kepentingan diri sendiri.

Akhir kata, dari pihak Semuanya BOLA kami mengucapkan tahniah kepada Dato’ Ab Ghani Hassan. Semoga dapat menggalas tugasan ini dengan sebaiknya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN