Quantcast

BERITA

Rakan Kongsi Sambut Baik Dato’ Ab Ghani Hassan Sebagai Pemangku CEO MFL

Beberapa rakan kongsi Liga Malaysia menyokong pelantikan Dato’ Ab Ghani Hassan selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL) yang disifatkan orang yang tepat dalam memacu badan pentadbir Liga Malaysia pada masa akan datang.

Antaranya Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah(KFA), Shahrul Samsudin, yang menyambut positif kehadiran Ghani dan mengakui banyak cabaran sedang menanti jika dilihat pada situasi mutakhir MFL masa kini.

Bagaimanapun, beliau optimis di atas pengalaman dan kewibawaan yang dimiliki Ghani, MFL mampu menjaga kepentingan semua rakan kongsi liga bagi menghadapi musim 2020.

“Di pihak KFA, kami terima dengan baik pelantikan beliau (Ghani) selaku pemangku untuk melicinkan segala hal ehwal pentadbiran MFL.

“Ada beberapa perkara antara MFL dan rakan kongsi liga saya harap mampu capai kata putus terutama pengumuman kalendar musim 2020 dan isu hak penyiaran.

“Bagaimanapun, KFA meletakkan harapan tinggi kepada Dato’ Ab Ghani mampu melihat perkara-perkara begini dan boleh selesaikan dalam masa terdekat, demi kepentingan semua rakan kongsi liga, ” katanya.

Kevin Ramalingam sah letak jawatan sebagai CEO Malaysian Football League.

Posted by Semuanya BOLA on Friday, November 29, 2019

MFL pada Sabtu mengumumkan peletakan jawatan Kevin Ramalingam selaku CEO yang berkuatkuasa pada Jumaat, 29 November 2019.

Kputusan itu dibuat menerusi persetujuan bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah selepas menerima permohonan peletakan jawatan Kevin pada Khamis, 28 November 2019.

Bagi melancarkan pentadbiran badan pentadbir Liga Malaysia itu, Presiden MFL, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin telah melantik Ahli Lembaga Pengarah, Ghani sebagai pemangku CEO berkuatkuasa pada 1 Disember ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman, melihat perspektif pelantikan Ghani sebagai pemudahcara kepada jalinan MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam aspek bola sepak Malaysia secara keseluruhan.

” Felda United melihat pemangku CEO MFL yang juga adalah Naib Presiden FAM akan memudahkan semua perkara-perkara berkaitan bola sepak boleh diselaraskan dan memacu MFL kearah lebih sistematik tanpa ada masalah-masalah besar.

“Harapan kami agar dengan pelantikan pemangku CEO MFL ini, MFL lebih proaktif serta dapat membantu semua kelab-kelan dalam memastikan liga malaysia terus berdaya saing dan lebih profesional.

“Felda United akan terus bekerjasama dan menjalinkan hubungan yang baik dengan MFL demi kelangsungan bolasepak negara,” katanya.