Analisis: 1.6 Juta Penyokong Turun Stadium Saksikan Liga Malaysia 2019

Seramai 1,608,490 penyokong bola sepak di seluruh negara dianggarkan turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Malaysia pada musim 2019.

Jumlah tersebut merangkumi pertandingan Liga Super, Liga Premier, Piala FA, Piala Malaysia dan juga Piala Cabaran.

Ia membabitkan 132 perlawanan Liga Super, 110 perlawanan Liga Premier, 61 perlawanan Piala Malaysia, 46 perlawanan Piala FA, dan 24 perlawanan Piala Cabaran yang berlangsung sepanjang musim.

Ini bermakna Malaysian Football League (MFL) selaku badan pentadbir pertandingan telah mengadakan 373 perlawanan sepanjang musim ini dengan purata kehadiran 4,312 penyokong di stadium pada setiap perlawanan.

Piala Malaysia paling popular

Liga Super adalah pertandingan yang berjaya menarik paling ramai penyokong di dalam saingan Liga Malaysia pada musim ini dengan jumlah 730,036 penyokong direkodkan.

Ia merangkumi 46% daripada jumlah keseluruhan penyokong yang turun ke stadium sepanjang musim 2019.

Bagaimanapun, jika purata kehadiran diambil kira, pertandingan Piala Malaysia kekal sebagai pertandingan paling popular dengan purata kehadiran tertinggi 7,746 kehadiran untuk setiap perlawanan, berbanding 5,531 kehadiran untuk perlawanan Liga Super.

Beberapa faktor utama menyumbang kepada kehadiran penyokong yang tinggi bagi pertandingan Piala Malaysia. Antaranya ialah populariti pertandingan tersebut sebegai pertandingan tertua di negara ini.

Hakikat bahawa ia adalah pertandingan terakhir setiap musim, menjadikan Piala Malaysia sebagai trofi terakhir untuk diraih oleh setiap pasukan bertanding juga merupakan salah satu faktor sambutan di kalangan penyokong bola sepak tempatan turut terarah kepada pertandingan ini.

Format pertandingan secara kalah mati, turut memberikan keterujaan tambahan kepada penonton yang hadir ke stadium, selain faktor lain seperti adanya perlawanan akhir yang sentiasa menjadi tumpuan penyokong untuk hadir ke stadium.

JDT pasukan paling popular

Daripada statistik yang dikumpulkan ini, kita boleh simpulkan juga juara Liga Super dan Piala Malaysia musim 2019, JDT adalah kelab bola sepak paling popular di negara ini.

Musim 2019 menjadikan JDT sebagai kelab yang memiliki kehadiran tertinggi buat lima musim berturut-turut di saingan Liga Malaysia.

Bagi musim 2019, JDT merekodkan 131,590 kehadiran penyokong di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin – merangkumi 18% kehadiran penyokong di Liga Malaysia pada musim ini.

KEHADIRAN PENYOKONG JDT DI LARKIN PAMER PENINGKATAN

Artikel SemuanyaBola ini mengetengahkan tentang jumlah kehadiran…

Posted by JOHOR Southern Tigers on Monday, August 26, 2019

Kehadiran teramai di Larkin sendiri ialah seramai 22,150 penyokong dalam perlawanan pembuka tirai Piala Sumbangsih menentang Perak.

Beberapa perlawanan membabitkan perlawanan menentang JDT juga menjadi rekod kehadiran teramai di gelanggang lawan.

Antaranya; 21,616 penyokong direkodkan dalam perlawanan diantara Selangor vs JDT di Shah Alam; 25,355 kehadiran ketika JDT berkunjung ke Stadium Darul Aman untuk berhadapan Kedah; dan 4,351 kehadiran dalam perlawanan membabitkan PKNP FC vs JDT di Stadium Manjung.

Perlawanan terhangat

Selain daripada perlawanan Kedah vs JDT (25,355); JDT vs Perak (22,150); Selangor vs JDT (21,616), perlawanan derbi Pantai Timur membabitkan Pahang vs Terengganu FC di Stadium Darul Makmur telah merekodkan kehadiran paling tinggi musim ini berjumlah 28,000 penyokong.

Derbi utara membabitkan perlawanan diantara Perak vs Kedah di Stadium Ipoh turut berjaya menarik tidak kurang dari 27,000 kehadiran.

Foto: JST

Statistik dan data sebegini sebenarnya menjelaskan saingan bola sepak domestik di dalam negara mempunyai keupayaan pemasaran sekiranya diurus dan dipromosikan dengan betul.

Perlawanan-perlawanan hangat sebegini seharusnya diangkat sebagai produk utama Liga Malaysia setanding El Clasico, North-West Derby di antara Manchester United dan Liverpool, atau pun Derby della Capitale diantara Roma dan Lazio di Itali.

Liga Premier

Liga Premier pada musim ini turut mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Pada penghujung musim misalnya, persaingan untuk merebut slot ke Liga Super menjadi perhatian. Rata-rata pasukan negeri juga tidak mempunyai masalah ketara dari segi kehadiran.

Juara Liga Premier 2019, Sabah misalnya merekodkan 28,918 kehadiran sepanjang musim. Negeri Sembilan yang mengakhiri saingan di tangga ke-6 turut merekodkan kedatangan seramai 23,893 penyokong sepanjang musim.

Pulau Pinang

Pulau Pinang merekodkan kehadiran tertinggi pada musim ini dengan 29,089 kehadiran. Kelantan yang bergelut di zon penyingkiran sepanjang musim juga tidak jauh di belakang dengan jumlah 28,973 kehadiran sepanjang musim.

Hanya Sarawak yang merekodkan kehadiran yang dianggap amat rendah bagi sebuah pasukan negeri berstatus profesional, dengan jumlah 8,673 kehadiran sepanjang musim – sedikit lebih baik dariapda UKM FC dengan 6,616 kehadiran pada musim ini.

Isu berbangkit

Statistik ini juga mengunjurkan penurunan ketara kehadiran penyokong setiap pasukan selepas Minggu ke-7 saingan Liga Super.

Rata-rata pasukan bertanding menunjukkan jumlah kehadiran memberangsangkan pada awal musim, sebelum ianya terus merosot.

KETIDAKHADIRAN PENYOKONG BOLEH MERENCATKAN PEMBANGUNAN JDT

Kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh Kelab Bolasepak…

Posted by JOHOR Southern Tigers on Friday, August 2, 2019

Trend ini dipercayai berkait rapat dengan prestasi semasa pasukan, selain sebab-sebab lain seperti hari perlawanan di minggu bekerja (Jumaat atau Ahad mengikut negeri).

Namun perkara terpenting ialah adakah langkah bersesuaian telah diambil oleh setiap pasukan bertanding untuk memastikan penyokong terus tertarik untuk menghadirkan diri ke stadium demi pasukan?

Rumusan

Secara keseluruhan, jumlah kehadiran penyokong di Liga Malaysia masih lagi boleh dianggap positif.

Sebagai perbandingan, Liga Thailand merekodkan 1,367,681 kehadiran di saingan utama mereka. Liga Super pula merekodkan 730,036 kehadiran keseluruhan.

Dari segi purata, Liga Thai 1 (240 pertandingan) merekodkan 5,699 kehadiran, manakala Liga Super pula sedikit ketinggalan dengan 5,531.

MFL melalui NEXT 50 pula mensasarkan kehadiran 2 juta penyokong ke stadium dalam semua pertandingan Liga Malaysia. Musim 2019, kita sudah mencapai angka 1.6 juta.

Apa yang penting MFL dan setiap pemegang taruh bijak untuk terus mencari cara memasarkan pertandingan Liga Malaysia di kalangan penyokong dan juga penaja pada masa hadapan.

Jika ini boleh dilakukan dengan betul, tidak mustahil Liga Malaysia akan tampil lebih meriah pada musim hadapan.

 

Nota Editor: Artikel ini ditulis berdasarkan statistik yang dikongsikan oleh @juanbudiman di Twitter. Ikuti akaun Twitter beliau untuk perkembangan bola sepak tempatan dan semasa.

 

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN