Uche Agba dilaporkan tidak akan kekal bersama PDRM untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim hadapan dengan beberapa kelab dalam dan luar negara berminat untuk mendapatkannya.
Laporan tersebut dikeluarkan sendiri menerusi wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi menerusi media sosial X tentang status Agba untuk saingan hadapan.
Musim ini boleh dikatakan Agba berada pada prestasi yang cukup positif buat PDRM, selepas beliau membantu pasukan tersebut menjuarai Piala Cabaran MFL untuk edisi 2023 dengan begitu cemerlang.
Malah, penyerang dari Nigeria itu juga turut muncul selaku penjaring terbanyak kejohanan tersebut selepas beliau meledak lima gol secara keseluruhn untuk mengetepikan pencabar terdekat, Abu Kamara.
Selain itu, Agba turut membantu The Cops untuk menamatkan cabaran Liga Super pada musim ini di tangga kelapan musim ini selepas beliau turut meledak lima gol secara keseluruhan bersama empat bantuan jaringan.
Tampil dengan prestasi cukup menyakinkan bersama PDRM, maka tidak hairan beberapa kelab kini berminat untuk mendapatkan khidmat beliau untuk saingan musim hadapan.
Jika dilihat pada situasi kini tiga kelab dalam saingan Liga M, berpotensi untuk cuba merisik khidmat Agba pada saingan hadapan bagi memperkukuhkan aspek serangan.
Sri Pahang
Sri Pahang menjadi antara pasukan yang cukup bermasalah sebenarnya musim ini di posisi serangan, walaupun mereka mempunyai tiga penyerang import untuk saingan musim 2023.
Lucas da Silva dan Rafael Silva boleh dianggap gagal untuk memberikan impak terbaik pada musim ini menerusi sumbangan jaringan mereka walaupun memiliki reputasi cukup besar.
Kehadiran Agba dianggap mampu menyelesaikan masalah skuad kendalian Fandi Ahmad dengan pengalaman dimiliki Agba berpotensi untuk diintai pasukan tersebut musim hadapan.
Kedah Darul Aman
Walaupun Ifedayo Olusegun tampil dengan begitu tajam pada separuh musim saingan Liga M musim ini, kelibat penyerang itu tidak lagi akan kelihatan untuk tahun hadapan bersama Kedah.
Malah, Sang Kenari juga dilaporkan masih lagi tidak menyambung kontrak baharu penyerang import mereka lain musim ini iaitu Jonathan Balotelli dan Ebenezer Assifuah.
Walaupun tidak mempunyai perkaitan ketika ini bersama Agba, berdasarkan reputasi tinggi dimiliki penyerang tersebut sudah tentu nama pemain itu turut berada bawah pemantauan pasukan Sang Kenari.
Perak
Kembali dalam saingan Liga Super musim ini, prestasi Perak sebenarnya boleh dianggap sangat baik terutama sekali bawah kendalian Yusri Che Lah walaupun rata-rata dibarisi pemain muda.
Walaupun begitu, aspek ketajaman pasukan tersebut jelas masih belum memuaskan terutama sekali membabitkan gandingan antara Luka Milunovic serta Seo Seonung.
Kehadiran Agba dianggap sebagai sesuatu yang positif terutama daripada segi aspek pengalaman beliau untuk memberi panduan terbaik buat para pemain muda pasukan tersebut.