Saingan Liga Super musim 2024/2025 diteruskan pada hari ini dengan membabitkan satu sahaja perlawanan antara Kelantan Darul Naim (KDN) bertemu Sabah di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.
Untuk rekod, kedua pasukan tersebut gagal memperoleh tiga mata pada aksi sulung mereka dengan KDN mencatat kekalahan tipis 0-1 kepada Sri Pahang di gelanggang lawan.
Manakala, Sabah pula sekadar mencipta keputusan seri tanpa sebarang jaringan terhasil sewaktu berdepan Penang di Likas bersama aksi kurang menyakinkan.
Pastinya perlawanan ini kedua pasukan tersebut ingin menoktahkan kepada kemenangan sekali gus meraih tiga mata sulung penting pertama buat mereka musim ini.
Musim lalu menyaksikan Sabah berjaya meraih dua kemenangan baik di laman sendiri atau di gelanggang lawan dengan lima gol dihasilkan oleh skuad Datuk Ong Kim Swee berbanding KDN yang tiada sebarang jaringan dicipta.
Untuk aksi malam ini, pastinya sesuatu berbeza akan terhasil dengan kedua pasukan sudah pun membuat rombakan tersendiri untuk mendapatkan tiga mata penting.
Berikut merupakan tiga pemain tumpuan dijangka bakal menghadirkan keputusan positif buat pasukan masing-masing.
Oday Kharoub (Kelantan Darul Naim)
Seperti dijangka, Oday berjaya mempamerkan aksi cukup berkualiti pada aksi pertama membabitkan KDN dan Sri Pahang beberapa hari lalu di Stadium Mini Temerloh.
Selaku perancang utama, pemain kelahiran Palestin ini menjalankan tugas dengan sangat baik apabila beliau turut mengawal tempo permainan pasukan dengan bagus.
Kualiti beliau daripada segi visi, kawalan bola, serta ketepatan hantaran bakal menjadi pertaruhan penting Park Jaehong untuk menghadapi Sabah.
Saddil Ramdani (Sabah)
Pemain sayap kebangsaan Indonesia ini sudah tidak perlu dipertikaikan lagi kualiti beliau di atas padang jika dirinya tidak menghadapi sebarang isu kecederaan.
Pada aksi lalu ketika bertemu Penang, Saddil menjadi watak penting untuk mengkucar kacirkan pertahanan lawan menerusi kualiti permainan dimilikinya.
Selain lincah mengawal bola, Saddil juga memiliki ketajaman yang cukup baik untuk menghasilkan gol daripada pelbagai sudut termasuk pakar dalam sepakan percuma.
Stuart Wilkin (Sabah)
Bintang Harimau Malaya ini menjadi nadi utama buat Sabah terutama sekali ketika mereka berada dalam situasi mencipta serangan.
Wilkin boleh dianggap antara pemain perlu diberi perhatian pada aksi ini kerana kemampuan beliau untuk melepaskan sepakan tepat dari jarak jauh.
Daripada segi kreativiti, pemain ini mempunyai keupayaan tinggi membuat umpanan daripada pelbagai sudut untuk mendapatkan rakan-rakan penyerang lain.