Minggu lepas, Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) menghantar delegasi seramai 20 pegawai ke Australia, bagi mempelajari struktur kelab A-League, Perth Glory.
Difahamkan mereka mahu belajar tentang struktur kelab, visi dan misi serta perancangan kelab dalam tempoh 4 tahun yang akan datang.
Namun begitu, pemergian pegawai KLFA ke sana telah mengundang kritikan pedas daripada salah seorang penyokong setia Kuala Lumpur.
Bercakap kepada Harian Metro, Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa, menjelaskan kunjungan empat hari itu mendatangkan manfaat yang besar kepada semua pegawai terbabit bagi menguruskan sebuah kelab profesional.
“KL baru dinaikkan pangkat ke saingan Liga Super dan kami mahu melakukan semua perkara dengan betul. Antara yang menjadi tumpuan kami mempelajari operasi komersial.
“Berbanding dengan pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia, KL bukanlah pasukan yang besar. Jadi, saya tidak lihat mengapa tidak perlu ke sana untuk mempelajari sesuatu bagi melakukan kerja dengan betul,” katanya kepada Harian Metro.
Delegasi berkenaan diketuai Presiden KLFA, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan yang turut menyaksikan perlawanan antara Perth Glory dengan Melbourne Victory, Ahad lalu.
Mereka juga sempat berjumpa dengan salah seorang rakyat Malaysia yang bekerja di bahagian jualan dan marketing kelab Perth Glory FC iaitu Encik Ghaz Ramli.
Nokman berkata, barisan pegawai pasukan turut kagum dengan kemudahan yang terdapat di stadium Perth termasuk aktiviti pra perlawanan yang dilakukan bagi menarik kehadiran penonton.
“Disebabkan kami akan bermain dalam saingan Liga Super tahun depan, kami perlu mencari jalan untuk menarik kehadiran penonton. Perth menganjurkan perlawanan membabitkan wanita sebelum sepak mula dan aktiviti lain yang boleh disertai peminat.
“Cara kerja penganjuran mereka sesuatu yang kita boleh ambil manakala hubungan mereka dengan kerajaan juga sesuatu yang mengejutkan kami,” katanya.
Menurutnya, pegawai Perth Glory turut dijemput untuk melakukan kunjungan ke Kuala Lumpur bagi membincangkan cara untuk meningkatkan operasi KLFA.
“Kami mahu melaksanakan struktur penjualan tiket yang berkesan termasuk pas bermusim. Kami tidak mempunyai pengalaman dalam hal ini dan sebab itu kami perlukan bantuan,” kata Nokman.