Isu Perlesenan Kelab: Bagaimana Ia Dilaksanakan Dalam Bola Sepak Eropah?

Isu perlesenan kelab semakin hangat menjadi sebutan komuniti bola sepak di Malaysia sejak setahun ini. Baru-baru ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), turut memberi bayangan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pasukan untuk memperolehi lesen pertandingan.

Apakah keperluan lesen pertandingan? Adakah ia untuk membenarkan sesebuah pasukan untuk beraksi di kejohanan anjuran AFC semata-mata? Tidak. Anda silap jika anda berfikir sedemikian.

Lesen berkenaan bermakna pengurusan sedia ada mampu untuk mengurus tadbir, mempunyai sumber kewangan yang diperlukan, dan juga berintegriti (tiada penyalahgunaan dana/ meragukan), serta memastikan pemilik lesen memiliki ciri-ciri sesebuah kelab bola sepak profesional (kemudahan, fasiliti, pembangunan).

Dengan kata lain, lesen kelab diibaratkan sebagai kebenaran untuk kelab melakukan operasi yang menjadi ‘benchmarking’ sebuah kelab bola sepak yang profesional.

Agak ironi kerana kita hanya membincangkan perihal lesen selepas lebih 20 tahun industri bola sepak kita mengaku berada dalam kancah pertandingan profesional.

Bagaimana bola sepak eropah mengendalikan isu perlesenan kelab bola sepak mereka? Kami tampilkan 4 contoh kelab bola sepak yang pernah mengalami masalah perlesenan di liga bola sepak eropah untuk anda ikuti.

1. FC Twente (Belanda)

Pada Jun 2016, Persatuan Bola Sepak Diraja Belanda (KNBV) menetapkan FC Twente akan beraksi di Liga Jupiler yang merupakan liga bola sepak divisyen dua di negara berkenaan.

Ini adalah disebabkan jawatankuasa pelesenan KNBV tidak dapat mempebaharui lesen kelab berkenaan untuk beraksi di liga utama setelah audit melaporkan salah laku pengurusan kewangan di dalam kelab berkenaan.

Tindakan KNBV ini mendorong FC Twente membawa kes ini ke mahkamah, namun keputusan mahkamah tetap berpihak kepada KNBV.

(Photo credit should read VINCENT JANNINK/AFP/Getty Images)

Kegagalan memaksa KNBV mengubah keputusan melalui mahkamah menyebabkan FC Twente membuat rayuan kepada badan induk bola sepak Belanda itu, sebelum mereka dibenarkan beraksi di Eredivisie.

Walaupun dibenarkan untuk kekal di Eredivisie pada musim ini, FC Twente telah dikenakan denda sebanyak €181,000 dan diarahkan untuk tampil dengan beberapa bukti kewangan.

FC Twente turut dinberikan amaran keras untuk tidak mengulangi kesilapan dalam urus tadbir kewangan kelab.

2. Servette FC (Switzerland)

Pihak pengurusan liga bola sepak Switzerland pernah menafikan Servette FC, sebuah kelab bola sepak profesional yang berpengkalan di Geneva untuk memiliki lesen pertandingan.

Keputusan penganjur liga bola sepak Swiss itu sekaligus menafikan peluang kelab berkenaan untuk beraksi di divisyen ke-2 pertandingan bola sepak Switzerland selain turut membuatkan Servette FC hampir muflis.

Bagaimanapun keputusan penganjur untuk tidak memberikan lesen pertandingan adalah disebabkan kedudukan kewangan kelab berkenaan yang tidak stabil disebabkan isu keberhutangan yang teruk.

(Photo by Fabrice Coffrini/EuroFootball/Getty Images)

Walaupun Servette FC dibenarkan merayu pada ketika itu, mereka gagal menunjukkan bukti bahawa kelab berkenaan akan mampu menjana dana untuk saingan 2015-16.

Menjelang saingan divisyen 3 Switzerland, kelan berkenaan telah diambil alih sepenuhnya oleh sebuah yayasan yang ditubuhkan khas untuk memperkemaskan pengurusan dan memperkuatkan sumber kewangan kelab.

Mereka menjuarai saingan divisyen 3 pada musim lalu dan kini berada di tangga kedua divisyen ke-2 Switzerland selepas mengahrungi 15 perlawanan.

3. MSV Duisburg (Jerman)

Satu masa dahulu MSV Duisburg pernah muncul naib juara Bundesliga. Pada masa itu kelab ini dikenali sebagai Meidericher SV dan dikendalikan oleh pengurus legenda, Rudi Gutendorf.

Pencapaian pada 1963 itu dianggap yang terbaik dalam sejarah kelab berkenaan yang turut pernah bergelar naib juara Piala Jerman sebanyak 4 kali, dan yang terakhir ialah pada 2011.

Sejak kali terakhir beraksi di divisyen teratas liga Jerman pada musim 2007-2008, kelab yang berpengkalan di Duisburg ini telah tersingkir ke divisyen 2.

(Photo by Friedemann Vogel/Bongarts/Getty Images)

Pada pengujung musim 2012-13, MSV Duisburg disingkirkan ke divisyen ke-3 bola sepak Jerman selepas permohonan untuk mendapatkan lesen kelab dinafikan oleh Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB).

Kelab berkenaan menamatkan saingan Bundesliga 2 di tangga ke-11 pada musim tersebut, namun berputih mata untuk kekal berada di saingan divisyen 2 tersebut.

Penyingkiran MSV Duisburg adalah selepas kelab berkenaan gagal mematuhi peraturan kewangan yang telah ditetapkan oleh DFB, sekaligus menafikan lesen untuk mereka beraksi.

Sebagai penalti, kelab berkenaan disingkirkan satu divisyen pada musim berikutnya. Hari ini MSV Duisburg sudah mulai kembali ke saingan Bundesliga 2 dan menduduki tangga ke-10 selepas 15 perlawanan.

4. TSV 1860 Munich (Jerman)

Daripada tahun 1994 sehingga 2004, TSV 1860 Munich dan juga Bayern Munich akan menghiasi bola sepak Jerman dengan kehangatan ‘Bavarian Derby’.

Kedua-dua kelab berpengkalan di Munich, juga berkongsi Allianz Arena sebagai gelanggang utama pertandingan.

Kemerosotan prestasi pada musim 2003-04 menyaksikan 1860 Munich disingkirkan ke Bundesliga 2. Kelab berkenaan bersaing di dalam divisyen kedua bola sepak Jerman sejak daripada itu sehinggalah ke musim lepas.

(Photo by Adam Pretty/Bongarts/Getty Images)

Setelah menduduki tangga ke-16 dalam Bundesliga 2 pada musim lalu, ini bermakna kelab Bavarian ini akan diturunkan ke divisyen ke-3 bola sepak Jerman, 3.Liga.

Namun 1860 Munich semakin dilanda malang. Kelab Bavarian itu dikatakan enggan menjelaskan beberapa bayaran sekaligus menghalang mereka untuk mendapatkan lesen pertandingan daripada pihak DFB.

Permasalahan yang dihadapi oleh 1860 Munich turut tidak dibantu dengan kemelut dalaman yang dihadapi kelab berkenaan, melibatkan pemilik kelab, Hasan Ismaik dengan pihak-pihak berkepentingan yang lain di dalam kelab.

Akhirnya pada musim ini, 1860 Munich terpaksa beraksi di saingan Divisyen 5 Liga Jerman dan kini dilaporkan bergelut untuk mencari dana demi meneruskan operasi.

Rumusan

Di atas adalah 4 contoh bagaimana liga bola sepak di Eropah mengendalikan kelab-kelab bola sepak yang gagal mematuhi syarat untuk memperolehi lesen untuk bertanding.

Ada banyak lagi kes seumpama di atas berlaku di seluruh dunua. Ada di antara kelab yang mencabar kes ke mahkamah, ada yang tampil dengan yayasan dan ada juga kelab yang langsung gagal bangkit semula.

Tetapi berdasarkan 4 fakta kes di atas, rata-rata kegagalan memperolehi lesen adalah berpunca kepada kegagalan pengurusan kewangan yang betul.

Di Malaysia kita turut sering mendengar pemasalahan dana dan kewangan saban musim. Munkinkah sudah tiba masanya untuk FMLLP dan FAM mulai bertegas untuk menyelesaikan permasalahan ini?

Anda kata anda mahu bola sepak negara maju. Lupakan sebentar pembangunan bakat baru. Apa kata kita mulakan dengan perkara yang paling asas iaitu dengan memiliki pengurusan kelab bola sepak yang benar-benar profesional?

 

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN