Saingan Liga 1 Indonesia kembali bersambung selepas dua bulan lebih terpaksa ditunda kerana untuk memberi laluan buat siasatan isu Tragedi Kanjuruhan yang telah mengorbankan banyak nyawa.
Walaupun saingan kini kembali diteruskan, beberapa peraturan baharu telah dibuat seperti perlawanan diadakan di lokasi tertentu serta tidak boleh mempunyai para penyokong untuk melihat di stadium.
Ketika ini, beberapa perlawanan telah pun berlangsung dan sudah ada kontroversi tersendiri yang memaksa Jawatankuasa Disiplin (Komdis) masuk campur kerana melibatkan para pemain.
Menurut Komdis Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), mereka telah memberi hukuman kepada tonggak utama Borneo FC iaitu Diego Michiels serta penyerang utama Persija Jakarta, Michael Krmencik.
https://twitter.com/broadcastbola/status/1600116030646673409?s=46&t=pFVB_2sYUM42Jv1EsDWflA
Kedua pemain ini diberi hukuman kerana terlibat dalam pergaduhan yang bermula dengan insiden saling meludah antara satu sama lain.
Untuk Diego, pemain tersebut telah pun menerima hukuman untuk digantung lapan perlawanan selain beliau perlu membayar denda sebanyak 10 juta Rupiah (RM2821.85).
“Untuk hukuman, beliau dilarang beraksi dalam lapan perlawanan untuk saingan Liga 1 Indonesia berkuatkuasa kini dan denda sebanyak 10 juta rupiah,” jelas Komdis menerusi CNN Indonesia.
Manakala Krmencik yang beraksi musim pertama beliau dalam saingan Liga Indonesia pula hanya digantung sebanyak enam perlawanan beserta denda sebanyak 10 juta Rupiah.
“Jenis kesalahan yang dibuat, pemain tersebut telah meludah ke arah pihak lawan,” tambah kenyataan itu lagi mengenai denda Krmencik.
Insiden tersebut berlaku pada beberapa hari lalu ketika perlawanan membabitkan antara Persija Jakarta menentang Borneo dan aksi ketika itu juga jelas agak tegang sepanjang 90 minig berlangsung.
Aksi pergaduhan itu mula berlaku pada minit ke-78 dengan kelibat Diego mula meludah ke arah belakang Krmencik sebelum pertengkaran antara mereka berdua berlaku.
Krmencik tidak lama selepas itu kembali membalas tindakan Diego dengan turut meludah kepada pemain tersebut sebelum tonggak pertahanan Borneo FC itu mula bertindak memukulnya.
Hasil pertengkaran kedua pemain itu menyaksikan mereka perlu dileraikan oleh para pemain lain sebelum ianya menjadi lebih teruk dan pengadil perlawanan terpaksa masuk campur bagi menghentikannya.
Disebabkan pergaduhan tersebut, pengadil perlawanan terpaksa melayangkan kad kuning kepada Krmencik serta kad merah terus kepada Diego kerana keganasan yang beliau lakukan.
Diego yang tidak berpuas hati telah meluahkan segalanya selepas perlawanan tamat dan menyatakan Krmencik terlebih dahulu memulakan provokasi kepadanya.
https://twitter.com/broadcastbola/status/1600117853054996481?s=46&t=pFVB_2sYUM42Jv1EsDWflA
“Sejak awal perlawanan berlangsung lagi dia sudah mengeluarkan kata-kata kesat kepada saya dan sudah ada beberapa kali beliau ludah ke arah saya. Dan saya sendiri ingatkan perkara itu kepada rakan sepasukan,” ulas Diego.