ANALISIS: Struktur Serangan Fleksibel Bantu Argentina Benam Belanda

Qatar 2022

Argentina mengesahkan tempat ke pusingan separuh akhir Qatar 2022 apabila berjaya menewaskan Belanda 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi suku akhir di Stadium Lusail.

Argentina terlebih dahulu mendahului permainan menerusi jaringan Nahuel Molina pada minit ke-35, sebelum Lionel Messi menggandakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-73.

Jurulatih Belanda, Louis van Gaal melakukan perubahan taktikal dengan mengubah bentuk pasukan mereka daripada sistem 3-5-2, kepada 4-4-2, dengan memasukkan dua pemain yang memainkan peranan ‘target man’, iaitu Luuk de Jong serta Wout Weghorst.

Mereka juga turut ‘mencampakkan’ falsafah permainan mereka yang gemar bermain secara ‘possession-based’ dengan menggunakan pendekatan lebih ‘direct’ menerusi hantaran-hantaran jauh bagi mencari pemain ‘target man’ yang akan mengunci pemain pertahanan Argentina dengan kelebihan fizikal yang dimiliki mereka.

Pendekatan ini mencetuskan kebangkitan luar biasa pasukan Belanda apabila mereka berjaya bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat permainan sehingga terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti.

Dalam analisis kali ini, kami akan menggariskan beberapa kunci taktikal serangan yang dilaksanakan Argentina bagi membolehkan mereka mencipta gerakan serangan yang membawa kepada peluang jaringan gol untuk mengetepikan cabaran pasukan gergasi Eropah tersebut.

Ia juga menyalakan impian Lionel Messi untuk mengikuti jejak langkah Diego Maradona menjulang kejuaraan Piala Dunia bagi mengukuhkan lagi status beliau selaku salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman.

Formasi yang fleksibel

Argentina mempamerkan variasi dalam aspek formasi yang digunakan mereka untuk memulakan perlawanan dalam kempen Piala Dunia mereka kali ini.

Sebelum aksi menentang Belanda, mereka telah menggunakan sistem 4-4-2 sebanyak 50% (ketika menentang Arab Saudi dan Mexico), dan selebihnya, mereka menggunakan sistem 4-3-3 (ketika menentang Poland dan Australia) untuk mara ke pusingan suku akhir Qatar 2022.

Bagi menghadapi Belanda yang menggunakan sistem 3-5-2 sepanjang kempen Piala Dunia mereka kali ini, Argentina mempamerkan unsur kejutan apabila menggunakan sistem yang sama untuk memulakan aksi suku akhir ini.

Pendekatan ini diambil adalah bertujuan untuk membolehkan pemain-pemain Argentina untuk melakukan tugasan ‘direct markings’ dengan lebih mudah dan berkesan.

Menerusi gambar di atas, ketika Virgil van Dijk memiliki penguasaan bola, setiap pemain Argentina dapat melaksanakan tugasan ‘markings’ mereka dengan mudah dan berkesan bagi mengganggu gerakan serangan yang cuba dibina Belanda.

Sistem ‘Back 3’ ini juga turut membolehkan pasukan Argentina untuk memiliki ‘spare man’ di bahagian pertahanan mereka, iaitu Nicolas Otamendi yang boleh melakukan tugasan ‘sweeper’ untuk menghentikan serta mengeluarkan bola daripada kawasan merbahaya.

Struktur serangan yang tidak ‘rigid’ 

Argentina turut mempamerkan variasi dalam aspek struktur serangan mereka. Meskipun bermula dengan sistem ‘back 3’, namun setiap kali memperoleh penguasaan bola, terdapat perubahan dalam aspek kedudukan pemain yang mengubah struktur serangan Argentina secara ‘total’.

Sergio Romero, pemain yang bermain di posisi ‘right-sided centre-backs’ akan berada di posisi yang selalu diisi oleh pemain yang memainkan peranan sebagai ‘fullbacks’ pasukan, bagi menolak pemain ‘wing backs’ pasukan, iaitu Molina untuk berada di kedudukan yang lebih tinggi untuk menyertai unit serangan pasukan.

Ketika organisasi serangan ini disusun, struktur pasukan Argentina kini berubah daripada 1-3-5-2, kepada 1-4-3-3 yang lebih bercirikan elemen ‘offensive’.

Pemain-pemain mereka juga kerap melakukan perubahan posisi sesama mereka bagi mencipta ruang, serta membebaskan rakan sepasukan mereka daripada kawalan pemain lawan.

Kunci kepada keberkesanan organisasi serangan ini dibantu dengan kelicikan pergerakan tanpa bola oleh Messi, dimana pemain ikonik ini gemar untuk keluar dari posisi asalnya untuk mencipta situasi ‘overloading’ di bahagian kanan.

Bagi mengelirukan barisan pertahanan lawan, serta membolehkan pemain Argentina untuk melakukan kombinasi permainan yang membantu mereka melepaskan diri dari cengkaman kawalan pemain lawan, serta membantu pasukan dalam aspek ‘ball progressions’.

Taktikal serangan yang dijelaskan di atas membantu mereka untuk mencipta jaringan pada minit ke-35 permainan.

Ketika memperoleh penguasaan bola, Argentina menyusun serangan mereka dengan struktur 4-3-3. Messi kemudiannya ‘drop deeper’ ke bahagian ‘wide area’ bagi mencipta situasi ‘overloading’ di bahagian tersebut, sambil Rodrigo De Paul turut bergerak ke arah ‘strong side’ bagi menyokong pergerakan bola oleh rakan sepasukannya.

Susunan taktikal ini membolehkan Argentina mencipta sudut sokongan (angle of support) buat rakan sepasukan yang memiliki penguasaan bola.

Messi melakukan hantaran kepada De Paul yang sebelum itu turut bergerak ke bahagian ‘wide area’.

Namun Belanda berjaya melakukan pintasan hantaran bola tersebut.

Bagi membolehkan mereka melancarkan transisi serangan menerusi Memphis Depay yang kerap turun ke bahagian bawah untuk membantu pasukannya dalam aspek ‘ball progressions’

Kualiti hantaran Memphis serta pembacaan permainan yang baik daripada Otamendi membolehkan Argentina memperoleh semula penguasaan bola.

Otamendi melancarkan semula serangan pasukan dengan melakukan hantaran kepada Molina.

Ketika Molina menyerang ruang yang terbuka di hadapannya, Messi melakukan ‘screening’ bagi memeriksa persekitarannya, serta mengenalpasti ruang yang bakal dieksploitasinya.

Molina melakukan larian dengan bola, lalau melakukan hantaran kepada Messi.

Keadaan ini seterusnya mencipta situasi dilema kepada pertahanan Belanda, Nathan Ake dalam memilih pemain mana yang harus dikawalnya.

Kualiti yang dimiliki Messi menjadi penyebab utama buat Ake untuk memberikan tekanan buat pemain itu, sekali gus meninggalkan ruang di bahagian belakangnya.

Molina bijak menghidu peluang dan terus melakukan serangan terhadap bukaan ruang tersebut.

Messi mempamerkan sentuhan magis dengan melakukan lorongan bola berkualiti kepada Molina.

Ia sekali gus membantu Argentina menjaringkan gol pertama mereka di separuh masa pertama.

Argentina dalam momentum terbaik ke perlawanan akhir Piala Dunia 2022

Meskipun mereka memulakan kempen Piala Dunia mereka dengan aksi longlai setelah dikejutkan Arab Saudi 2-1, namun Argentina mempamerkan karektor persis sang juara apabila terus bangkit menewaskan Mexico dan Poland untuk mara ke pusingan 16 pasukan terakhir selaku juara kumpulan C.

Messi mempamerkan sentuhan magis untuk membantu pasukannya membenam Australia di pusingan 16 pasukan terakhir, sebelum sekali lagi cemerlang mengetuai pasukannya menewaskan Belanda untuk bertemu Croatia di pusingan separuh akhir nanti.

Namun mereka perlu memperbaiki beberapa aspek bertahan mereka, terutamanya ketika mempertahankan situasi bola mati pasukan lawan bagi memastikan mereka dapat mengulangi pencapaian mereka yang berjaya layak ke perlawanan akhir Piala Dunia 2014, sebelum dikecewakan Jerman menerusi jaringan Mario Gotze di penghujung permainan,

Namun melihat kepada momentum serta motivasi pasukan Argentina, tidak mustahil mereka akan menjadi calon pilihan menjuarai kejohanan Qatar 2022, sekali gus membawa pulang takhta bola sepak ke bumi Amerika Selatan.

Leave a Reply