2 Kali Benjamin Mora ‘Tweak’ Taktikal Lepas Kad Merah Awal Safiq Rahim

Benjamin Mora taktikal kad merah safiq rahim piala malaysia 2021

Dalam sidang media selepas perlawanan separuh akhir kedua menentang Terengganu FC, Benjamin Mora menjelaskan dua perubahan taktikal yang dilakukannya selepas insiden layangan kad merah Safiq Rahim.

Perlawanan baru berusia 15 minit, pemain tengah, Safiq Rahim mengundang masalah apabila dilayangkan kad merah akibat membuat ‘headbutt’ ke atas pemain Terengganu, Faisal Halim selepas berlaku kekasaran.

Ia berlaku selepas jaringan ketiga Johor Darul Ta’zim (JDT) oleh Bergson da Silva pada minit ke-14. Safiq Rahim melakukan kekasaran ke atas Faisal Halim yang mengundang pemain itu ‘pancing’ mental bekas kapten skuad kebangsaan itu. Faisal Halim diketahui seorang pemain yang suka menyerang mental pemain lawan.

Antara pemain yang pernah ‘dipancingnya’ adalah dua pemain sayap Kedah Darul Aman, Azamuddin Akil dan Syazwan Zainon. Tindakan Faisal Halim lebih kepada kesan serangan beliau sama ada pemain lawan akan termakan dan menyerangnya semula atau ia akan berlalu begitu sahaja. Dan kita tahu siapa Safiq Rahim.

Safiq Rahim adalah seorang yang agresif dan adakala tindakannya di luar rasional. ‘Umpan’ Faisal Halim mengena dan pemain tengah berusia 34 tahun itu memberi respon ‘gila’ dengan membuat ‘headbutt’.

Kad merah di awal permainan menyaksikan Harimau Selatan terpaksa bermain dengan 10 pemain untuk baki 75 minit permainan. Menurut pengendali JDT, Benjamin Mora, Safiq Rahim telah meminta maaf kepada semua rakan-rakan sepasukan ketika di bilik persalinan babak pertama, namun semua pemain memahami situasinya.

Ujar Benjamin Mora di sidang media, “Sebenarnya saya terkejut. Safiq Rahim adalah pemain yang sangat berpengalaman dan juga lagenda di Malaysia. Dia teruja dan bermotivasi untuk turun bermain malam ini.”

“Saya tidak tahu, mungkin dia hilang kawalan sekejap dan membuat sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan. Saya tidak menyalahkan Safiq Rahim. Inilah bola sepak, adakalanya ia diluar kawalan kita. Ketika rehat babak pertama, dia telah memohon maaf kepada pasukan dan mereka kata jangan risau,” jelas Benjamin Mora.

“Mereka katakan kepadanya, mereka akan habiskan perlawanan dengan kemenangan untuknya. Inilah ‘bonding’ di kalangan mereka yang memperlihatkan mereka tidak perlukan saya, mereka hanya bermain untuk diri mereka dan semuanya hanya tentang kekeluargaan. Itulah sebab mereka juara setiap masa,” tambahnya lanjut lagi.

“Ia sebahagian daripada bola sepak. Saya tidak ingat bila kali terakhir pemain JDT dibuang padang,” ungkapnya.

“Pertama sekali, kami perlu perbaiki emosi dan mental pemain selepas kad merah Safiq Rahim. Jadi, pasukan perlu susun semula permainan. Itu yang saya lakukan, bertenang dan susun semula permainan. Kami bentuk formasi 4-4-1, sangat kompak, tinggalkan Bergson seorang di atas dan cari jalan untuk memperbaikinya.

“Saya bagi mereka lima ke sepuluh minit untuk susun semula permainan dan cari semula keyakinan. Kami bertuah kerana berjaya bertahan. Kami ada margin selesa tiga gol untuk bertahan sambil memperbaiki situasi.

“Selepas itu, kami tukar formasi lagi. Kami bermain dengan lima pertahanan, tiga pemain tengah. Ia sangat kompak. Kami juga meninggalkan ruang kepada dua pemain bek sisi untuk membantu bahagian serangan. Perbezaannya adalah kami akan berlari lebih daripada biasa. Itu yang kami telah lakukan,” jelasnya lanjut.

Dua perubahan taktikal Benjamin Mora itu yang membantu JDT mempertahankan kelebihan tiga gol awal mereka selain bermain dengan 10 pemain sepanjang baki 75 minit permainan selepas kad merah Safiq Rahim.

Dalam aksi separuh akhir kedua malam tadi, JDT mara ke pentas final buat kali ke-4 dalam sejarah 100 tahun Piala Malaysia selepas membenam cabaran Terengganu dengan kemenangan 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim. Sebelum ini kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 1-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Tiga gol terhasil dalam tempoh 14 minit menerusi dua jaringan Bergson da Silva yang kini mengumpul lapan gol di Piala Malaysia dan satu gol daripada pemain sayap, Gonzalo Cabrera yang terus membenam Terengganu.

Leave a Reply