[VIDEO]: ‘Headbutt’ Ala Zidane Oleh Safiq Rahim Kepada Faisal Halim

Safiq Rahim Faisal Halim Piala Malaysia 2 JDT Terengganu FC

Mendahului aksi dengan tiga gol tanpa balas dalam tempoh 15 minit, secara tiba-tiba perlawanan menjadi panas dan diikuti layangan kad merah kepada Safiq Rahim kerana membuat ‘headbutt’ terhadap Faisal Halim.

Perlawanan ini memang dari awal dijangka akan menjadi panas namun tiada siapa menjangka, Terengganu akan dibolosi tiga gol dalam tempoh yang singkat. Dua gol hasil jaringan penyerang, Bergson da Silva dan Gonzalo Cabrera memberikan Johor Darul Ta’zim (JDT) satu kelebihan besar mendahului 4-1 secara agregat.

Masih di awal permainan dan sedang mendahului selesa tiga gol di halaman sendiri, Stadium Sultan Ibrahim, seharusnya JDT lebih tenang dan tidak terpancing dengan permainan mental oleh pemain-pemain Terengganu. Dan sebagaimana diketahui, pemain sayap pelawat, Faisal Halim ‘pakar’ dalam serangan mental kepada lawan.

Beliau pernah beberapa kali terlibat dalam insiden ‘pancing’ mental pemain lawan antaranya pemain sayap Kedah, Syazwan Zainon. Insiden ini mengimbau semula insiden antara Zinedine Zidane dan Marco Materazzi.

Dalam aksi final Piala Dunia 2006, Zidane yang mewakili Perancis telah dilayangkan kad merah selepas membuat ‘headbutt’ ke dada Materazzi ketika kedua-dua pasukan terikat 1-1 dan perlawanan sedang dilanjutkan di masa tambahan. Apa yang menarik, mereka berdua merupakan penjaring gol buat pasukan.

Perancis akhirnya berjaya ditewaskan oleh Itali dalam penentuan sepakan penalti dengan keputusan 5-3.

Untuk ‘headbutt’ Safiq Rahim, provokasi mulut oleh Faisal Halim selepas beliau dikasari menyumbang kepada tindakan di luar kawalan bekas kapten skuad kebangsaan itu. Ia seharusnya boleh dikawal oleh Safiq Rahim.

Begitupun, JDT tetap berjaya bertahan sehingga ke penghujung perlawanan, menyaksikan mereka menang 3-0 ke atas Terengganu, 4-1 secara agregat, seterusnya mara ke pentas final Piala Malaysia 2021.

Saksikan video ‘headbutt’ oleh Safiq Rahim yang menyebabkan pengadil perlawanan, Muhammad Nazmi Nasaruddin akhirnya melayangkan ‘direct’ kad merah terhadapnya. Ini menyaksikan JDT terpaksa beraksi kurang seorang pemain untuk tempoh 75 minit, sesuatu yang tentunya sukar buat juara bertahan tersebut.

Leave a Reply