Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjadi antara lokasi yang terpilih bagi aksi hari ini membabitkan perlawanan siri Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Kyrgyzstan di Bishkek.
Malaysia kini sedang berada dalam suatu tugasan cukup penting di peringkat Kumpulan D, kerana mereka ingin mengelak daripada sebarang kekalahan pada baki dia perlawanan demi cuba melayakkan diri ke pusingan seterusnya.
Menyedari harapan dibawa oleh para penyokong Harimau Malaya kini cukup tinggi, pihak Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) telah pun mengambil inisiatif untuk membuat tayangan skrin besar secara langsung di setiap negeri.
Jika sebelum ini hanya 16 lokasi sahaja terpilih untuk membuat tayangan siaran langsung secara umum khas buat para penyokong Harimau Malaya, kini SNBJ turut disenaraikan bagi aksi malam tersebut.
Ia bermakna 17 lokasi secara keseluruhan bakal menjadi tumpuan utama para penyokong yang mahu menyaksikannya secara beramai-ramai pada malam ini.
Lebih menarik, dijangka SNBJ bakal menjadi tumpuan ramai penyokong Malaysia pada malam ini kerana suasan dan aura bakal dirasai jelas lebih menarik kerana ia merupakan laman rasmi buat Harimau Malaya.
Berikut merupakan senarai lengkap lokasi tayangan skrin besar yang disediakan oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS):
1.Kuala Lumpur: Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) & Dataran Merdeka
2.Selangor: Stadium Kajang
3.Putrajaya: Dataran Putrajaya, Presint 3
4.Perlis: Dataran Dato’ Sheikh Ahmad
5.Kedah: Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah, Alor Setar
6.Johor: Ngepot Kabin, Kluang
7.Penang: Dewan Futsal MPKK, Sungai Bakap
8.Perak: Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Jaya
9.Negeri Sembilan: Kompleks Belia dan Sukan N. Sembilan, Paroi
10.Melaka: UiTM Cawangan Bandaraya Melaka
11.Kelantan: Dataran Bandaraya, Kota Bharu
12.Terengganu: Kompleks Paya Bunga Sentral, K. Terengganu
13.Pahang: Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1
14.Sarawak: Dataran Perayaan, Kuching
15.Sabah: Dataran Uptown Belia, Beufort
16.Labuan: Kompleks Belia dan Sukan, Labuan
Inisiatif ini dianggap sebagai suatu yang sangat positif kerana ia mampu mengumpulkan ramai peminat bola sepak untuk bersama-sama memberi sokongan walaupun pasukan kesayangan mereka jauh beribu batu di gelanggang lawan.
Malah, ia mampu menyemarakkan rasa cinta dan semangat untuk menyokong pasukan kebangsaan serta mampu diteruskan lagi ketika aksi seterusnya berdepan Taiwan di laman sendiri beberapa hari akan datang.
Apapun, kami di Semuanya BOLA juga berharap agar semua lokasi yang terpilih malam ini dipenuhi oleh ramai penyokong serta mampu terus menghidupkan budaya cinta akan bola sepak bagi segenap lapisan masyarakat.
Malah, kami sendiri di sini turut mendoakan supaya Malaysia mampu mencipta kemenangan mengatasi Kyrgyzstan serta menghidupkan kembali peluang untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya.
Ini kerana Malaysia berpeluang untuk meraih slot automatik ke saingan Piala Asia 2027 jika mereka mampu melayakkan diri ke pusingan seterusnya jika turut mencatat keputusan positif berdepan Taiwan.
Semoga Kim Pan-gon dapat membuat rencana positif untuk memastikan Harimau Malaya mencipta kejutan di gelanggang lawan walaupun tampil tanpa kekuatan penuh dalam kalangan pemain.