Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mempunyai beberapa perancangan besar bermula musim hadapan dengan projek pembangunan akar umbi dan fasiliti kelab menjadi keutamaan.
Perkara itu dijelaskan sendiri oleh pemilik kelab tersebut, DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) melalui perkongsian yang disiarkan secara siaran langsung di platform media sosial kelab tersebut pada malam tadi.
Turut tampil dalam siaran langsung tersebut adalah Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards, dan beberapa pegawai kelab yang lain.
Antara rancangan utama JDT bagi menghadapi saingan musim hadapan ialah dengan melepaskan 16 pemain JDT II dan sekurang-kurangnya tiga jurulatih kelab tersebut.
Selain daripada untuk tujuan penjimatan, langkah tersebut turut mempunyai tujuan serampang dua mata kerana ia turut membuka laluan untuk pemain muda dari JDT III dan JDT IV mendapatkan pengalaman perlawanan yang lebih kompetitif.
“Sebagai contoh kita mahu save [jimat] kita punya bajet, pasal kita akan keluarkan banyak duit untuk stadium baru kita tahun depan.,” ujar baginda.
“Apa yang kami buat? Saya tiada pilihan melainkan terpaksa melepaskan 16 pemain dan 3 orang staf.
“16 pemain JDT II akan keluar dari pasukan. Sebab, JDT II sebagai reserve club, umur pemain sudah 26 hingga 27 tahun, no point.”
Selain daripada itu, TMJ berkata baginda turut melihat kemungkinan jurulatih daripada Sepanyol akan mengemudi skuad JDT II pada musim hadapan bagi memastikan falsafah JDT dari pasukan utama sehingga pasukan JDT U12 adalah sama.
TERIMA KASIH, BOBAN!
Selepas 12 tahun perjalanan saya bersama keluarga JDT akhirnya bertemu penghujungnya. Perjalanan…
Posted by JOHOR Southern Tigers on Wednesday, October 23, 2019
Semua langkah tersebut dijangka memberikan penjimatan sehingga RM5.6 juta kepada JDT.
JDT II pada musim lalu dikendalikan oleh Ervin Boban. Namun kontrak Boban tidak lagi disambung untuk saingan musim hadapan selepas tamat baru-baru ini.
Antara pemain yang berusia 25 tahun ke atas dan berkemungkinan dilepaskan oleh kelab tersebut dari JDT II adalah seperti Sam Sommerville, Fazly Mazlan, Rozaimi Abd Rahman, Irfan Fazail, Darren Lok, Shakir Shaari dan Amirul Hadi Zainal.
Pemain-pemain ini sama ada akan dibenarkan untuk menyertai pasukan lain secara terus atau akan pergi secara pinjaman.
Sebagai langkah penjimatan juga, TMJ turut mengesahkan tiada pemain baharu akan dibawa masuk ke dalam skuad musim 2020, dan kelab itu hanya akan kembali aktif di pasaran untuk musim 2021.