Quantcast

BERITA

UEL 2019/20: Manchester United Selesa Tundukkan Partizan Belgrade

Manchester United berjaya menempatkan diri ke peringkat kalah mati selepas menundukkan Partizan Belgrade 3-0 pada aksi keempat saingan kumpulan L Liga Europa (UEL) 2019/20 di Old Trafford, awal pagi tadi.

Aksi bertenaga skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer di hadapan penyokong sendiri itu dibantu dengan sumbangan tiga jaringan daripada Mason Greenwood, Anthony Martial dan Marcus Rashford.

United menguji gawang pasukan pelawat seawal minit ketujuh permainan apabila percubaan Rashford dari luar kawasan penalti sedikit tersasar selepas menerima hantaran lintang dari sebelah kiri pintu gol Partizan yang dilakukan Aaron Wan-Bissaka.

Berselang dua minit kemudian, penyerang skuad kebangsaan England itu sekali lagi hampa setelah gerakannya bersama Juan Mata dihalang penjaga gol, Vladimir Stojkovic.

Jaringan yang dinantikan penyokong The Red Devils akhirnya menjelma pada minit ke-21 apabila penyerang muda, Mason Greenwood meledakkan rembatan dari jarak dekat susulan lorongan daripada Rashford.

Kesilapan pemain pertahanan Partizan, Slobodan Urosevic yang cuba melakukan tendangan jauh tetapi terkena kepada Greenwood membolehkan Martial mendapatkan bola tersebut lalu meluru pantas ke hadapan untuk menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-32.

Rashford kemudiannya menebus dua kesilapan pada awal permainan dengan rembatan kaki kiri padu dalam kawasan penalti pada minit ke-49 setelah menerima hantaran pendek daripada Ashley Young.

Kemenangan 3-0 itu sudah cukup untuk meneruskan kemaraan Manchester United bagi menghadapi peringkat 32 pasukan terbaik walaupun saingan peringkat kumpulan berbaki dua perlawanan lagi.

Kredit foto: Evening Standard