Quantcast

BERITA

14 Bekas Pemain Perlis Buat Aduan Ke PFAM, Tuntut Tunggakan Gaji Selama Tiga Bulan

Semalam 14 bekas pemain skuad singa utara hadir di Pejabat Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) bagi membuat aduan terhadap tunggakan gaji mereka selama tiga bulan ketika bersama Pasukan Perlis untuk musim 2019.

Menurut bekas penyerang skuad kebangsaan, Safee Sali, beliau dan rakan-rakannya tetap menuntut hak mereka kerana mahukan pengurusan setiap pasukan menghormati kontrak yang sudah ditandatangani meskipun pasukan Perlis sudah dibatalkan penyertaan.

“Ini hak kami dan kami tetap akan tuntut. Jangan memandang ringan kepada pemain dan kontrak yang telah ditandatangani setiap pemain.

“Ini kerjaya kami, jadi kalau kita hendak maju ke depan, saya berharap perkara-perkara seperti ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya dalam Stadium Astro.

FOTO: PFAM

Beliau juga turut mengingatkan pemain lain agar segera membuat laporan sekiranya mempunyai masalah bersama pasukan baharu supaya kes mereka dapat didengari dengan kadar yang segera.

“Kami telah pun membuat aduan rasmi kepada PFAM. Bagi kami, ini satu (langkah) penting untuk melihat industri bola sepak kita bertambah maju.

“Kalau masalah ini berterusan, sampai bila-bilalah bola sepak kita tidak akan maju ke depan.

“Kami mewakili pemain bola sepak negara ini menyeru kepada semua pihak yang berwajib agar jangan memandang ringan kontrak yang ditandatangani setiap pemain,”jelas Safee Sali.

FOTO: PFAM

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail, menjangkakan lebih ramai lagi pemain akan membuat tuntutan dan laporan kepada pihaknya kerana kes tunggakan gaji dalam Liga Malaysia sentiasa berlarutan sehingga kini.

“Kes tunggakan gaji Perlis bukan berlaku pada tahun ini sahaja. Ia sudah berlaku sejak 2016.

“Kes ini masih lagi berlarutan dan jumlah tunggakan ini kami jangkakan melebihi RM1 juta.

“Kami berharap FAM dapat membantu pemain untuk mendapatkan hak mereka,” katanya.