Quantcast

BERITA

Piala FA: Ganjaran Lumayan Sedang Menanti Perak Jika Berjaya Ke Final

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan ganjaran bonus berganda akan diberikan kepada skuad The Bos Gaurus jika berjaya melangkah ke perlawanan akhir dan menjulang Piala FA musim ini.

Menurut kenyataannya dalam Utusan Malaysia, Ahmad Faizal berharap, suntikan bonus itu dalam menaikkan semangat pemain untuk memburu kemenangan apabila bakal menentang Pahang pada aksi separuh akhir kedua Piala FA malam ini.

“Saya percaya Perak akan memberi tentangan hebat dalam aksi timbal balik ini walaupun Pahang datang dengan penuh semangat apabila mempunyai bekalan dua gol sebelum ini.

“Namun, saya lihat pemain Perak berlatih dengan semangat kental, justeru saya yakin mereka dapat memberikan tentangan serta dua gol tanpa bolos. Saya juga maklumkan bonus untuk semua pemain dan pengurusan jika mara ke final Piala FA.

“Jadi, saya mahu para pemain fikirkan dengan lebih jauh iaitu membawa pulang Piala FA jika ingin mendapatkan kedua-dua bonus tersebut,” katanya.

FOTO: Perak TBG

Sementara itu, ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, mengakui pasukannya berdepan tugas yang berat kerana terpaksa berdepan Pahang tanpa empat tonggak utama. Mereka telah kehilangan Ronaldo Henrique di jentera serangan dan Nazirul Naim gara-gara penggantungan perlawanan.

Manakala Amirul Azhan pula dibelenggu masalah kecederaan dan pemain tengah, Leandro Dos Santos dikhabarkan telah pulang ke Brazil kerana masalah keluarga.

Namun begitu, Durakovic yakin pasukannya akan melakukan kebangkitan seperti perlawanan suku akhir Piala Malaysia pada tahun 2017 dimana mereka menewaskan lawan yang sama dengan jaringan 4-0 di Ipoh.

“Kami sudah beberapa kali membuktikan kebangkitan dalam Piala Malaysia, terutama ketika menentang Pahang pada 2017.

“Insya-Allah, kami akan mengulanginya. Dengan sedikit tuah, harap-harap ia akan terjadi lagi,” katanya dalam Stadium Astro