Quantcast

BERITA

Piala FA: Pahang Waspada Terhadap Kebangkitan Skuad The Bos Gaurus

Pengendali skuad Tok Gajah, Dollah Salleh menjangkakan pasukan Perak akan bermain mati-matian pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Perak, Ipoh, malam ini untuk memburu tiket ke perlawanan akhir.

Meskipun membawa bekalan dua gol ke tempat lawan, Dollah tidak mahu anak buahnya memandang mudah dan tetap berwaspada terhadap kebangkitan pasukan lawan yang mendapat sokongan padu daripada penyokong sendiri.

Justeru itu, beliau harap dengan kehadiran semula Dickson Nwakaeme dan Lazarus Kiambi di bahagian serangan dapat membantu pasukan itu mencari jaringan awal sebaik sahaja pengadil meniup wisel sepak mula.

“Saya harap Nwakaeme dapat memberi tekanan kepada pertahanan tuan rumah dan melakukan jaringan bersama Kaimbi.

“Pada masa sama, jentera tengah dan pertahanan juga tidak sesekali melakukan kesilapan bagi mengelak dihukum skuad Perak,” katanya dalam Arena Metro

Sesi latihan pasukan Pahang di Ipoh semalam. FOTO: Pahang FA

Dalam saingan Liga Super Selasa lalu, skuad Tok Gajah membariskan skuad simpanan dan kecundang 2-5 kepada pasukan Selangor.

Dollah menjelaskan tindakan beliau menyimpan tonggak utama adalah untuk mengelakkan mereka daripada mengalami kecederaan dan berdepan masalah keletihan.

“Saya merehatkan skuad utama dalam saingan Liga Super Selasa lalu, kerana mahu memastikan mereka (kesebelasan utama) berada dalam kecergasan terbaik.

“Kembalinya mereka pada perlawanan timbal balik di Ipoh malam esok (hari ini), diharap membantu misi kami layak ke final musim ini.

“Dengan kesungguhan dan semangat juang tinggi dipersembahkan pada aksi pertama di Kuantan minggu lalu, saya percaya pemain dapat tampil dengam aksi mantap,” katanya.