Selepas hampir 11 bulan berada di Kedah Darul Aman FC, penjaga gol, Ilham Amirullah akhirnya membuat penampilan pertamanya ketika menewaskan Kelantan United 3-1 dan Aidil Sharin menjelaskan situasi itu.
Ketika ditanyakan media mengapa Ilham Amirullah menjadi pilihannya untuk aksi malam ini, pengendali tersebut tidak menyatakan bahawa ‘tiket’ ke suku akhir yang sudah terjamin menyebabkan beliau yakin menurunkan penjaga gol berusia 27 tahun itu dalam kesebelasan utama, tetapi beliau ada sebab lain.
Sepanjang 22 perlawanan Liga Super, Kedah mempertaruhkan Shahril Sa’ari dan Ifwat Akmal Chek Kassim sebagai benteng akhir mereka dan dalam dua aksi pertama Piala Malaysia juga, Ilham Amirullah disisihkan.
Aidil Sharin dalam beberapa sidang media sebelum ini ada menyatakan tentang perasaan Ilham Amirullah yang kerap diketepikan dalam skuad utama. Tetapi, ketika mereka sudah sah mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia, Ilham Amirullah akhirnya diturunkannya. Adakah itu punca beliau telah diberikan peluang ini?
“Ada sebabnya [turunkan Ilham Amirullah]. Ketika kita bermain dalam aksi persahabatan semasa rehat skuad kebangsaan tempohari, dia beri kita prestasi yang baik bila kita turunkannya untuk beraksi. Alhamdulillah, malam ini juga, dia tunjuk yang dia setaraf dengan Shahril dan Ifwat,” ulas Aidil Sharin di sidang media.
“Kita kena yakin [dengannya] dan dia beri persembahan yang baik untuk kita malam ini. Jadi, saya sangat berpuas hati dengan prestasinya,” jelasnya lagi mengenai persembahan sulung Ilham Amirullah di gawang.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam tadi, Ilham Amirullah langsung tidak diuji oleh barisan serangan tuan rumah dalam permainan babak pertama dan telah diberikan rehat panjang.
📹 HIGHLIGHTS: Kelantan United FC 1-3 @kda_fc
Jaringan Syazwan Zainon, Baddrol Bakhtiar dan Fayadh Zulkifli memberi tiga mata penuh kepada KDA. Fakhrul Zaman menjaringkan gol saguhati tuan rumah.#TMPialaMalaysia2021 pic.twitter.com/ZWEpq0ReQJ
— Malaysian Football League (@MFL_MY) November 6, 2021
Selepas empat perubahan drastik dibuat oleh Nazrulerwan Makmor di permulaan babak kedua, Kelantan United berjaya menekan pelawat. Penyerang sensasi musim 2019 mereka, Fakhrul Zaman akhirnya meledak gol. Ilham Amirullah yang tidak teruji sepanjang aksi sebelum itu tertewas dengan sepakan percuma di minit ke-73.
Dalam pada itu, Aidil Sharin berpuas hati dengan keputusan pada malam tadi walaupun sebenarnya Kedah mampu memberikan lebih daripada itu. Pertukaran pemain membuahkan hasil untuk mereka selesa di depan selepas jaringan Fakhrul Zaman tersebut membantu lawan merapatkan jurang gol dan berterusan menekan.
“Paling penting, objektif tiga mata kita dapat pada malam ini. Saya sangat berpuas hati dengan prestasi para pemain. Kita boleh nampak empat pertukaran Kelantan United, mereka tekan kita dengan kuat sekali. Kita manfaatkan pertukaran pemain kita dengan kemasukkan Alex [Azamuddin] dan Fayadh,” jelas Aidil Sharin.
Selepas lima perlawanan, Kedah berada di tangga kedua dengan 12 mata, satu mata di belakang Melaka United dengan kedua-dua pasukan akan bertembung dalam aksi terakhir untuk penentuan juara Kumpulan C.