“Gol Yang Jarang Berlaku” – Komen Kim Swee Atas Jaringan Lebih 40 Meter Kelantan FC

Che Safwan Hazman gol Kelantan Sabah gol jauh Ong Kim Swee komen

Satu gol lebih 40 meter terhasil dalam perlawanan Sabah FC menentang Kelantan FC dan pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee mengatakan yang ia amat jarang sekali berlaku dalam perlawanan bola sepak.

Pemain sayap Kelantan, Che Safwan Hazman berhasil mencipta gol menarik itu selepas menerima hantaran dari Haziq Subri di kawasan middle third untuk menewaskan Rozaimie Rohim yang tergamam dan ‘lemas’.

Namun gol Che Safwan itu gagal membantu The Red Warriors untuk meraih kemenangan sulung mereka.

Sabah akhirnya memperolehi kemenangan sulung mereka dalam saingan Piala Malaysia 2021 selepas berjaya menundukkan Kelantan dengan keputusan 2-1 dalam aksi ke-5 Kumpulan D di Stadium Likas, malam tadi.

Kemenangan itu turut membantu menempatkan diri mereka hampir untuk layak ke suku apabila berkongsi mata bersama pencabar terdekat, PJ City FC dengan lima mata, dengan berbaki satu perlawanan sahaja.

Perlawanan terakhir menyaksikan pertembungan kedua-dua pasukan dan tentunya layak untuk diangkat sebagai aksi tumpuan untuk menentukan pasukan mana yang bakal mengiringi Johor Darul Ta’zim (JDT).

Kata Kim Swee tentang gol itu, “Ia satu gol yang amat baik dan jarang berlaku. Kita leka dan membenarkan pihak lawan mengambil kesempatan walaupun dari jarak yang jauh dan ini harus kita perbaiki nanti.”

Mujur buat The Rhinos apabila penyerang, Amri Yahyah kemudiannya menyamakan kedudukan tiga minit berselang menerusi sepakan penalti yang disempurnakannya untuk menewaskan Faridzuean Kamaruddin.

Dan di saat perlawanan dilihat bakal berkesudahan dengan keputusan seri, Sahrizan Saidin berhasil mencipta jaringan kemenangan buat Sabah di laman sendiri disamping memberikan mereka tiga mata berharga.

“Bagi saya, kita tidak menunjukkan satu permainan yang baik. Yang penting pemain cuba sedaya upaya walaupun banyak yang kita perlu perbaiki lagi terutama dibolosi lagi di awal lima minit pertama. Ini satu keputusan yang amat penting sebelum kita bermain dengan PJ City,” ungkap Kim Swee di sidang media.

“Kita perlukan kemenangan ke atas PJ City dan kita perlu ambil kesempatan bermain di tempat sendiri untuk mendapatkan keputusan. Mungkin permainan tidak begitu baik tetapi keputusan perlawanan terakhir ke atas PJ City amat penting. Jadi, kita mungkin perlu fikirkan taktikal yang berlainan,” tambah Kim Swee lagi.

Leave a Reply